Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
Suasana Hari Raya
Nyanyian Sharifah Aini
Hai selamat hari raya,
Kami semua ucapkan,
Menikmati hidangan,
Yang kami sediakan.
Sila jamu selera,
Dengan bermacam hidangan,
Pilih yang mana suka,
Sila janganlah segan.
Rasalah ketupat ini,
Dengan rendangnya sekali,
Sudilah rasa kuehku,
Pilihlah yang mana satu.
Hai di hari begini,
Kita menjamu selera,
Kita bermaaf-maafan,
Di suasana hari raya.
Hai selamat hari raya,
Kami semua ucapkan,
Menikmati hidangan,
Yang kami sediakan.
Sila jamu selera,
Dengan bermacam hidangan,
Pilih yang mana suka,
Sila janganlah segan.
Rasalah ketupat ini,
Dengan rendangnya sekali,
Sudilah rasa kuehku,
Pilihlah yang mana satu.
Hai di hari begini,
Kita menjamu selera,
Kita bermaaf-maafan,
Di suasana hari raya.

BIAR tahun silih berganti namun sesuatu yang tidak boleh dinafikan sejak sekian lama sudah menjadi tradisi seminggu lebih sebelum raya, stesen radio
akan memainkan lagu-lagu raya bagi memeriahkan hari yang bermakna bagi kita semua.
Walaupun stesen radio memutarkan lagu-lagu baharu namun lagu lama yang sentiasa menggamit memori silam tidak pernah dilupakan.

Bila bercakap mengenai lagu raya era 1980an – awal 2000, tidak boleh dinafikan antara penyanyi yang dikatakan banyak merakamkan lagu raya dan ‘evergreen’ dan kekal diminati hingga hari ini adalah nyanyian Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Sharifah Aini merakamkan lebih daripada 10 lagu bertemakan hari raya di bawah Syarikat Rakaman EMI antaranya “Suasana Hari Raya, Nostalgia
Hari Raya, Aidilfitri, Hari Yang Mulia, Selamat Hari Lebaran, Suara Takbir dan Selamat Hari Raya.”


Memiliki suara yang lunak didengar apa sahaja lagu nyanyian Sharifah Aini bukan sahaja ‘hidup dan berjiwa’ tika beliau menyanyikannya malah lagu “Suasana Hari Raya” adalah lagu yang cukup popular dan dianggap ‘berhantu’ sehingga mampu membuat para peminatnya mendengar berulang kali.
Mengenali Sharifah Aini, beliau bukan calang-calang penyanyi kerana berilah apa genre lagu kepadanya yang pasti beliau mampu menghayatinya sepenuh jiwa.


Bukan itu sahaja, malah setiap lagu dendangannya boleh membuatkan para pendengar dan peminatnya larut dalam emosi yang cukup dalam.
Sebab itu, tidak hairanlah apabila album beliau selalu mencatatkan angka jualan tertinggi kerana lagu-lagu nyanyiannya yang hidup di jiwa para peminatnya membuatkan mereka mentafsirkan lagu-lagu raya Sharifah Aini ‘hot dan berhantu.’


Jika anda meragukannya cuba dengar dan hayati setiap lirik lagu nyanyian Sharifah Aini.
Selain lagu “Suasana Hari Raya” yang sedap didengar lagu “Nostalgia Hari Raya” juga tidak kurang hebatnya. Meskipun lagu-lagu raya baharu muncul bagaikan ‘cendawan tumbuh di musim hujan’ tetapi jangan menafikan keistimewaan lagu tersebut yang ‘diadun’ dengan baik suara milik Sharifah Aini.
Bagaimanapun apabila kita bercakap mengenai kemerduan suara Sharifah Aini dengan lagu-lagu raya ciptaan komposer yang hebat terdapat sebuah lagu raya nyanyian Sharifah Aini yang dianggap ‘outstanding.’



Realitinya lagu “Hari Yang Mulia” yang diabadikan dalam album Kompilasi Raya EMI berjudul “Selamat Hari Raya Aidilfitri” ciptaan S. Omar Osman yang sememangnya popular dan diminati ramai terbitan tahun 1970-an bukan sahaja cukup diminati kerana melodinya malah ia adalah satu-satunya lagu raya tanpa sepatah perkataan hari raya!
Begitulah hebatnya lagu tersebut, walaupun tanpa perkataan ‘hari raya’ tetapi dengan lirik diadun dengan melodinya indah menjadikan ia satu diantara beberapa lagu raya berhantu dendangan Sharifah Aini.


Sharifah Aini Syed Jaafar yang dilahirkan pada 2 Julai 1953 di Johor Bahru, Johor menghembuskan nafas terakhir kerana fibrosis paru-paru pada 5 Julai 2014 pada usia 61 tahun di Pusat Perubatan Pakar KPJ Damansara.
Penulis yang sempat menemuramah bekas Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia yang juga wartawan tersohor tanah air iaitu Muzlina Abu Bakar mengenai Allahyarham Sharifah Aini, berkata;


“Saya mengenali Kak Ani selama 34 tahun sejak bertugas sebagai wartawan hiburan Mingguan Malaysia pada tahun 1980 dan hubungan kami sangat akrab kerana Kak Ani bukan sahaja mengenali saya malah kenal dan menghormati Arwah Abah dan Arwah Mak saya kerana Kak Ani adalah peminat setia ‘Lontong Mak Yah’ di Seksyen 14, Petaling Jaya.
“Saya menghormati sikap Biduanita Negara ini yang sentiasa menjaga silaturrahim antara kami dengan baik walaupun saya sudah bersara wajib dari Utusan sejak 29 Mac 2013.


“Sebabnya, walaupun sudah bersara setiap kali beliau mengadakan jamuan makan-makan sebagai menghargai hubungan silaturrahim nama saya tidak pernah tercicir.
“Itulah sikap mulia Kak Ani yang sentiasa menghargai wartawan. Al-fatihah buat Kak Ani semoga Allahyarham ditempatkan bersama para syuhada.”


Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Biduanita Negara, Datuk Sarifah Aini sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

Duduk: Jeffri Iran (Jurugambar) dan Aziz Itar.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.