Fattah Amin adalah pemenang untuk pertandingan Hero Remaja 2011/2012.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Fattah Amin/Koleksi Syed Wafa

KEBELAKANGAN ini, apabila buka platform media sosial seperti TikTok atau Instagram mesti ada saja cerita pasal aktor Fattah Amin. Maklumlah selepas bercerai dengan pelakon Nur Fazura Sharifuddin sejak 7 Oktober 2024, nama Fattah melonjak dan beliau turut dilabel sebagai ‘duda hot’.

Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, bukan saja ‘hot’ pada pandangan wanita yang masih mencari calon suami, malah bapa kepada Nur Fatima Aisya, 5, itu juga turut mendapat perhatian daripada pelbagai jenama produk.

Lamaran pertama yang diterima oleh Fattah selepas bebas daripada ikatan rumah tangga adalah sebagai Ketua Pegawai Pemasaran Pak Mat Western Sdn. Bhd, pada 20 November 2024 yang dipertanggungjawabkan untuk merancang dan melaksanakan Pembangunan, perkembangan serta kemajuan strategi jualan dan pemasaran usahawan melalui media massa serta media sosial Pak Mat Western.

Kenangan Fattah Amin ketika pertandingan Hero Remaja 2011/2012.

Malah pada Oktober tahun lalu, Fattah berjaya menjual produk Pak Mat Western di platform atas talian secara live streaming yang berjaya memecah rekod tontonan dan jumlah ‘like’ lebih 25 juta.

Rezeki Fattah tidak terhenti di situ saja, selepas berjualan daging kambing dan lembu perap, juara Hero Remaja 2011/2012 itu pada Januari lalu, merupakan salah seorang duta untuk memperagakan produk raya Jakel 2025.

Pada Februari lalu, Fattah yang sebelum ini sudah menggalas beberapa tanggungjawab sebagai duta produk sejak 2015 itu turut mendapat perhatian pengagas produk kecantikan Rissa Skin untuk menjadi duta jenama tersebut.

Sebagai Kapten Ejaz Fakhri bergandingan dengan Neelofa.

‘Alhamdulillah, rezeki saya yang dah tertulis. Itu yang saya cakap, jodoh, ajal, rezeki kita tak tahu. Apa yang penting sebenarnya, saya nak lunaskan tanggungjawab yang diberikan kepada klien. Kita buat yang terbaik dan ini adalah produk kedua bersama Rissa.

“Rissa Skincare nampak komitmen saya pada produk sebelum ini iaitu produk Rissa Whitening Coffee. Saya memang beri komitmen yang terbaik, dengan buat posting, buat live. Daripada tak pandai buat live beg kuning, dengan klien Rissa Skin inilah saya belajar buat live. Membantu jualan mereka dan alhamdulillah, mereka memberi sekali lagi kepercayaan untuk menjadi duta Night Cream Rissa Skin pula,” kata Fattah yang bersyukur dengan rezeki mendatang.

Sejak Fattah muncul dalam video muzik lagu “Bila Nak Kahwin” dendangan Amira Othman, namanya sering dikaitkan dengan bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10 itu.

Sering menjadi cover majalah terkenal tanah air.

Mereka sering muncul sedondon dan mendapat ‘restu’ peminat jika diteruskan hubungan tersebut ke peringkat seterusnya, bagaimanapun sehingga kini mereka masih mengunci mulut tentang sejauh mana hubungan tersebut.

Fattah yang mengakui keluarganya rapat dengan Amira selepas beberapa perjumpaan, hanya mengharapkan doa yang baik-baik sahaja daripada orang ramai.

“Selepas beberapa majlis, keluarga kami sudah saling mengenali. Saya pun dah kenal keluarga Amira, begitu juga dengan dia. Rasanya tak salah sebab dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara dua keluarga,” katanya yang lebih senang dianggap sebagai rakan sekerja saja setakat ini kerana Amira juga duta untuk Jakel.

Fattah dalam video muzik lagu “Wanita Terindah”.

Fattah yang teruk dikritik sewaktu awal kemunculannya dalam bidang lakonan yang melakonkan watak Raja Adrian Benjamin dalam drama ‘Playboy Itu Suami Aku’ pada 2013, bagaimanapun tak pernah mengaku kalah.

Sebaliknya, Fattah yang merupakan anak saudara kepada pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam dan pernah menjadi kru untuk produksi Skop Production itu dari masa ke semasa, peneraju watak Kapten Ejaz Fakhri dalam drama ‘Suri Hati Mr. Pilot’ berpasangan dengan Neelofa itu terus memperbaiki mutu lakonannya.

Anak sulung daripada lima beradik yang mendapat pendidikan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan memperoleh ijazah dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif itu turut popular menerusi drama lain seperti watak Inspektor Haikal dalam ‘Gerak Khas’, Tengku Ian Uzzam dalam ‘Hero Seorang Cinderella’ dan Amry untuk drama ‘Ganjil’.

Sebagai Awang dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mendapat sambutan hangat.

Untuk tahun ini drama lakonan Fattah yang mendapat perhatian ramai adalah ‘Keluarga Itu’ sebagai Ansara dan melakonkan watak Hambali dalam drama ‘Bidaah’, arahan Pali Yahya yang turut mendapat sambutan hangat daripada penonton di Indonesia kerana drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn. Bhd itu disiarkan di Viu, perkhidmatan video over-the-top (OTT).

“Tak sangka saya juga terkena tempias dengan watak Hambali walaupun yang hangat menjadi bualan ramai, adalah watak Walid Muhammad Mahdi Ilman, lakonan abang Faizal Hussein.

“Dekat TikTok saya, ada peminat dari Indonesia dan mereka sokong dan tanya ada musim kedua tak? Kita tak boleh nak jawab sebab kita pelakon saja. Alhamdulillah, bukan senang cerita kita nak dikenali di sana. Bagi saya itu satu rezeki.

Lakonan Fattah sebagai Hambali dalam drama ‘Bidaah’ turut mendapat perhatian ramai.

“Bekerja dengan abang Faizal memang terbaik, dia banyak berkongsi ilmu dengan saya. Kami memang tak sangka cerita ini akan viral sebab mula-mula keluar ada isu sikit. Tak sangka viral yang diterima ramai,” katanya bangga dengan sambutan hangat untuk drama yang ditulis oleh Erma Fatima itu.

Fattah bukan saja berjaya meraih nama sebagai model dan pelakon, malah beliau turut memberanikan diri mencuba bakat sebagai penyanyi. Lagu pertama yang dirakam oleh Fattah adalah pada 2013, berjudul “Darjat”. Pada tahun yang sama juga beliau muncul dengan single “Getar Jiwa”, “Love” dan “Sumpah Aku Cinta Padamu”. Sedar tak sedar sebenarnya Fattah mempunyai banyak single yang dihasilkan sejak 2015 hingga 2025. Antara lagu nyanyian Fattah yang digemari ramai adalah “Wanita Terakhir”, “Wanita Terindah”, “1234U” dan terkini “Lelaki Terakhir”.

“Lagu “Lelaki Terakhir” amat bermakna kepada saya kerana saya yang menghasilkan sendiri lirik lagu tersebut. Single ini menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran, tetapi, jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal.

Pertama kali Fattah berlakon dalam filem yang memerlukan dia bercakap loghat Kelantan.

“Lelaki Terakhir ini dicipta oleh Mel Ramlan, dia adalah komposer yang menghasilkan lagu “Wanita Terakhir” buat saya sebelum ini. Lagu ini menampilkan gabungan muzik moden dengan sentuhan balada klasik. Ini menjadikan ia sesuai untuk dinikmati semua peringkat usia,” katanya mengenai single yang turut dijadikan runut bunyi drama ‘Keluarga Itu’ arahan Nur Ain Sharif dan skrip ditulis Erma Fatima.

Fattah ‘berkorban’ demi Pak Lee

Selepas beraksi sebagai pahlawan Awang menerusi filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’, kini Fattah mencuba watak baharu pula sebagai Tok Dalang dalam filem ‘Kulit Wayang’ arahan Dain Said yang mula berada di pawagam sejak 1 Mei lalu.

Jujurnya Fattah akui, dari awal pembabitannya dalam filem terbitan Mico Studio Sdn. Bhd., beliau sudah dapat merasakan yang bakal melalui pelbagai cabaran.

Fattah bersama Pekin Ibrahim (kiri) dan pengarah Dain Said ( kanan) serta Jenna Kamaratih yang terlibat dalam filem ‘Kulit Wayang’.

“Cabaran utama untuk membawa watak Pak Lee ini adalah saya perlu bertutur dalam dialek Kelantan sebab cerita ini berkisar pasal Tok Dalang. Saya pula bukan orang Kelantan dan perkara itu akan menjadi satu cabaran. Persediaan itu saya buat dari awal dan yang banyak membantu ada coach dan kawan-kawan yang sama-sama faham.

“Ini lakonan pertama saya dalam dialog Kelantan. Kurang lebih tiga bulan sejak dapat skrip dan fokus kepada skrip sebulan dan on set. Saya ada satu bulan yang saya betul-betul solid tak balik rumah. Sebulan tu saya memang di lokasi penggambaran saja, saya tak keluar, saya jumpa Tok Dalang dan orang tempatan sana. Itu memang saya fokus itu.

“Bila shooting ini pun, ada dubbing proses, kita touch up lagi dialog itu supaya lebih solid lagi. Masa dubbing tu yang mana ada bunyi-bunyi macam telor tu kita touch up lagi. Insya-Allah saya rasa semuanya telah diperkemaskan dan tidak kedengaran kekok pertuturan saya itu,” katanya yang turut mendapat panduan dari beberapa orang Tok Dalang.

Fattah Amin antara artis yang sedang mendapat perhatian ramai ketika ini.

Tambah Fattah, selepas berjumpa dengan beberapa Tok Dalang, baru beliau perasan yang setiap daripada mereka mempunyai gaya tersendiri tatkala membuat persembahan.

“Bila jumpa Tok Dalang, baru saya tahu yang setiap Tok Dalang tu, cara permainan mereka berbeza. Setiap orang ada gaya tersendiri. Bila saya jumpa dua tiga Tok Dalang, saya jadi keliru nak bawa stail macam mana sebab saya bukan biasa buat perkara itu.

“Lama-lama saya faham sendiri dan ambil keputusan tidak akan tiru mana-mana gaya Tok Dalang, kena bawa gaya sendiri. Kalau nak recall balik pasal persiapan untuk file mini, memang saya stres sebab sebab saya nak buat lakonan itu tampak berjaya.

“Pada masa yang sama, kekangan masa dan saya pressure diri sendiri. Saya takut tak boleh buat yang terbaik, tapi bila on set, saya seorang yang beraksi tapi bila ada sokongan kuat daripada orang sekeliling kita boleh fokus,” jelasnya.

Bersama anak kesayangan, Nur Fatima Aisya.

Tambah Fattah lagi, memandangkan ‘Kulit Wayang’ adalah cerita berat dan beliau cuba buat yang terbaik untuk menukarkan dirinya menjadi orang lain.

“Dari hari pertama lagi, saya sudah rasa lain. Ingat lagi pengarah tengok kulit saya cerah, dia suruh banyakkan lagi mekap pada saya sebab masih nampak macam Fattah dari Damansara dan bukan dari Kelantan. Belum mula penggambaran lagi dah pressure.

“Abang Dain memang teliti, dia tahu apa yang dia nak. Kalau saya tak cukup gelap, dia akan suruh mekap artis buat lagi gelap. Kadang-kadang mekap itu dia buat sendiri. Dalam filem ini saya digelapkan. Berjemur juga untuk nampak ‘tanned’.

“Saya nervous gila berlakon di bawah arahan abang Dain sebab kita tahu orang yang nak dapat berlakon di bawah arahannya adalah pelakon hebat dan dia bukan main ambil pelakon saja. Bila saya buat latihan depan dia pun rasa gementar, takut tak capai apa yang dia nak. Kita pelakon bila ada pengarah yang banyak membantu dalam hal itu, kita jadi mudah sikit kerja,” katanya yang sudah lama mengidam untuk bekerja di bawah arahan Dain.

Atas alasan kerja Fattah sering bersama dengan Amira Othman.

Dain pernah meraih beberapa anugerah, antaranya Pengarah Terbaik menerusi filem ‘Bunohan’ di Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2012 dan pemenang untuk kategori Lakon Layar Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 menerusi filem yang sama.

Meskipun Fattah bukanlah pelakon pertama yang ditawarkan untuk memegang watak Pak Lee, namun beliau tetap percaya pada rezeki.

“Saya anggap pembabitan saya dalam filem ini adalah sebagai satu rezeki. Kalau filem ini menjalani penggambaran sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana Covid-19, mungkin itu bukan rezeki saya.

“Penangguhan penggambaran filem ini sebab PKP, apabila saya ditawar dan dapat tahu pengarahnya pula Dain Said, terus terima kerana sudah lama menyimpan impian untuk berlakon bawah arahannya. Saya nak rasai pengalaman bekerja dengan pemenang anugerah.

Setiap komitmen yang diberikan kepadanya, Fattah akan cuba laksanakan dengan terbaik.

“Bila dapat peluang bekerja dengan orang-orang terbaik dalam skil masing-masing, jadi saya pun nak jadi macam mereka sebab itu saya stres. Waktu mula-mula dapat task untuk jadi Tok Dalang, saya berpandukan video. Dahlah kita ni bukan orang Kelantan, kita kena tukar dialek dan praktis macam mana Tok Dalang tu buat.

“Saya kena ucap pula apa yang Tok Dalang cakap. Kerja saya tengok video dan jumpa coach Asrul untuk tukar bahasa biasa ke dialek Kelantan. Saya tulis balik bagi senang ingat. Lepas itu perform dan rekod untuk tengok balik, kalau tak betul, buat lagi. Prosesnya memang banyak dan mencabar.

“Macam dulu saya pernah buat filem Mat Kilau, sekurang-kurangnya saya ada asas silat. Bila saya jadi pendekar, mudah la. Yang ini kosong, bukan orang Kelantan dan tak pernah jadi Tok Dalang kerana tangan keras. Ini watak paling susah,” cerita Fattah tentang pengalamannya berlakon dalam filem yang menjalani penggambaran di sekitar Setiu dan Besut, Terengganu itu.

Previous articleImpian Amy jayakan konsert solo terlaksana
Next articleSeha bawa kerinduan hingga ke akhir hayat?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here