Sudah 10 tahun Eja tidak berlakon kerana mahu beri tumpuan pada keluarga dan bisnes.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Eja/Koleksi Syed Wafa

ADA di antara anak seni berkata, mereka akan terus berlakon selagi ada kudrat. Mungkin jiwa mereka sudah sebati dengan bidang lakonan, tambahan pula kalau bidang itu merupakan punca pendapatan.

Setiap insan mempunyai pandangan yang berbeza dan salah seorang daripada anak seni yang disenangi ramai kerana kewibawaannya berlakon di kaca televisyen mahupun layar filem iaitu dramatis dan pelakon Siti Shahrizah Saifuddin, 53, atau mesra dengan panggilan Eja.

Penampilannya sebagai gadis pembuka kotak huruf dalam program ‘Roda Impian’ masih diingati hingga kini.

Penampilan anak seni kelahiran Kuala Kubu Baru, Selangor itu mula mendapat perhatian ramai apabila setiap minggu beliau muncul sebagai gadis pembuka kotak huruf dalam program kuiz ‘Roda Impian’ bersama pengacara Halim Othman dan kemudian Allahyarham Hani Mohsin dari 1999 hingga 2003.

Lain-lain program yang turut dikendalikan oleh Eja termasuklah rancangan untuk remaja, ‘Zoom’ di Astro, ‘Gaya’ mengenai fesyen dan gaya hidup di TV1 serta rancangan ‘You Asked For It’ yang disiarkan di ntv7 serta ‘Video Skop’ di TV3 pada 1997.

Sering menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air.

Bagaimanapun nama Eja mula dikenali sebagai pelakon selepas beliau berlakon bersama Mahmud Ali Bashah dalam drama ‘Rahsia Demi Rahsia’ pada 1999. Pada tahun yang sama juga Eja yang pernah bekerja sebagai pramugari di syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) turut berlakon drama, ‘Ejen 88 & 44’ dan ‘Teduh Kabus’.

Lain-lain drama lakonan Eja dan mendapat sambutan hangat adalah ‘Salam Taj Mahal’ (2000), ‘Kiranya Ku Tahu’ (2001), ‘Takhta Hati’ dan ‘Tiga Dara’ (2003), ‘Wadi Unung’ (2009), ‘Rindu Semakin Jauh’ (2004) dan ‘Masih Ada Cinta’ (2005)

Terpilih menjadi cover majalah Wanita.

Manakala filem pertama lakonan Eja adalah ‘Sara’ pada 2001, diikuti dengan filem, antaranya, ‘Anak Mami The Movie’ (Julia), ‘Bilut’ (2006), ‘Misi 1511’ (2006), Kayangan (2007), ‘Maut (2009) dan ‘Manisnya Cinta Di Cappadoccia’ (2015).

Dalam kerjaya lakonannya, Eja yang merupakan anak pegawai Polis Marin itu telah memenangi beberapa anugerah yang mengiktiraf bakat lakonannya.

Turut menjadi cover majalah Nona.

Wataknya sebagai Aishah dalam filem ‘Bilut’ arahan Bade Azmi itu membolehkan Eja dipilih sebagai Pelakon Wanita Pilihan Penonton (SMS) sempena Festival Filem Malaysia ke-21 pada 2006. Beliau juga pernah dipilih sebagai Pelakon Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 2004.

Malah penjiwaannya sebagai Sutera dalam filem ‘Janin’ arahan M.Hitler Zami melayakkan isteri kepada Mohd Silahuddin Jamaluddin itu dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik untuk Festival Filem Malaysia ke-24 pada 2011 dan Anugerah Skrin 2011.

Meskipun namanya masih tercatat sebagai pelakon terlaris di papan atas, selepas melahirkan anak sulung, Nur Eishal pada 2010, Eja mula mengurangkan aktiviti kerjaya seninya kerana mahu tumpukan perhatian pada keluarga.

Eja terharu kerana sehingga kini tawaran berlakon untuknya tetap ada.

Eja yang ditemui pada majlis pelancaran single ‘Radar’ nyanyian Tunku Ines, baru-baru ini memberitahu kali terakhir beliau berurusan sebagai anak seni adalah pada 2015.

“Buat masa sekarang ini saya lebih fokus kepada keluarga dan perniagaan. Kalau diikutkkan tahun 2015 adalah tahun terakhir saya berada di dalam industri. Tahun inl 2025, bermakna sudah 10 tahun tidak berada di dalam industri.

“Itu sebabnya saya agak berdebar-debar apabila dikerumuni pihak media kerana sekarang ini saya lebih kepada keluarga dan perniagaan. Alhamdulillah, walaupun tak aktif berlakon seperti dulu, peminat masih mengingati apa yang saya buat dulu terutama sekali drama-drama dan filem.

Tiap kali berniaga di festival pasti ada peminat yang mahu merakam momen mereka dengan Eja.

“Seperti kita sedia maklum, drama dan filem dahulu skripnya sangat bagus dan lakonan kita memberi kesan. Mereka ingat sampai hari ini, jadi saya bersyukur, alhamdulillah. Walaupun saya tak banyak drama dan filem tapi lakonan saya sentiasa diingati sampai hari ini dan memberi impak besar kepada kehidupan penonton,” katanya yang membuka satu outlet Eishal’s Choice by Eja di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur sejak 18 Disember 2024.

Eja turut melahirkan rasa syukur kerana kerjayanya sebagai pelakon sebelum ini memudahkan beliau untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. Beliau sering menyertai festival jualan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan, di dalam mahupun di luar negara.

“Saya bersyukur kerana gelaran pelakon drama dan filem yang saya pegang sebelum ini memudahkan saya apabila terbabit dalam bidang perniagaan. Orang ramai masih lagi menyokong kerjaya saya, cuma kali ini dalam bisnes pula.

Eja disenangi ramai kerana tutur katanya yang lemah lembut dan berbudi bahasa.

“Terima kasih kepada mereka kerana masih lagi menyokong dan mengingati saya. Alhamdulillah, drama-drama lakonan saya masih lagi ditayangkan. Masa raya hari tu ada seseorang beritahu ada dua drama saya ditayangkan,” katanya yang mengeluarkan perisa Sambal Petai Putar, Sambal Mangga Murni, Sambal Kicap Koyak dan Sambal Limau Lentik atas nama Eishal’s by Eja.

Eja yang dikenali sebagai insan yang tutur katanya lemah lembut dan tidak mencetus sebarang kontraversi itu walaupun sudah 10 tahun ‘menyepi’ dalam bidang seni lakon, hingga hari ini masih mendapat tawaran berlakon.

“Ya Allah, dalam tempoh 10 tahun, alhamdulillah tawaran berlakon banyak sangat. Tahun ini saja, saya ada lagi tawaran untuk berlakon dengan Dato’ Rosyam Nor untuk sebuah filem. Sebelum itu ada juga filem dengan Osman Ali. Sebelum-sebelum tu pun ada, filem dan drama memang banyak. Untuk drama hari raya pun masih lagi ada.

Keluarga bahagia, Eja bersama suami dan anak tunggalnya.

“Watak-watak yang ditawarkan kepada saya ini berat-berat. Dah tua-tua ni tak naklah watak-watak berat. Kita terima dengan cara baik dan kita tolak pun dengan cara baik kerana sibuk dengan keluarga dan perniagaan, itulah maklumbalas saya apabila dapat tawaran.

“Saya memberi alasan tersebut kerana masa saya tak seperti dulu lagi sebab sekarang ini sibuk dengan anak sekolah, perniagaan dan masa untuk menunggu lama di lokasi sudah tak ada. Kalau shooting drama dan filem, ambil masa yang lama. Umur macam ni dah tak larat untuk berjaga sampai jam dua tiga pagi.

“Bohonglah kalau saya kata tak rindu untuk berlakon, sesekali perasaan tu datang, nak kata rindu 100 peratus untuk berlakon tu tak adalah. Ada jugalah watak yang ditawarkan itu sesuai dan ringan sebagai mak dan tidak terlalu berat, tapi sekarang ini masa saya lebih kepada keluarga dan perusahaan yang sedang saya lakukan. Lagipun kita sudah berumur, bagilah kepada orang baharu pula,” jelas Eja tentang tawaran yang diterimanya sebelum ini.

Eja akui cara hidupnya berubah selepas berkeluarga.

Apapun Eja masih lagi berhati-hati tatkala menjawab soalan, adakah beliau sudah ‘pencen’ sebagai pelakon? Katanya, beliau tidak berani untuk mengatakan bahawa dirinya sudah berhenti berlakon serratus peratus.

“Nak kata sudah berhenti berlakon, tak berani saya. Kita tak tahu kedepan ini bagaimana, sekiranya terjadi apa-apa dalam industri nanti akan makan diri. Buat masa ini memang berehat tapi nampaknya berehat yang berpanjangan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak media dan mereka di luar sana yang masih menyokong saya walaupun tak ada drama dan filem tapi mereka masih menyokong produk saya, alhamdulillah,” katanya jujur.

Previous articleRumah Terbuka Aidilfitri, “Bergema Senandung Raya” Anjuran Concorde Hotel KL Paling Meriah!
Next articleTiada tawaran berlakon, bisneslah jadi penyelamat Zed Zaidi!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here