Oleh: Asmat Fikri
Ramai orang yang masih tidak memandang serius masalah tekanan darah rendah ini. Darah rendah bukan setakat pening nak pitam. Tapi kesannya lebih dari itu, jika tidak dikawal dengan baik. Jadi puncanya dari mana? Punca yang paling popular sering dikatakan adalah ‘keturunan’. Menurut kebanyakan orang, apabila ibu atau ayah ada penyakit itu, kemungkinan besar anak akan mewarisinya. Namun jom kita tengok apa kata pakar berkenaan punca terjadinya darah rendah ini.
Terdapat banyak punca atau penyebab tekanan darah rendah, dan setiap punca perlu diselidik dengan lebih lanjut. Antara puncanya ialah;
• Kehilangan darah, seperti pendarahan, anaemia dan dehidrasi pada tahap parah
• Penyakit jantung, seperti jantung lemah dan kegagalan jantung (heart failure)
• Penyakit sistem saraf, seperti “multiple system atrophy”dan“autonomic neuropathy”.
• Kesan sampingan ubat seperti bisoprolol dan captopril yang digunakan untuk merawat hipertensi
• Penyakit organ kelenjar seperti “Addison’s disease”, iaitu penyakit organ kelenjar (adrenal)
• Jangkitan kuman yang parah, yang menyebabkan “septic shock”
Terdapat juga satu keadaan yang dipanggil orthostatic hypotension, di mana serangan hipotensi kronik berlaku apabila terdapat kejatuhan tekanan darah sistolik sebanyak 20mm Hg dan diastolik sebanyak 10mm Hg apabila pesakit bangun dari keadaan baring. Terdapat dua jenis keadaan ini iaitu, primary orthostatic hypotension dan secondary orthostatic hypotension bergantung kepada penyebab. Jenis ini adalah yang paling banyak dilaporkan di klinik dan hospital, berbanding jenis hipotensi lain.
Penyebab “orthostatic hypotension” juga boleh disebabkan oleh faktor seperti di atas, namun ia perlu dibezakan dengan “neurally mediated hypotension” yang disebabkan oleh masalah saraf.
Simptom Hipotensi
Hipotensi atau darah rendah ini boleh berlaku tanpa dikesan oleh doktor, kerana kebanyakan pesakit tidak mengalami simptom atau petanda hipotensi. Kebanyakan pesakit dikesan ada hipotensi apabila mereka melakukan ujian saringan di klinik. Jika seseorang mempunyai tekanan darah yang rendah tetapi tidak mengalami simptom, tiada rawatan khusus yang perlu dilakukan selain daripada nasihat gaya hidup.
Antara simptom atau petanda darah rendah ialah;
• Pening dan terasa kepala ringan, atau berpinar-pinar. Rasa kepala pusing dan mungkin ingin pitam jika berdiri
• Pengsan. Terus pitam dalam apa jua keadaan
• Penglihatan kabur. Tiba-tiba sahaja penglihatan kita terganggu dan terasa tidak jelas
• Loya. Disebabkan kepala pening, kita akan rasa loya dan mungkin boleh jadi sampai termuntah-muntah
• Penat. Cepat penat juga mungkin simptom ada darah darah
• Tidak boleh fokus. Fokus kita mungkin terganggu apabila ada penyakit darah rendah
• Tanda-tanda air tidak cukup seperti bibir kering
Jika seseorang itu mempunyai tekanan darah yang terlalu rendah, sehinggakan mencapai satu keadaan yang dipanggil “shock”, simptom di bawah boleh dialami;
• Kekeliruan terlampau
• Sejuk dan kulit pucat
• Bernafas dengan cepat
• Nadi lemah
Selain dari simptom dan petanda di atas, mungkin terdapat lagi petanda lain yang mungkin menjadi penunjuk kepada penyakit yang menyebabkan rendah tekanan darah tinggi, seperti simptom sakit jantung, simptom sakit saraf, simptom sakit kelenjar dan berbagai lagi. Doktor akan melakukan pelbagai lagi pemeriksaan dan ujian untuk mengenal pasti punca rendah tekanan darah atau hipotensi.
Berikut adalah antara jenis pemeriksaan dan ujian yang dilakukan oleh doktor kepada pesakit darah rendah;
• ECG
• Ujian tekanan darah BP monitoring
• Ujian darah
• “Tilt table test”
• “Valsalva maneuver”
• “Stress test”
• Ujian imej echo

Rawatan Gejala Hipotensi dan Jenis Makanan Yang Boleh Meningkatkan Tekanan Darah
Rawatan dan cara mengubati tekanan darah rendah bergantung kepada penyebabnya. Adalah sangat penting untuk merawat punca hipotensi, berbanding merawat hipotensi. Namun sekiranya punca tekanan darah tidak boleh dikesan, pesakit boleh mengelakkan serangan hipotensi dengan pengubahan cara hidup dan diet.
Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan tekanan darah rendah dan simptomnya ialah:
• Memastikan air mencukupi di dalam badan untuk mengelakkan dehidrasi. Amalkan minum air kosong sekurang-kurangnya 7 gelas sehari.
• Lebihkan garam dalam makanan, serta makanan untuk hipotensi seperti hati, asparagus dan kacang serta makanan dalam tin.
• Sentiasa memastikan bacaan tekanan darah setiap hari
• Bangun secara perlahan dan berhati-hati selepas baring
• Merawat penyakit sedia ada seperti sakit jantung
• Memakai tag yang mempunyai maklumat kesihatan pada diri sendiri.
Sekiranya langkah-langkah di atas tidak berkesan, ubatan seperti Fludrocortisone dan Midodrine boleh diberikan atas nasihat doktor.
Makanan untuk naikkan bacaan darah rendah
Berikut disenaraikan beberapa makanan yang boleh diambil bagi pesakit darah rendah untuk menaikkan bacaan darah. Antaranya adalah:
• Hati :Hati kambing mempunyai jumlah tertinggi vitamin B12, dengan 100 g mengandungi 85.7 mcg
• Daging lembu kisar: Setiap 85 gram (3 oz) daging lembu yang dikisar menyediakan 2.1 mg zat besi.
• Dada ayam: 7 miligram zat besi daripada setiap 100 gram (3.5 oz) dada ayam.
• Makanan laut seperi kerang, tiram, dan kaviar boleh memberikan lebih daripada keperluan harian zat besi dan vitamin B12.
• Kerang misalnya mengandungi 28 mg zat besi, 22.1 mg vitamin C, dan 98.9 mcg vitamin B12 bagi setiap 100 gram.
• Kacang soya, kancang ginjal, lentil, dan kacang ayam adalah beberapa kacang yang disyorkan.
• Mengambil bijian hitam yang kaya dengan magnesium, kuprum, zink, zat besi, kalsium, selenium, folat vitamin B6 dan vitamin E, adalah satu lagi pendekatan yang sangat baik untuk meningkatkan penggunaan zat besi anda.
• Telur sering disebut-sebut sebagai sarapan terbaik atas sebab-sebab tertentu. Sebiji telur mempunyai kira-kira 6 gram protein, 0.55 mcg vitamin B12, 22 mg folat, dan 0.59 mg zat besi.
• Tauhu adalah makanan berasaskan soya yang popular di kalangan vegetarian dan di beberapa negara Asia. Walaupun tauhu dari sumber tumbuhan, tauhu juga mengandungi zat besi jenis bukan heme. Setengah cawan tauhu, iaitu kira-kira 126gram mengandungi 3.4mg zat besi. Jumlah ini memenuhi 19% keperluan badan sehari.
Jadi mana-mana pesakit yang ada masalah tekanan darah rendah, mungkin boleh ikhtiar dengan mengambil makanan seperti di atas bagi membantu menaikkan tekanan darah.
Komplikasi hipotensi
Bukan pening dan rasa hendak pitam sahaja, tetapi berikut adalah komplikasi yang mungkin dihadapi orang mereka yang ada masalah tekanan darah rendah, bergantung pada tahap keseriusan penyakit tersebut.
• Jatuh pengsan – bagi orang yang lebih berumur, ini sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan keretakan tulang seperti tulang pinggul dan tulang tangan. Ini boleh menyebabkan mereka ditahan di hospital, dan di hospital terdapat lebih banyak risiko seperti jangkitan kuman.
• Hilang kesedaran- ini sangat berbahaya terutamanya ketika memandu
• Bergantung pada penyebab, jika sakit jantung menyebabkan tekanan darah rendah, ini boleh menyebabkan organ lain tidak mendapat darah yang cukup, lalu boleh menyebabkan organ gagal berfungsi
• Simptom rendah tekanan darah tinggi boleh mengganggu mutu kehidupan seseorang.
Penutup
Oleh itu, jika anda mengalami atau mengenali sesiapa yang mempunyai simptom atau petanda gejala hipotensi atau tekanan darah rendah, sila berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan dan nasihat doktor.
Kesanlah penyebab tekanan darah rendah dengan awal dan tepat, agar rawatan awal dapat dilakukan untuk meningkatkan kualiti hidup seseorang. Selain itu, pastikan kita mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam dan mengambil makanan yang berkhasiat dalam diet harian kita. Mudah-mudahan kita semua sentiasa sihat dan terhindar dari sebarang penyakit berbahaya.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.