Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
PERIBAHASA Melayu ada berkata ‘ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’ yang membawa maksud sifat atau perangai anak akan lebih cenderung kepada orang tuanya atau keluarganya sendiri. Ia merujuk kepada sifat yang diwarisi secara genetik akan menyebabkan anak-anak akan menunjukkan ciri-ciri yang sama dengan ibu bapa mereka.
Menghayati makna peribahasa ini pasti akan mengingatkan kita kepada tiga anak seniwati legenda yang mengikuti jejak langkah ibu mereka dalam bidang seni hingga berjaya meraih kejayaan dan populariti.
Tiga bintang cemerlang dalam bidang seni ialah Anita Sarawak, Noorkumalasari dan Fauziah Ahmad Daud.


Diantara mereka bertiga, Anita Sarawak anak kepada Allahyarham Seniwati legenda, Siput Sarawak dan Allahyarham Seniman Datuk S. Roomai Noor adalah bintang paling cemerlang kerana beliau mencipta nama dan populariti bukan setakat di Singapura dan Malaysia sahaja malah hingga ke Las Vegas!
Walaupun beliau hidup tanpa kasih sayang seorang ayah kerana ibu dan ayahnya berpisah ketika Anita Sarawak berusia sembilan bulan namun ia bukan penghalang beliau berjaya dalam bidang seni.

Menyelusuri kejayaan Anita Sarawak atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd. Taib, 73, dalam bidang seni pasti akan membuatkan anda terpegun seketika. Sebabnya Anita Sarawak, kakak sebapa dengan bekas model, pelakon dan penyanyi terkenal, Noor Kumalasari dan adik kepada Allahyarham Seniwati Murni Sarawak, memulakan kerjaya sebagai anak seni seawal usia empat tahun apabila berlakon dalam filem “Penchuri” (1956).
Selepas filem berkenaan pada usia 14 tahun, Anita Sarawak berlakon dalam filem “Dua Kali Lima” (1966) arahan M. Amin. Anita Sarawak muncul dalam dua filem lagi apabila berhijrah ke Kuala Lumpur iaitu “Mr. Cinderella 2” (2003) dan “Diva Popular” (2006).

Bintang utama filem berkenaan ialah Yusof Latiff, Siput Sarawak dan S. Kadarisman.
Walaupun pernah menceburi bidang lakonan pada usia kanak-kanak tetapi bakat Anita Sarawak lebih menyerlah sebagai penyanyi sehingga mencipta nama dan dikenali sebagai penghibur bertaraf antarabangsa apabila berjaya membuat persembahan di Caesar’s Palace, Amerika Syarikat untuk satu tempuh yang lama.
Bagaimanapun di awal kehadirannya sebagai penyanyi pada usia 15 tahun tidak semudah itu ibunya, Siput Sarawak melepaskan beliau sendirian.
Pernah tersiar berita di akhbar Singapura pada tahun 1970an, setiap kali membuat persembahan di kelabmalam pasti Siput Sarawak menemani Anita Sarawak kerana tidak mahu melepaskannya sendirian.

Bagaimana tanggungjawab Siput Sarawak sebagai ibu yang sentiasa menemani anaknya terlerai apabila pada tahun 1972, Anita yang berusia 20 tahun berkahwin dengan pemain piano dari Kota Singa iaitu Mohamed Abdul Samad.
Adalah difahamkan setelah perkahwinan itu, Anita Sarawak merakamkan sebuah lagu “Pemain Piano”yang ditujukan khas buat suaminya. Bagaimanapun perkahwinan itu tidak kekal lama kerana mereka berpisah pada April 1976.
Anita pernah berkata, perkahwinan pertamanya bukankah berlandaskan cinta sebaliknya memenuhi permintaan Allahyarham ibunya yang tidak akan melepaskan Anita ‘menyanyi’ selagi masih menjadi tanggungjawabnya.

Selepas perkahwinan pertamanya berakhir dengan perceraian, Anita berkahwin dengan Broery Marantika yang telah memeluk Islam pada tahun 1981 tetapi perkahwinan itu juga berakhir dengan perceraian pada 1985.
Pada 1985 Anita Sarawak berhijrah ke Amerika Syarikat demi kariernya dan berpeluang menyanyi di pusat hiburan Caesar’s Palace. Bagaimanapun sebelum berhijrah Anita Sarawak meninggal sebuah album untuk para peminatnya dengan lagu hitsnya “Bawalah Daku Pergi.”
Pada tahun 1985, Anita berhijrah ke Amerika Syarikat demi melebarkan kariernya sebagai penyanyi di pusat hiburan terkenal Caesar’s Palace. Bagaimanapun pada 1995 beliau berkahwin dengan bekas penyanyi kumpulan Commodores, James Dean Nicholson (JD) namun berakhir dengan perceraian pada 1999!

Anita Sarawak meneruskan kerjaya seni dengan menyanyi di Caesar’s Palace. Pada Ogos 2001, Anita Sarawak berkahwin dengan Pengurusnya, Martin Cox, 47, dengan nama Islamnya, Mohamad Mahathir Abdullah yang berlangsung di sebuah masjid di Las Vegas.
Setelah berkahwin, Anita mengambil keputusan kembali menetap di Singapura dan Malaysia pada tahun 2002.
Sepanjang menetap di Malaysia dan Singapura hampir 10 tahun, Anita Sarawak banyak mendapat tawaran muncul sebagai hos TV dalam program terbitan Astro, kontrak rakaman album dengan KRU dan mengacarakan rancangan-rancangan hiburan Inggeris dan Melayu di Mediacorp TV dan Suria Channel di Singapura.

Selain itu, Anita Sarawak juga muncul dalam dua filem “Mr. Cinderella 2” (2003) dan “Diva Popular” (2006).
Bagaimanapun pada tahun 2012, Anita Sarawak dan Mahathir menghilangkan diri daripada media dan peminat dan kembali ke Amerika Syarikat. Khabarnya kembalinya Anita Sarawak ke Amerika Syarikat bukan untuk meneruskan kerjayanya sebagai penyanyindi Caesar’s Palace sebaliknya beliau bahagia menjalani kehidupan sebagai seorang isteri bersama suami tercinta.
Anita Sarawak telah banyak kali menerima Gold Disc ketika bersama EMI kerana album-albumnya yang berjaya mencuri hati para peminatnya antaranya “With a Lot O’ Soul (1969) “Rinduku Hilang”(1970), “Kawanku Bintang Capricorn”(1972), “Kawanku Bintang Capricorn”(1972), “Beautiful Sunday,” (1973), “Asmara”(1989), “Seksis”(2004) dan “Another Dimension”(2005).


Menjejaki kejayaan adik sebapa dengan Anita Sarawak, siapa tidak kenal peragawati, pelakon dan penyanyi Noorkumalasari Mohamed Taib, anak kepada Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum dan Allahyarham Datuk S. Roomai Noor.
Noorkumalasari, dikategorikan sebagai artis versatile kerana dia bukan sahaja terkenal sebagai peragawati (model) sejak 1960-an malah beliau adalah pelakon hebat dan penyanyi pujaan ramai.

Populariti dan penampilannya yang menarik sebagai model, Noorkumalasari bukan sahaja sering menjadi pilihan malah beliau pernah dinobatkan sebagai “Model of The Year” pada tahun 1974 dan 1976.
Ibu kepada empat orang anak lelaki dengan yang sulung, Abdul Qayyum melalui perkahwinan pertama dengan Roslan Onn. Perkahwinannya dengan Wan Mohamad Yusof, mereka dikurniakan tiga anak lagi iaitu Wan Amin Nurrashid, Wan Alni Nuruddin dan Wan Irfan.

Beliau yang mula menceburi bidang lakonan sejak tahun 1960-an sebelum menjadi peragawati dan penyanyi.
Walaupun mula berlakon dengan berwatak sebagai Emelia setiausaha kepada En. Rostam (P. Ramlee) dalam filem “Putus Sudah Kasih Sayang” pada tahun 1971 tetapi lakonannya sebagai Rahayu dalam “Menanti Hari Esok” bagaikan menzahirkan sebutir bintang dalam dunia filem Melayu.

Melalui filem itu, Noorkumalasari menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1977/1978.
Sepanjang 20 tahun menceburi bidang lakonan filem dan drama, Noorkumalasari membintangi hampir 20 filem dengan sebuah filem Hollywood “Paper Tiger” bersama David Niven pada tahun 1975.

Disamping berlakon Noorkumalasari juga berbakat sebagai penyanyi dan lagu duetnya bersama Allahyarham Datuk Sudirman Arshad “Bimbang Terluka Lagi” adalah lagu popular diminati ramai.
Selain menyanyi secara solo, Noorkumalasari sering berduet dengan pasangan duetnya yang serasi, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Mereka sering muncul bersama dalam program terbitan RTM seperti Puspawarna sebuah program hiburan yang diminati ramai.

Malah beliau pernah dinobatkan sebagai ‘Penyanyi Paling Popular’ anjuran akhbar News Straits Times.
Antara lagu-lagu popular Noorkumalasari ialah “Mata, Selamat Pagi Sayang, Aku Di Sini, Terpikat, Terpedaya, Biarlah Ku Sendiri, Melangkah Seiringan, Bimbang Terluka Lagi, Aku Dan Perasaan, Istilah Cinta.
Bagaimanapun setelah berhijab, Noorkumalasari meninggalkan terus dunia seni.


Apabila sebut nama Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy, pasti ramai yang rindu dengan pelakon berbakat anak kepada Allahyarham Primadona Seniwati Datin Saadiah dan Allahyarham Biduan Datuk Ahmad Daud.
Mengikuti perjalanan seni Ogy, sememangnya anak seni sejati kerana bakat yang dimiliki mewarisi kedua orangtuanya.

Sebagai penyanyi, Ogy banyak mewarisi bakat ayahnya, Ahmad Daud. Malah Ogy pernah bercerita beliau pernah menyanyi di sebuah kelabmalam dan tanpa pengetahuannya salah seorang ‘penontonnya’ adalah ayahnya, Ahmad Daud.’
Sesuatu yang tidak diduga nyanyiannya mendapat tepukan daripada seorang pengunjung yang tidak lain daripada ayahnya, Ahmad Daud.

filem pertama arahannya, ‘Ceritaku Ceritamu’ yang diterbitkan dan ditayangkan pada tahun 1979.
Menurut Ogy, jika cara beliau menyanyi tidak betul Ahmad Daud akan menegur.
Sementara itu dalam bidang lakonan, Ogy mula berlakon pada usia 11 tahun dalam filem “Hati Batu” bersama adiknya Rahman. Meskipun itu filem pertama mereka, kalau dah darah daging dari anak seni, lakonannya nampak natural.

Berlakon sebagai Edah bersama adiknya, Rahman membawa kisah dua beradik melalui perkahwinan yang tidak direstui menjadi mangsa dera datuk mereka yang kaki botol bukan sahaja berjaya membuat penonton larut dalam kisah sedih dua beradik berkenaan. Malah melalui filem itu telah melahirkan ‘bintang kecil’ yang berbakat.
Lebih 20 tahun dalam industri filem, bakat dan populariti Ogy bukan sahaja telah memberinya peluang membintangi lebih 20 filem tempatan malah beliau turut diberi watak utama dalam empat filem usahasama dengan Indonesia iaitu “Gadis Hitam Putih,” (1985), “Dewi Cinta” (1986), “Bayangan Cinta” (1987) dan “Bayi Tabung Uji” (1988).

Selain berlakon dan menyanyi, anak kepada Allahyarham Seniwati Saadiah ini juga berbakat sebagai pengacara dan penulis skrip.
Filem “Suara Kekasih” yang diterbitkan pada tahun 1986 dengan skrip hasil karyanya membukti beliau bukan calang-calang pelakon dan penulis skrip.

“Suara Kekasih” arahan Ida Faridah terbitan Amir Communications lakonan Ogy, Azmil Mustapha, Connie dan Ebby Saiful mencapai kutipan pecah panggung RM542,809
Malah sebagai penyanyi, Ogy telah merakamkan empat album “Bintang Harapan”(1982), “Gerhana”(1983), “Pelayaranku”(1989) dan “Variasi”(1991) dengan dua album kompilasi “Best Of Ogy & Ebby” (2001), “Memori Hit”(2010) dan “4 Bintang Popular”(2011) dengan lebih 20 lagu malar segar antaranya “Azura, Berakhir Kemarau Di Hati, Bila Bunga-Bunga Berguguran, Bila Rindu dan Cintaku Tak Bermusim.”

Sepanjang perjalanannya sebagai anak seni Ogy telah menerima Anugerah Pelakon Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1980 kerana lakonannya dalam filem “Ceritaku Ceritamu,” dua kali dinobatkan sebagsi Pelakon Wanita Terbaik pada FFM1985 melalui filem “Ali Setan” dan “Puteri” pada FFM1987 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di FFM2016 kerana lakonannya dalam“Langit Cinta.”
Beliau juga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama pada Anugersh Skrin 2008 kerana lakonannya dalam filem “Suara Saleha” dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) pada tahun 2016 melalui filem “Langit Cinta.”

Selain itu, melalui Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 1987), Ogy menerima Anugerah Pelakon Filrm Wanita Popular dan Bintang Paling Popular dan pada ABPBH 2015, Ogy menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
Pada Anugerah Tribute P. Ramlee (2015) Ogy menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Sri Angkasa (2016), Ogy menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama (TV).

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.









