Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Shiha Zikir
MULA menceburi bidang seni sejak 2005, namun perjalanan kerjaya seni Nurshiha Mohd. Zikir atau Shiha Zikir, 38, tidak semudah penyanyi lain yang terus melonjak nama mereka.
Anak seni kelahiran Jawi, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu terpaksa berhempas pulas melalui pelbagai rintangan sebelum berjaya meletakkan namanya sebagai seorang penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio dan usahawan.

Shiha yang wajahnya mirip penyanyi terkenal Indonesia, Dato Sri Rossa dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu memulakan kerjaya seni secara serius selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan azam untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang yang diminatinya.
Beliau mula menyanyi di khalayak sejak usia tujuh tahun bersama kombo polis kerana arwah bapanya juga orang seni dan banyak mengajarnya tentang nyanyian.

Bagi mengembangkan lagi impiannya, pada 2005 Shiha memberanikan diri menyertai program realiti ‘Akademi Fantasia’ musim ketiga dan terpilih antara 20 peserta. Namun rezekinya di program ‘Akademi Fantasia’ tidak menampakkan peluang untuk melangkah jauh.
Bagi meneruskan impiannya dalam bidang seni, Shiha mencuba nasib pula sebagai peserta dalam program ‘Mentor’ musim kelima pada 2011. Beliau beruntung kerana dipilih menjadi protégé kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.
Shiha tidak menafikan banyak ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang menjadi protégé kepada penyanyi legenda tersebut, malah hubungan baiknya dengan Sharifah Aini yang dipanggil Umi itu terus berkekalan sehingga biduanita itu meninggal dunia pada 5 Julai 2014.

Pada tahun 2015, Shiha mencabar diri dengan menyertai program realiti ‘Dangdut Academy Asia’ di Indonesia yang turut disertai oleh peserta dari Singapura dan Brunei juga. Untuk program tersebut, Shiha menduduki tempat ketiga dan kemenangan tersebut amat tidak dijangka.
“Dapat masuk peringkat akhir pun saya sudah bersyukur kerana tidak pernah menyangka dapat pergi jauh dalam pertandingan ini.
“Juara, Danang dan naib juara, Lestari memang pesaing yang cukup hebat dan dapat berkongsi pentas bersama mereka pun memberi erti besar kepada saya,” kata Shiha yang namanya semakin bersinar di Indonesia selepas program tersebut dan sering diundang untuk menjayakan persembahan di sana.

Meskipun begitu, Shiha yang melancarkan EP sulung berjudul “Shiha” pada 18 Julai 2012 di bawah label Monkey Bone, tetap memilih untuk terus berkarya di tanah air sendiri dan jika ada undangan barulah ke sana untuk bertemu dengan peminatnya.
Sebagai tanda penghargaan dan terima kepada peminat di sana yang menyokongnya, pada 2019, Shiha bersama Micproject dan Todak Music merakam semula lagu popular Krisdayanti, “Pilihlah Aku” daripada genre pop kepada irama dangdut.
Penyanyi yang tidak takut untuk dinilai dan dikomen secara langsung itu masih meneruskan ‘kegilaannya’ melakukan sesuatu yang di luar jangkauan. Pada 2019, Shiha menerima pelawaan daripada Ali Puteh dan Achey untuk menyertai mereka dalam kumpulan Cili sebagai peserta rancangan ‘Muzikal Lawak Superstar’.

Shiha yang mudah mesra itu rupa-rupanya mempunyai bakat sebagai pelawak dan gandingannya bersama anggota CILI itu membuahkan hasil apabila kumpulan tersebut diangkat sebagai Naib Juara ‘Muzikal Lawak Superstar’ dan dipilih sebagai Superstar Paling Gempak!
“Alhamdulillah Naib Juara ‘Muzikal Lawak Superstar’ dan Superstar Paling Gempak. Terima kasih banyak-banyak Ali Putih dan Achey sudi terima Shiha join CILI. Alhamdulillah, pengalaman yang sangat best sepanjang 10 minggu ini.
“Berkat doa ibu dan Shiha sangat percaya soal rezeki yang Tuhan dah ditetapkan. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih semua. Syukur alhamdulillah,” kongsi Shiha tentang perasaannya apabila bakatnya diterima ramai.
Shiha yang ketika itu sering ditemani oleh ibunya, Rohana Ibrahim adalah antara artis yang jarang terkait dengan cerita kontroversi tapi semua kejayaan yang diraih atas usahanya sendiri.

“Saya sedar populariti tu perlu tapi tak terdesak sampai hendak reka cerita atau buat konten kontroversi untuk popular. Alhamdulillah, rezeki saya cukup mungkin sebab saya jaga mak dari dulu lagi sejak arwah bapa meninggal tahun 2008,” akui Shiha dalam satu temu bual dengan sebuah majalah.
Pada 2020, Shiha menyertai pula program ‘Dansa Dan Sing’ terbitan Astro yang menampilkan elemen seni tari dan nyanyian. Untuk program tersebut Shiha bergandingan dengan Team Squad dan menduduki tangga ketiga yang membawa pulang RM25,000 beserta trofi.
Boleh dikatakan setiap pertandingan yang disertai oleh Shiha pasti membuahkan kejayaan. Malah untuk program ‘Famili Duo’ musim keempat, Shiha bersama kakaknya, Ieda Zikir dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi.
“Saya buat keputusan tidak akan lagi menyertai program realiti sebelum saya sertai ‘Famili Duo’ dan alhamdulillah, penyertaan ini pun membuahkan hasil.

“Cukuplah setakat ini dulu, kedepan saya tak pasti lagi. Bukan apa, penat nak kerah otak untuk cari idea hingga sampai satu tahap saya jadi tepu dan penat.
“Saya ni jenis, kalau buat apa-apa, saya tidak main-main. Disebabkan itu saya jadi penat kerana terlalu komited dengan sesuatu kerja itu. Untuk masa akan datang, saya tidak tahu. Tapi, buat masa sekarang, inilah yang rasakan. Keluarga memahami keputusan saya kerana mereka tahu saya berjiwa pejuang,” katanya selepas muncul sebagai juara ‘Famili Duo 4’.
Selain menyanyi dan berlawak, Shiha juga berpeluang menguji bakatnya sebagai pelakon utama dalam bersiri “Ada Apa Dengan Saka”, arahan Nazir Jamaluddin menerusi watak Aina pada 2022. Sebelum itu Shiha pernah muncul dalam drama bersiri” Gerak Khas” musim 11, 12 & 15, “Bujang Sepah Lalalitamplom”, “Metro Skuad”, “Terukir Di Bintang”, “Tak Beli tak Cinta, “Melastik Ke Hatimu 2” dan “Jabatan Call Centre”.
Selain aktif dalam bidang seni, Shiha juga bijak mengambil peluang yang terbentang depan mata untuk melebarkan sayapnya ke arah perniagaan. Antara bisnes yang diusahakan figura ini termasuklah kanta lekap dan kosmetik.

Selepas menerokai bisnes kanta lekap dan kosmetik, Shiha memilih untuk menceburi bidang penyediaan makanan pula dengan membuka restoran Shiha Zikir Nasi Ayam di Wisma Infinitum, Kampung Baru Kuala Lumpur dan beroperasi setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 9 malam.
Menurut pelantun lagu “Irama” dan “Aewo” itu, restorannya bukan saja menampilkan hidangan nasi ayam tetapi berpuluh lagi menu untuk dipilih seperti sotong dan udang KamHeong, udang Buttermilk dan macam-macam lagi. Sementara itu, cawangan kedua, Shiha Zikir Nasi Ayam turut dibuka di Seksyen 7, Shah Alam.
Keluarkan bajet besar untuk “Tum Tum Raya”
Jika pada tahun 2023, Shiha muncul dengan lagu raya berjudul “Jom Balik Raya” ciptaan Ajay Amai dan pada tahun lalu, beliau muncul dengan lagu “Meriahnya Raya”, ciptaan Shiha bersama Arul dan Zimi.
Pada tahun ini Shiha tidak keseorangan, beliau bergandingan dengan Ieda menerusi lagu “Tum Tum Raya”. Cuma kali ini lagu ciptaan Ajay Amai, Napie Hassan dan Shiha itu tidak terikut dengan gaya lagu raya sedia ada.
Justeru itu, kata Shiha, beliau sanggup mengeluarkan kos yang besar untuk memastikan projek lagu raya ini tampil kelainan dan sekali gus tampak kreatif dalam berkarya.
“Saya dan pasukan memang suka teroka perkara baharu. Sebelum ini, saya pernah hasilkan lagu raya yang video muziknya menggambarkan suasana kampung.

“Cuma kali ini, video muzik itu dirakamkan di studio. Demi mahu memenuhi konsep diinginkan, saya sanggup cat studio yang disewa itu dengan tiga warna iaitu merah, kuning dan hijau.
“Banyak cabaran dihadapi termasuk terpaksa menukar warna cat apabila hasilnya tidak seperti diinginkan,” katanya yang mengakui “Tum Tum Raya” merupakan antara projek termahal dengan kos ratusan ribu ringgit pernah dihasilkan.
Semua itu dilakukan untuk memberi persembahan terbaik kepada peminat. Ujar Shiha, bajet yang diperuntukkan itu merangkumi kos pembikinan video muzik dan kempen mempromosikan single berkenaan.
“Kos pembikinan lagu “Tum Tum Raya” antara paling tinggi pernah dikeluarkan, menghampiri RM150,000. Untuk kempen dan promosi sahaja, kos diperuntukkan RM30,000.

“Namun, saya bersyukur syarikat saya, Shiha Zikir Empire dibantu beberapa pihak termasuk Giant dan Kimball FR yang berminat untuk bekerjasama dalam pembikinan lagu ini. Selepas melihat hasilnya, rasa puas sangat dapat buat apa yang saya idamkan,” katanya puas hati.
Untuk lagu raya ini, Shiha turut menyelitkan elemen komedi dan untuk ‘percubaan’ itu, beliau sedia menerima kritikan daripada orang ramai.
“Sebelum ini lagu-lagu Aidilfitri saya lebih bersifat biasa dan mengikut kebiasaan. Namun, tahun ini saya ingin menyelitkan elemen komedi untuk kelainan.
“Komen positif saya ambil sebagai dorongan, manakala komen negatif pun saya terima untuk memperbaiki dan menambah baik pada masa akan datang.
“Begitu juga dengan tarian dan gerakan yang dilakukan di dalam video muzik “Tum Tum Raya” pada pandangan saya tidaklah keterlaluan atau berlebihan sehingga menjatuhkan apa-apa, cuma tarian kali ini lebih aktif.

“Jika dilihat dari segi tenaga dan gaya persembahan, memang ada perbezaan antara saya dan kakak. Namun, tiada niat lain selain menghiburkan. Bagi yang mengenali saya, mereka tahu memang beginilah saya. Mungkin yang tidak mengenali saya akan tertanya-tanya.
“Saya tidak memandang negatif terhadap komen dan kritikan, malah menerimanya dengan hati terbuka. Insya-Allah, saya akan terus menambah baik. Saya juga ingin memohon maaf jika ada yang kurang selesa. Niat saya hanyalah untuk menghiburkan dengan cara saya sendiri,” katanya.
Shiha juga tidak menolak idea menghasilkan lagu raya atas kecenderungan pengguna TikTok yang sukakan irama ‘catchy’.
“Jadi, saya terfikir, kenapa tidak cuba tampil dengan lagu raya catchy? Alhamdulillah, strategi menjadi apabila saya dapat banyak maklum balas positif daripada pendengar,” katanya mengenai video muzik “Tum Tum Raya” yang berkonsepkan ceria dan aneka warna itu.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.