Arrora Salwa bukan sahaja mempunyai suara yang merdu tetapi mempunyai wajah yang jelita.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Arrora Salwa/Koleksi Syed Wafa

Ahmad
Hai Ahmad
Ahmad
Ahmad

Pertama kali si aku malu-malu
Saat ku dekat ku ragu-ragu
Mungkinkah dia suka padaku
Ah… ah… Ahmad

Lagu Ahmad ciptaan dan muzik komposer terkenal Panji Sakti dari Indonesia sedikit sebanyak telah menaikkan nama Arrora Salwa di persada seni. Berbekalkan lagu Ahmad ini Arrora semakin dikenali sehinggalah Arrora menghilangkan diri dan muncul kembali dalam pertandingan cukup berprestij Gegar Vaganza ke-11 (GV 11) yang telah berakhir baru-baru ini.

Single pertama Arrora dengan lagu “Ahmad” memperkenalkan beliau dalam dunia seni suara.

“Masa saya masuk pertandingan itu pasti ramai yang menyangka saya akan tersingkir pada awalnya kerana saingan-saingan saya semuanya hebat-hebat belaka, dengan vokal mereka yang mantap seperti Ning Baizura, Liza Aziz dan ramai lagi.

“Pada saya memasuki pertandingan Gegar Vaganza ini suatu pengalaman cukup berharga dan sangat best. Masa masuk tu pun, niat saya bukannya nak menang ataupun nak bertanding menyanyi. Tapi ini adalah ini adalah platform yang semua orang nak. Selain dapat banyak pengalaman dan ia juga merupakan permulaan dan lubuk rezeki bagi seorang Arrora Salwa.

Arrora Salwa (dua dari kanan) bersama pengarah tersohor Datuk Yusuf Haslam bersama pelakon yang membintangi drama terbitan Skop Productions.

“Saya tahu di mana kelemahan dan kelebihan saya. Saya sedar, saya tak ada kekuatan dari segi vokal…hanya ‘jual’ rupa saya saja dan bukannya suara (sambil ketawa). Saya tahu suara saya tak boleh nak menandingi peserta-peserta GV yang lain yang pada pandangan saya mereka semua terlalu hebat belaka,” kata Arrora Salwa lagi yang baru pulang daripada New Zealand kerana tugasnya sebagai pramugari.

Selain lagu Ahmad yang berjaya melonjakkan popularitinya, Arrora Salwa atau nama sebenarnya, Salwa Md Razak juga pernah tampil dengan lagu Buaian Rindu, Begitulah Diriku, Hidup Baru, Fitnah dan Kau Tak Menarik Lagi.

Arrora Salwa (tiga dari kiri ) bersama peserta- peserta Gegar Vaganza.
Aksi Arrora Salwa ketika membuat persembahan untuk minggu hindustan
dalam Gegar Vaganza ke 11.

Arrora Salwa, 40, menambah, seperti yang dikatakannya, GV adalah sebuah platform besar yang menyediakan pelbagai cabang untuk diceburi.

“Dah banyak drama dan sebuah filem yang saya berlakon tapi orang tetap tak perasan kehadiran saya dalam sesebuah drama antaranya Singgahsana Cinta, Menantu Sepuluh Ribu dan filem Kerat 14. Tapi sejak keluar GV ini, Alhamdulillah banyak pula tawaran berlakon yang saya terima. Itu sebabnya seperti saya katakan tadi, GV ini merupakan platform yang besar untuk seseorang kembali menyerlah dan diingati semula.

Outfit dan gaya Arrora Salwa minggu rock di Gegar Vaganza.

“Dalam kesibukan bekerja saya masih berkesempatan berlakon. Saya baru saja habis penggambaran dengan Zeel Production dan kini saya juga sedang sibuk dengan penggambaran drama bersama Skop Productions pula. Kalau ada peluang saya impikan membawa watak antagonis kerana ia betul-betul mencabar saya.”

Bercakap mengenai kerjayanya sebagai pramugari, Arrora Salwa anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini berkata,”Saya dah berkhidmat dengan Malaysian Airlines (MAS) sejak tahun 2016 lagi. Saya suka mencuba pelbagai bidang supaya banyak pengalaman yang boleh saya dapat. Kerjaya ini satu pekerjaan yang banyak membentuk peribadi saya seperti sekarang ini. Itu sebabnya saya sukakan kerja sebagai pramugari ini. Yang bestnya kerjaya ini juga saya bertemu jodoh dengan suami saya sekarang ini.

Kenangan di GV…Arrora Salwa (tengah) bersama Illa Sabri dan Noryn Aziz.

“Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya juga terjejas dan terpaksa berehat selama dua tahun. Bila habis PKP saya sambung semula kerja saya dan kini dah tiga tahun saya `terbang’ semula.”

Menyentuh mengenai dunia seni dan kerjayanya sebagai penyanyi, kata Arrora Salwa lagi, kini dunia seni bergantung pada keadaan.

Arrora sentiasa jaga penampilannya sebagai artis.

“Sekarang ini saya buat kedua-dua kerjaya ini jalan seiringan…mana yang beri peluang dan ruang pada saya, itulah yang saya buat. Sebenarnya kita tak boleh nak jangka nasib kita dalam industri ini, kadang kita ingat kita bernasib baik, sedangkan tidak dan kadang kita ingat kita tak ada luck tapi berlaku sebaliknya dan itu sebabnya saya serah semuanya kepada Allah.

Bercakap mengenai album atau single terbarunya, kata Arrora Salwa lagi,“Nak ikut dah ada syarikat rakaman yang lamar saya untuk hasilkan single. Tapi masalahnya,sekarang ini saya benar-benar sibuk dan tak berkesempatan untuk memasuki studio rakaman lagi. Tunggulah ada masa yang sesuai saya akan rakam single terbaru itu.”

Setelah lama berehat menjayakan Gegar Vaganza, Arrora kini mula bekerja semula sebagai pramugari.
Arrora nampak muda walaupun kini sudah mencecah 40an.

Salwa kini bahagia bersama suami Ahmed Mahfuz yang juga merupakan seorang juruterbang Malindo Air yang dikahwininya pada 17 Julai 2017.

“Tahun ini dah nak dekat sembilan tahun kami berumah tangga.

“Sekarang suami saya kerja di Malta. Kami tak ada masalah untuk hubungan jarak jauh ini kerana masing-masing mencari rezeki untuk keluarga. Bila dia cuti, dia akan balik seperti biasa. Kalau ada masa terluang saya dgn anak-anak akan kesana.

Arrora bersama suami tercinta.
Ibu penyayang…Arrora Salwa bersama anak-anak kesayangannya.

“Saya ada tiga orang anak. Walaupun dia anak suami saya dan bila kami berkahwin anak-anak itu secara otomatik adalah anak-anak saya. Kalau boleh saya tak mahu dan tak suka kalau ada orang cakap itu adalah anak tiri saya. Mereka semua adalah anak-anak saya yang cukup saya sayangi. Arya 15, Eshan, 15 dan Ashaz 15,” kata Arrora Salwa anak sulong daripada tiga beradik ini.

Setelah tamat pelajarannya, Arrora Salwa sempat memenuhi permintaan keluarganya agar dia memilih kerjaya polis sejak 2004. Namun Arrora Salwa yang bercita-cita menjadi penyanyi sejak kecil terpaksa melepaskan jawatannya sebagai lans Koperal setelah menceburi bidang seni pada tahun 2010.

Kini Arrora bahagia dengan kehidupannya.

Demi memenuhi impiannya bergelar penyanyi, sepanjang berkhidmat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Arrora Salwa aktif dengan band-band polis termasuk Kombo PDRM. Dari situlah Arrora Salwa terus mengasah bakatnya sehingga yakin untuk muncul sebagai artis rakaman.

Previous article“Curang Tanpa Niat” diakhiri dengan pelbagai pengajaran
Next articleErti Sebuah Senyuman!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here