dR Sam kini lebih senang berdakwah mencari reda Allah.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan dR. Sam Rasputin/Koleksi Syed Wafa

dR. Sam Rasputin atau nama sebenarnya, Salim Ibrahim, 72, adalah antara artis terawal yang merakamkan album rege di Malaysia dan popular menerusi lagu “Saya Anak Malaysia”. Seperti kebanyakan orang popular dalam kalangan rakyat Malaysia, orang ramai tidak mempertikaikan beliau menggunakan gelaran Dr. tanpa sebarang kelayakan seperti doktor perubatan atau pun doktor falsafah. Nama dR Sam yang digunakannya membawa maksud ‘dari Rembau Saya Anak Malaysia’.

Lagu patriotik nyanyian dR. Sam Rasputin “Saya Anak Malaysia” terus segar merentasi generasi, apabila rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat masih menghayati lagu itu sebagai lambang kasih dan bangga menjadi warganegara Malaysia.

Di awal kemunculan beliau dalam dunia seni.

Hampir 39 tahun, lagu ciptaan Datuk M. Nasir dan lirik oleh S. Amin Shahab ini terus bergema setiap kali menjelangnya Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos yang menjadi suara keramat menyatukan rakyat pelbagai kaum di bawah semangat Malaysia Madani. dR. Sam Rasputin bukan sahaja seorang seniman, tetapi juga ikon dakwah dan patriotisme yang telah mewakafkan bakatnya untuk masyarakat dan negara.

Ditanya mengenai perkembangan terbarunya, kata dR. Sam Rasputin, kini dia hanya berdakwah dari rumah ke rumah.

Album pertama dR Sam bertajuk Abu Nawas yang mengandungi lagu popular Hutan Batu.

“Kini banyak habiskan masa di Kawasan Puchong dan pergi dari rumah ke rumah selepas waktu Asar mengajak mereka mengimarahkan dan makmurkan masjid dan malamnya pula kami adakan ceramah. Saya pun bukannya kuat lagi… tapi masih bolehlah nak berbakti ke jalan Allah.

“Sekarang ini selalunya kami pergi dari satu tempat ke satu tempat selama tiga hari sahaja. Manakala dalam sebulan, sebanyak tiga kali saya bersama jemaah saya bergeark dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sekarang dah berumur, kena buat persediaan menuju akhirat…dalam dunia ini dah cukup… apa yang saya kecapi kini dan umur pun dah 72 tahun, apa lagi yang saya nak cari.”

Album yang menampilkan lagu hit “Saya Anak Malaysia”

Bercerita mengenai lagu Saya Anak Malaysia, dR Sam menambah,”Tak sangka lagu tu popular sedangkan Datuk M.Nasir menciptanya ketika kami tengah shoting filem Kembara Seniman Jalanan. Masa rehat-rehat dia main busking dan terciptalah lagu tersebut dan lepas itu M.Nasir bagi pada saya untuk selesaikan lagu tersebut.

“Kekuatan lagu itu terletak pada melodi yang ringkas dan lirik mudah diingati, menjadikan lagu tersebut dekat dengan hati rakyat tanpa mengira usia atau bangsa. Bila dengar lagu ini, semua orang rasa mereka sebahagian daripada keluarga besar bernama Malaysia. Ini yang membuatkan saya bangga.

Penampilan istimewa penyanyi reggae Malaysia, dR Sam Rasputin sebagai doktor sakit puan dalam filem komedi, Kepala Angin (1987) arahan Azmil Mustapha.

“Saya juga terharu, mana-mana saya pergi, saya dengar budak-budak begitu seronok menyanyikan lagu tersebut. Budak-budak tahu lagu saja, tapi mereka tak kenal penyanyinya dan saya tak kisah kerana itu zaman remaja saya dan sekarang ini dengan penampilan saya berserban dan berjanggut, mesti budak-budak tertanya-tanya, ustaz mana pulak ni,” kata dR Sam sambil ketawa.

Menyentuh mengenai rakaman single baru, dR Sam menambah,” Bagaimana nak buat single sebab suara saya pun dah susah nak tarik. Kekuatan pun dah tak ada dan saya juga bersyukur hingga sekarang masih ada tawaran menyanyi. Tambah pula waktu hari merdeka dan sambutan Hari Malaysia lagi banyak tawaran yang saya dapat.”

dR Sam diraikan rakan-rakan artis serta sahabat handai ketika majlis makan malam, Saya Anak Malaysia.

Pada tahun 1973, beliau menduduki A-Level di Kolej Teknikal Hutan Waltam di England. Dua tahun selepas menamatkan pengajian, beliau pergi ke Jerman di mana beliau menjadi pemuzik jalanan sepenuh masa.

Nama dR Sam Rasputin mulai dikenali selepas menyertai konsert pesta budaya di panggung Anniversary pada 1981.

“Masa tu saya hanya seorang busker yang menyanyi di sekitar Bangsar dan Petaling Jaya. Bila Ali Bakar ajak saya menyertai konsert tersebut yang akan dijayakan artis-artis popular antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk D.J Dave, Datuk Khadijah Ibrahim dan ramai lagi membuatkan saya terfikir apa yang patut dilakukan,” ujarnya bersyukur semuanya berjalan lancar, walaupun dirinya bukannya artis popular sepertimana artis-artis yang lain.

dR Sam Rasputin (kanan) ketika menerima cek, sijil dan trofi Ikon Seni Dakwah & Patriotisme daripada Presiden KOIRAMA, Ayob Abd. Majid.

Sempena meraikan sambutan hari kemerdekaan negara ke-68, Koperasi Industri Rakaman Muzik Malaysia (KOIRAMA) dan Persatuan IRAMA menerusi Presidennya, Ayob Abd Majid telah menganjurkan majlis makan malam `Saya Anak Malaysia’. Pada majlis berkenaan bagi menghargai dR. Sam Rasputin yang telah dianugerahkan Ikon Seni, Dakwah & Patriotisme. Pengiktirafan ini membolehkan dR. Sam menerima hadiah wang tunai RM2,000, sijil berserta trofi.

Program Makan Malam “Saya Anak Malaysia” diadakan sebagai satu inisiatif Presiden KOIRAMA, Ayob Abd Majid yang juga Persatuan IRAMA, untuk meraikan dan menghargai jasa besar dR Sam Rasputin, penyanyi dan pencipta lagu patriotik terkenal, Saya Anak Malaysia.

Program makan malam ini bukan sahaja meraikan Dr Sam sebagai Ikon Saya Anak Malaysia, malah menjadi wadah untuk mengenang jasa seniman-seniman tanah air yang telah menyumbang kepada negara melalui seni suara, budaya, dan perjuangan dakwah. Selain Dr. Sam, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Mel Ex Wings, Iwan Syahman dan Kodan Raja Lawak.

dR Sam bersama isteri, Pauziah, anaknya serta cucu tercinta.

“Saya terharu dan tak sangka menerima anugerah ini. Saya ingat Ayob ajak datang sekadar untuk memeriahkan majlis sahaja. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih pada Ayub kerana masih ingat jasa dan tetap ingin menghargai orang lama macam saya dalam industri muzik,” kata dR Sam anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini.

Walaupun tanpa single baru namun karya-karyanya terus hidup dan terus dihargai peminat terutamanya Saya Anak Malaysia.

Selepas pulang dari mengerjakan haji di Mekah, Arab Saudi dR Sam `bersara’ dari kerjaya hiburannya pada 1990. Sejak itu, beliau banyak bergiat aktif dengan kumpulan tabligh dan mendalami ilmu agama

Penampilan terkini dR Sam yang lebih senang berjubah.

dR. Sam kini bahagia bersama isterinya, Pauziah Mohd Yunus pada 8 Ogos 1981. Pasangan ini bahagia bersama dua anaknya Siti Nabila dan Mohd Razali serta tiga orang cucu.

Antara lagu nyanyian dR Sam ialah Abu Nawas, Sayang Oh Sayang, Saya Anak Malaysia, Semarak Merdeka dan Sinar Harapan.

Selain menyanyi, dR. Sam juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Mekanik (1983), Matinya Seorang Patriot (1984), Kembara Seniman Jalanan (1986) dan Kepala Angin (1987).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here