SUKARNI Jaafar…adalah seorang anak seni serba boleh dan dirindui oleh peminat filem Melayu.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Ehsan Raja Ema/Koleksi Syed Wafa

SUKARNI Jaafar bukanlah satu nama asing dalam industri seni tanah air. Sebabnya kehadiran beliau dalam bidang seni bukan setakat berlakon malah segala cabang seni beliau pernah ceburi.

Pada era 1980-an yang mana ketika itu stesen TV terutama RTM bukan sahaja menjadi ruang untuk beliau menunjukkan bakatnya sebagai penari malah beliau boleh menyanyi, berlakon dan menghiburkan penonton dengan persembahan lawak jenaka.

“SETINGGAN” filem
arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar terbitan Indra Filem.
Fillem yang diterbitkan pada tahun 1981 dibintangi oleh S. Shamsudin, Yusni Jaafar dan Ibrahim Pendek.
Turut berlakon: Sukarni Jaafar, Rozita, Mariani, Norsita Rahman, Tawil, Wan Haron Nespu, Anuar Idris, Zulkifli M. Osman dan Ebby Saifullah.

Berbekalkan bakat anugerah-Nya, Sukarni Jaafar artis serba boleh dikatakan artis paling sibuk sebabnya campaklah ke mana cabang seni beliau tidak pernah menolak rezeki malah bekas penari Kompleks Budaya Negara (KBN – sebelum ini dikenali Kementerian Belia dan Sukan dan kini dikenali Istana Budaya) ini mempunyai kumpulan penarinya sendiri yang dikenali Kumpulan Penari Sukarni Jaafar.

Bagaimanapun ketika namanya di puncak populariti, angin tidak ribut tidak tiba-tiba nama Sukarni Jaafar hilang dari ‘radar’ dunia seni tanahair yang mana khabarnya telah berkahwin dengan seorang lelaki bergelar ‘Datuk.’

Kehilangan Sukarni Jaafar meninggalkan tandatanya di kalangan para peminatnya. Sebabnya sepanjang penglibatannya pada awal 1980-an sehingga 1986, tidak pernah ada gosip atau kisah cinta mengenai beliau.

IBRAHIM Pendek dan Sukarni Jaafar dalam satu babak yang mencemaskan dari filem “Setinggan.”
PENAMPILAN Sukarni Jaafar dalam filem “Setinggan” amat berkesan dan diingati oleh peminat filem Melayu.

Walaupun ‘kehilangan’ beliau ketika itu dapat dihidu oleh segelintir wartawan hiburan. Namun demi sebuah amanah dan menghormati privasi beliau mereka mengambil keputusan tidak menulisnya!

Namun ia bukanlah satu rahsia bagi para penduduk di Subang Jaya kerana mereka bukan sahaja mengenali Sukarni Jaafar malah suaminya Datuk Omar Othman juga cukup dikenali penduduk setempat.

IBRAHIM Pendek, Sukarni Jaafar dan Rozita Rohaizad dalam filem “Setinggan.”

Bagaimanapun baru-baru ini, para peminat ruangan Lagenda Ladybosz menghubungi Wafa (Penulis) dan mengesyorkan agar Seniwati Sukarni Jaafar yang telah lama ‘menghilangkan diri’ mengisi ruangan yang mereka amat minati iaitu “Legenda Ladybosz”

Pada petang Khamis, Wafa amat bersyukur kerana berpeluang menemuramah Sukarni Jaafar melalui telefon dan beliau bersedia menjawab pelbagai pertanyaan para peminatnya.

Sukarni Jaafar yang lebih mesra disapa Kak Ni memberitahu beliau tidak pernah ‘menghilangkan diri’ sebaliknya masih menetap di Subang Jaya.

SUKARNI Jaafar, Rozita Rohaizad dan Allahyarham Seniman S. Shamsudin dalam satu babak filem “Setinggan.”
SATU babak dari filem “Setinggan.”
Dari kiri: Yusni Jaafar, Norsita Rahman, Rozita Rohaizad, Sukarni Jaafar dan S. Shamsudin.

Menyingkap perjalanan seninya yang begitu teratur, Sukarni Jaafar, ibu kepada dua orang anak, Ahmad Ikmal Omar, 36, dan Avana Eva, 34, serta nenek kepada seorang cucu, Ana Sofia (setahun enam bulan, anak kepada Avana Eva) berkata;

“Kak Ni tidak ‘lari’ ke mana-mana. Tetapi sejak berkahwin pada tahun 1987, Kak Ni tinggalkan semua bidang seni yang pernah Kak Ni ceburi. Suami Kak Ni, seorang yang sangat baik tetapi tegas dan demi kebahagiaan keluarga yang disayang Kak Ni tinggalkan dunia seni.

SUKARNI Jaafar menyerlah dalam filem “Setinggan”

“Keputusan Kak Ni bukan sahaja memeranjatkan rakan seperjuangan malah Kak Yusni (Allahyarham Yusni Jaafar) adalah orang yang paling marah apabila Kak Ni tinggalkan dunia seni kerana Kak Ni pernah dicalonkan untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).”

Menyingkap perjalanan seninya, Sukarni Jaafar memberitahu beliau bermula sebagai penari dan banyak program hiburan beliau terlibat sebagai penari.

SUKARNI Jaafar (Berbaju hijau) pada majlis perkahwinan Uji Rashid dan Jamaluddin Jalil Harahap pada 1978

“Memang Kak Ni bermula sebagai penari kebudayaan tetapi bila peluang yang diberikan oleh RTM membuatkan Kak Ni mencuba segalanya.

“Bersama Kumpulan Penari Sukarni Jaafar, banyak program hiburan RTM mengundang kami. Bagi Kak Ni apabila pihak RTM memberi ruang dan peluang ia tidak patut ditolak.

AR Badul dan Hussein Abu Hassan dalam satu babak filem “Manis Manis Sayang” arahan M. Amin dan diterbitkan pada tahun 1983 yang turut dibintangi oleh Sukarni Jaafar.

“Selain itu, Kak Ni juga diberi peluang berlakon drama. Kak Ni masih ingat drama pertama lakonan Kak Ni untuk slot Drama Minggu Ini adalah arahan Allahyarham Datuk Aziz Wok yang menggandingkan Kak Ni dengan Omar Abdullah dan Allahyarham Datuk Aziz Singah.

“Selain Aziz Wok, Kak Ni banyak berlakon drama terbitan Hasiah Ariffin dan apabila musim raya muka Kak Ni aje kat RTM,” cerita Sukarni Jaafar.

PASUKAN bolasepak Artis Wanita dengan jurulatih.
Berdiri dari kiri: Datuk Andre Goh, Yusni Jaafar, Noorkumalasari, Norlia Ghani, Fauziah Samad dan Datuk Yahya Sulong.
Duduk dari kiri: Sukarni Kaafar, Datin Alisah Ali, Datin Maria Arshad, Azlina Aziz.

Selain program hiburan dan drama, Sukarni Jaafar juga muncul dalam program lawak yang menggabungkannya bersama Yusni Jaafar, R. Jaafar, AR Badul, Hamid Gurkha dan Tawil.

“Bagaimanapun setelah berkahwin Kak Ni ‘tutup buku’ pada dunia seni kerana sayangkan suami, rumahtangga dan anak-anak.

SUKARNI Jaafar bersama seniman legenda Allahyarham Ed Osmera dalam filem “Raja Laut” pada tahun 1982.

“Kak Ni berkahwin lebih 36 tahun dan sebagai isteri kedua Kak Ni kena jaga nama baik suami dan banyak mengalah. Namun Kak Ni bersyukur kerana Arwah Datuk hantar dua orang anak kami belajar di luar negara dan mereka mendapat kerja yang bagus,” cerita Sukarni Jaafar mengenai kebaikan Allahyarham suaminya, Datuk Omar Othman yang meninggal dunia pada September 2023.

Sepanjang kerjayanya sebagai anak seni, Sukarni pernah membintangi lima filem antaranya “Setinggan” (1981) arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar yang turut dibintangi S. Shamsuddin, Yusni Jaafar, Ibrahim Pendek.

SUKARNI Jaafar bersama Hang Mokhtar.

“Raja Laut” (1982) arahan Z. Lokman dibintangi Ed Osmera, Mokhtaruddin, S. Zamila, Sukarni Jaafar fan Latiff Borgiba.

Sementara filem “Manis-Manis Sayang” (1983) arahan Allahyarham M. Amin, selain Sukarni Jaafar, filem ini turut dibintangi A. R Badul, Maria Arshad, Hussein Abu Hassan, Yahya Sulong, Rose Iskandar, S. A Bakar dan M. Suki.

SUKARNI Jaafar…masih tampak manis dan awet muda.

Menurut Sukarni Jaafar, setelah suaminya meninggal dunia meskipun ada yang mengesyorkan beliau berlakon namun beliau menolak.

“Saya tidak akan berlakon ataupun terlibat dalam dunia seni kerana itu amanah suami saya,” tegas Sukarni Jaafar.

SUKARNI Jaafar bersama anak saudaranya, Raja Ema.

Bagaimanapun, kata Sukarni, beliau akan meneruskan minat dan ‘perniagaan kecil-kecilannya’ sejak dahulu ia berniaga Biskut Samperit.

“Sejak suami ada Kak Ni sudah berniaga Biskut Samperit dan Tart Nenas.
Walaupun Tart Nenas merupakan ‘signature’ Kak Ni tetapi sejak suami meninggal Kak Ni hanya buat Biskut Samperit tanpa bermusim,” kata Sukarni Jaafar.

SUKARNI Jaafar…hari ini.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga Sukarni Jaafar dianugerahkan kesihatan yang baik… Amin.

Previous articleMarsha Milan, Velvet Aduk kembali dengan “Lintah Darat”
Next articleWow…Menu “Set Talam” hidangan berbuka puasa di Restoran Rasa Rosz Wangsa Maju dan IOI City Mall Putrajaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here