Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
Redo (Redho)
Tiap ujian yg aku alami
Bersendirian kuredahi
Sejak tiada ibu dan ayah
Ku sebatang kara
Nun dari puncak terhumban ke lembah
Kuterima dengan reda
Tiada lagi ku bertanya
Tentang esok atau lusa
Aku lalui hidup yg berbaki
Dari hari ke hari
chorus:
Kusyukuri rahmatmu Tuhan yang Esa
Walau suram tetap bercahaya
KAU sumber kekuatan dlm lemahku
Datangkan teman dlm sepiku
Kerana kehadiran teman sejati
Bercambah kini kekuatan diri
Masa silam yg keruh kubuang jauh
Keyakinanku kembali teguh
Lagu : A. Ali & Syed Wafa
Lirik : Datuk Habsah Hassan

SAMA ada kita sedar atau tidak, kemunculan penyanyi baru dalam bidang nyanyian dengan pelbagai gaya, imej dan keistimewaan tersendiri menjadi daya penarik mereka diterima atau tidak dalam dunia seni yang penuh glamour.
Kehadiran dan tuah seseorang artis bukan bergantung kepada paras rupa dan suara semata sebaliknya lagu dengan lirik dan melodi yang ‘catchy’ dan menyentuh hati menjadi titik tolak seseorang itu mampu meraih populariti dalam sekelip mata.

Sementara Sudirman Haji Arshad menerima Anugerah Persembahan Terbaik dengan lagu “Merisik Khabar.”
Begitulah dengan penyanyi, Zaiton Sameon ketika muncul buat pertama kali dengan album “Menaruh Harapan” (1987) yang mempertaruhkan lagu tersebut. Seperti yang diramalkan lagu tersebut telah menghadirkan sebutir bintang yang mampu bersinar dalam sekelip mata dan menyinari kerjaya seninya.
Mempertaruhkan lagu “Menaruh Harapan” ciptaan A. Ali dengan Datuk Habsah Hassan, Zaiton Sameon berjaya mencuri hati ribuan para peminat dengan lagu melankoliknya yang berkongsikan kisah suka, duka dan keperitan hidupnya dalam lagu tersebut.

Realitinya lagu tersebut telah meletakkan nama Zaiton Sameon di tempat teristimewa di hati ribuan peminatnya.
Walaupun lagu tersebut telah mempopularkan beliau, hakikatnya lagu tersebutlah juga telah ‘mencampakkannya’ dalam dunia penuh sayu dan hiba apabila terlibat dalam kemalangan.

Sebagai artis baru yang meraih populariti dalam sekelip mata, Zaiton Sameon tidak mampu menolak undangan “stageshow” yang memenuhi jadual hariannya tetapi takdir menentukan segalanya.
Walaupun telah 35 tahun berlalu namun sampai saat ini, Zaiton Sameon tidak mampu melupakan tarikh 21 Februari 1990.

Kemalangan yang berlaku pada pada 21 Februari 1990 mengorbankan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar dan pemuzik pengiring, Ismail Shaari
Betapa tidak pada tarikh tersebut, sekembalinya Zaiton Sameon bersama anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, 13, terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur – Ipoh dekat Batang Kali. Van yang mereka naiki telah dilanggar lori. Dalam kemalangan tersebut selain anak tunggalnya, Azirwan dan pemuzik pengiringnya, Ismail Shaari terkorban Zaiton pula mengalami cedera parah menyebabkan beliau mengalami gangguan emosi selama 11 tahun (Februari 1990 – Julai 2001).
Selepas kemalangan tersebut, kehidupan Zaiton berubah 360 darjah. Jika sebelum itu, hidup beliau bahagia disamping anak tunggalnya dan dimandikan dengan segala kemewahan dengan “stageshow” yang bertali arus namun dalam sekelip mata beliau hilang segala-galanya.

Keperitan hidupnya hanya Dia yang tahu. Namun sebagai manusia beliau ‘Redo’ menerima takdir hidupnya tetapi sentiasa berusaha dan menggunakan bakat anugerah-Nya.
Setelah 35 tahun tragedi itu berlalu dan beliau ‘Redho’ dengan ketentuan-Nya, namun ia sedikitpun tidak mampu melupakan impian yang tersimpan kemas di hatinya.
“Walaupun kehidupan saya perit namun saya tidak pernah menyesal. Sebaliknya saya redo kerana diberikan kesempatan untuk meneruskan kehidupan ini walaupun tidak semewah dulu.

Beliau yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sentiasa ditemani ayahnya, Sameon (kanan) dan ibunya, Kamariah Abdul Manap (kiri).
“Bukan itu sahaja, malah saya bersyukur sebelum ‘menutup mata,’ impian saya dimakbulkan.
Saya bukan mahukan kemewahan yang melimpah ruah sebaliknya berharap dapat merakamkan single terbaru.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kerana impian saya direalisasikan oleh pemilik I’Dahlia Corner, Dahliati Aliruddin dengan menaja kos penerbitan sebanyak RM12, 000,” luah Zaiton Sameon ketika ditemui baru-baru ini.
Jika sewaktu awal kemunculannya, Zaiton Sameon menyanyikan lagu “Menaruh Harapan” ciptaan A. Ali dengan lirik Habsah Hassan, kali ini ia meneruskan tradisi itu.

Bagaimanapun untuk lagu “Redho,” A. Ali bergandingan dengan Syed Wafa dan Habsah Hassan kekal sebagai penulis lirik.
“Lagu ‘Redho’ adalah karya terakhir A.Ali sebelum menghembuskan nafas terakhir. Ketika saya dapat lagu tersebut muziknya kosong dengan lirik sahaja.
“Tetapi tidak lama selepas pemergiannya, adik angkat saya, Syed Wafa mengubah muzik untuk memberikan lebih ‘rasa’ pada lagu tersebut.

“Saya ingin berterima kasih kepada penyanyi Elveena Iris yang membantu mendapatkan tajaan sebanyak RM12,000 untuk menerbitkan lagu tersebut dengan komposernys, Belle Fatah,” ujar Zaiton Sameon.
Menghayati setiap bait lirik “Redo” (Redha) single terbaru Zaiton Sameon ia bukan sahaja dekat dengan jiwa beliau malah ia menceritakan betapa rindunya beliau terhadap Allahyarham anak tunggalnya itu.

“Saya rindu sangat dengan arwah anak saya. Walaupun telah 33 tahun ‘arwah pergi’ kerinduan terhadapnya tidak pernah pudar.
“Ketika rakaman…dengan melagukan bait-bait lirik ciptaan Kak Chah ( Habsah Hassan) yang begitu meresap di hati, saya rasa bagaikan rindu ini terlerai melalui lirik dan melodinya,” cerita Zaiton Sameon.

Selain fokus pada dunia seni, Zaiton juga aktif menjalankan perniagaan Sambal Bilis Petai resipi Allahyarham ibunya, Kamariah Abdul Manap.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan Zaiton Sameon sentiasa diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan…Amin

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.