Oleh: Nafsiah Jani
Setiap pelakon yang sudah mencapai tahap tertentu dalam dunia lakonan pasti mengimpikan gelaran sebagai pengarah. Namun ini tidak kepada pelakon Amar Asyraf Zailuddin,39, yang kini sanggup meninggalkan dunia lakonan semata-mata ingin menjadi seorang usahawan minyak wangi.
Kini Amar yang juga pemilik jenama tempatan House of Amar yang beroperasi di Shah Alam dalam perancangan menganjurkan Festival Aroma Kita, sebuah festival bergerak pertama yang berfokus sepenuhnya kepada jenama-jenama wangian tempatan.

Festival ini lahir sebagai satu usaha menyatukan pencinta haruman, pengusaha muda dan komuniti pengguna yang selama ini mencari platform untuk meraikan keindahan aroma buatan anak bangsa.
“Memang gaji jadi pengarah ni besar tapi bayarannya lambat. Selalunya bayaran akhir selepas tiga bulan drama kita ditayangkan. Bagaimana nak hidup macam tu. Itu sebabnya saya tak minat nak jadi pengarah. Lebih baik hidup macam ni…jadi usahawan, duit masuk hari-hari.


“Dah lima tahun saya tinggalkan dunia lakonan. Bukan merajuk, tapi saya nak tumpukan sepenuh perhatian dalam dunia perniagaan minyak wangi yang saya usahakan bersama isteri. Festival ini saya harap bakal mencatat sejarah sebagai penanda aras baharu dalam landskap gaya hidup negara. Buat permulaan dapat kehadiran 1000 ke 2000 pengunjung pun sudah mencukupi masa festival ini nanti.”
Festival Aroma Kita, ini bakal menghimpunkan lebih 14 pengusaha minyak wangi tempatan di Debob Event Space, PERDA, Pulau Pinang pada 30- 31 Ogos ini. Karnival ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
Antara pengusaha minyak wangi tempatan yang terlibat dalam Festival Aroma Kita ini ialah Hoa, Fake, Sorae, Scentic, Sephoria Scent, Meg Fragrance, Beauboss, Tres Parfum, Lancia Perfume, Nabia Parfum, Sugarbomb, Szindore, Keef & Nish dan Medin Fragrance.

Menyentuh mengenai dunia lakonan yang ditinggalkannya, tambah Amar anak kelahiran Melaka ini lagi,“Saya tinggalkan dunia lakonan sebab saya nak fokus sepenuhnya pada bidang perniagaan. Sebelum ini saya pernah meniaga sambal dan macam-macam lagi. Malah bisnes saya` jahanam’ dan saya bankrup sewaktu covid-19. Saya jatuh terduduk, kereta habis terjual disebabkan saya sibuk berlakon dan dalam waktu yang sama meniaga tanpa fokus. Bila bisnes diabaikan semuanya hancur.
“Itu sebabnya saya nak tumpukan sepenuh perhatian pada dunia perniagaan yang saya usahakan. Pengalaman lalu banyak ajar saya, kalau nak buat satu-satu perkara tumpu sepenuhnya perhatian dan bukan buat dua kerja dalam satu waktu yang sama, memang huru-haralah hidup saya sebelum ini.

“Dulu berlakon saya boleh dapat gaji sehingga RM30,000 sebulan. Namun saya tak tahu duit itu pergi ke mana. Kini, walaupun gaji saya lagi kurang daripada apa saya dapat ketika berlakon, lebih kurang RM6,000 sebulan namun saya rasa cukup. Saya rasa bila meniaga, kini rezeki saya lebih berkah,” kata Amar lagi.
Bercerita mengenai dunia perniagaan, jelas Amar lagi, kini dia mengamalkan konsep turun padang bertemu pelanggan.
“Nak berjaya, jangan tunggu orang datang jumpa kita. Sebaliknya kita yang harus turun padang untuk mendekati mereka. Itu sebabnya saya anjurkan karnival bergerak sebegini. Kalau berjaya lepas ini mungkin kami akan bergerak ke arah selatan dan pantai timur pula. Saya buat begini sebab saya nak bantu founder brand-brand tempatan. Kalau mereka berjaya, saya pun akan berjaya sekali.

“Inspirasi untuk festival ini tercetus daripada pemerhatian saya terhadap ketiadaan acara khusus yang benar-benar mengangkat industri minyak wangi tempatan ke arus perdana berbanding negara jiran seperti Indonesia yang mempunyai lebih 50 festival wangian setiap tahun. Sementara Malaysia masih kekal dengan hanya segelintir acara yang memberi ruang kepada jenama tempatan untuk menonjol.
“Kalau boleh, suatu hari nanti saya nak mereka semua ada kilang macam tauke minyak wangi di Arab. Brand mereka kecil tapi kilang mereka cukup ‘kelas. Itu sebabnya saya nak jadi seperti mereka. Kalau boleh saya nak jadikan ianya sebuah industri yang menonjolkan bakat dan produk tempatan yang berkualiti tinggi, unik dan lebih mampu milik berbanding jenama luar negara.”

2015 Amar menerima Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama dalam drama Dari Pintu Neraka di Anugerah Skrin ke-19. Manakala pada 2017, Amar pernah tercalon bagi kategori Aktor Pilihan dan Pasangan Pilihan (bersama Nina Iskandar) dalam drama Terlarang Sudah Rinduku pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur ke-4.
Amar bekas graduan Diploma Seni Pengarah dan Lakonan, ASWARA kini bahagia bersama isterinya, Nor Farhana dan anaknya, Ammara Fateema.
Antara filem yang dibintanginya ialah Penunggu Istana (2011), 29 Februari, Blok 404, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda, Daulat, Juang dan Escape. Manakala drama pula antaranya Nilapura, Kasih Najihah, Kitab Cinta, Psikik, Dalam Hati Ada Taman, Setia Hujung Nyawa, Duri di Hati, Bila Hati Perempuan Menjerit, Sarafina, Tanah Kubur, Masihkah Ada Cinta, Raya Ni Mesti Kahwin, Patah Seribu, Hantu Susu Kembali, 3 Jumaat Terakhir, Aku Mahu Terbang, Janji Kita, Getaran Jiwa, Setia Hujung Nyawa Raya, Sweet Lola, Ciptaan Terindah, Janin Emas, Perempuan Lindungan Kaabah dan Designer DD Naik Haji.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









