Sudah memiliki beberapa anugerah hasil lakonan, namun Nabila Huda tetap menimba ilmu bagi memantapkan lagi kedudukannya sebagai pelakon.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Nabila Huda/Koleksi Syed Wafa

BERBANDING anak-anak Datuk Amy Search yang lain, nama anak sulungnya, Nabila Huda yang dilahirkan oleh bekas isteri pertamanya, Faridah Fadzil, amat menyerlah sebagai penyambung warisan seninya biarpun dalam bidang lakonan.

Nabila Huda atau mesra dengan panggilan Abil, 41, mempunyai empat orang adik-beradik dari ibu yang berbeza. Adik-adiknya adalah Irisha Myra, 28, (ibu Roslisa Ahmad), Alexander Zulkarnain, 22, Sania Samara, 20, dan Qaqa At-Tameemi, 17, merupakan anak-anak kepada isteri terkini Amy iaitu Datin Norhasniza Hassan atau Nourrish.

Jika Amy, 67, berjaya meletakkan diri sebagai penyanyi rock paling ikonik dan berpengaruh di Malaysia, Nabila pula yang memulakan karier lakonan pada 2001 menerusi watak kecil dalam “Lagi-Lagi Senario” juga tidak kurang hebatnya.

Semasa kecil bersama ayah tercinta Amy Search.

Watak Maria yang dilakonkan oleh Nabila dalam filem “Munafik”, arahan Syamsul Yusof melayakkan dia menerima beberapa anugerah, Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk Majlis Anugerah Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016 untuk kategori Gandingan Serasi Filem (bersama Syamsul Yusof).

Bukan itu sahaja, wataknya sebagai Zara dalam filem “Makrifat Cinta” arahan Kamal G, melayakkan Nabila menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30.

Isteri kepada Mohd Izwan Johar dan ibu kepada Kesha Laila Zaidi, 15, itu bukan saja menyerlah di layar lebar, malah bakat lakonannya juga mendapat perhatian di layar kaca.

Di awal kemunculan dalam dunia seni sering menjadi cover majalah huburan terkenal tanah air antaranya majalah URTV.

Nabila pernah dipilih sebagai Pelakon TV Wanita Popular pada 2013 sewaktu Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-27, manakala di Anugerah Skrin 2014, dia diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kerana lakonan berkesannya dalam drama “Balqis” dan pada Anugerah Skrin 2019, dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama (“Dia Tak Berdosa”) dan Anugerah Seri Angkasa 2022 untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik (“Jeti”).

Meskipun berjaya mengumpul beberapa anugerah, Nabila masih menganggap dirinya ‘kurang’ dan perlu belajar banyak perkara lagi bagi memastikan perjalanan seninya relevan.

“Zaman sekarang tidak macam dulu lagi, sebab itulah saya perlu ubah daripada cara lama. Dulu memang kita (pelakon) susah, kena lalu hard time yang gila-gila dan buat kita rasa kuat sekarang ini.

Bergandingan dengan Beto Kusyairy dalam filem “Gayong” arah Faisal Ishak.

“Budak-budak sekarang sangat bertuah kerana ada sosial media tapi kena ingat ada juga keburukannya dengan platform pantas untuk terus ke atas sebab bila terlalu cepat naik, akan terlalu cepat juga jatuh.

“Sekarang ini banyak pesaing dan susah untuk terus relevan jika tetap ditakuk lama. Setiap hari kena keep up untuk push yourself dengan content pelbagai. Macam kita orang ini sudah relaks sebab dah ada kepercayaan daripada produksi dan tv stesen, tidak perlu try hard untuk buat apa-apa.

“Budak-budak sekarang kira bertuah la. Apapun dengan platform yang ada sekarang ini jangan take for granted. Walaupun rasa diri dah popular dan banyak followers daripada orang lain, perlu ingat asal usul dan sentiasa be humble. Kena belajar lagi.

“Walau dah terkenal tapi tak cukup matang lagi, jangan terlalu leka dengan likes yang ada di sosial media. Tolong sedar diri yang korang belum sampai ke tahap itu. Cuba usaha pergi cari ilmu dengan menyertai kelas lakonan untuk belajar,” nasihatnya pada bakat baharu.

Nabila Huda atau Abil kalau berlakon penuh penjiwaan dan lakonannya sampai kepada penonton.

Nabila juga mengingatkan pendatang baharu, jika sudah diberi watak utama, jangan bangga diri kerana banyak lagi yang perlu diterokai dalam bidang lakonan.

“Janganlah bila diberi watak utama, dah jadi kekwat dan seolah-olah tahu semua perkara. Sebenarnya anda tidak tahu semua benda. Jangan sampai orang rengsek dengan kekurangan ilmu awak itu sewaktu berada di set kerana semua yang masuk set sudah dalam keadaan bersedia.

“Lagi satu jangan terlalu harap pada orang. Bagi saya sendiri, kalau rasa diri kurang saya akan tanya orang dan belajar dengan pakar. Masa mula-mula dulu saya tanya senior dan perhati semua sudut sewaktu di set. Alhamdulillah selama berada dalam generasi baharu ini, belum pernah lagi ada pengalaman bekerja dengan pelakon baharu yang tak bersedia,” katanya terus terang.

Besar kemungkinan Nabila tidak berhadapan dengan pelakon baharu yang kurang bersedia atau kekwat kerana dia samgat memilih sebelum bersetuju berlakon dalam mana-mana projek, baik drama atau filem.

Bergandingan dengan Hasnul Rahmat dalam drama “Langit Tanpa Bintang”.

“Selalunya, saya pilih untuk berlakon dengan mereka yang sudah biasa dan selesa berlakon dengan mereka. Kebanyak skrip yang saya pilih adalah skrip yang heavy. Mungkin adik-adik yang baharu ini tidak terpilih untuk skrip sebegitu.

“Saya memang sangat particular untuk memilih siapa sparring partner supaya senang saya nak bekerja di set. Ala biasalah, kita ni kan mak-mak sebab perlu luangkan masa di rumah, jadi saya tak nak buang masa di set nanti saya cepat marah dan boleh buat saya nampak tua. Saya nak happy, sebab itu saya pilih skrip dan team yang saya selesa bekerjasama dengan mereka,” katanya yang gembira dengan kehidupan sekarang dan tidak ada apa yang perlu dikejar buat masa ini.

Sedia berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat

Nabila yang muncul dalam filem “Telaga Suriram” dan “Gayong” pada tahun ini mengaku ada juga beberapa rakan artis yang minta dia buatkan kelas lakonan.

Namun Nabila merasakan dia belum layak untuk menjadi guru lakonan kepada orang lain kerana dia sendiri masih belajar kerana baginya, menuntut ilmu tiada batasan.

“Ada juga beberapa rakan artis yang tanya Abil tak nak buat kelas ke? Saya belum layak lagi untuk menjadi seorang cikgu untuk mengajar kerana saya masih lagi belajar. Saya sendiri pun terkapai-kapai nak hidup macam orang biasa di rumah. Nak jadi seorang isteri dan ibu sepenuh masa itupun belum lepas. Ni nak mengajar orang pula agak payah.

Untuk menimba ilmu Nabila Huda tidak segan silu bertanya kepada pelakon senior.

“Kalau kekawan tanya, okey saja saya akan kongsi. Kalau di set mereka tanya dan sedang free waktu itu, saya akan share. Tak adalah mengajar, sekadar berkongsi pengetahuan saja. Sebenarnya bakat ini daripada diri kita sendiri. Kita sendiri kena belajar berpandukan pengalaman kita.

“Macam saya sendiri pun perlukan acting coach sebab saya tak nak jadi stereotaip. Bila ada acting coach, kita akan explore benda lain yang kita sendiri pun tak nampak. Itu yang best. Walaupun diri saya tak layak untuk mengajar tapi saya suka kongsi ilmu dengan sesiapa saja.

“Kadang-kadang kat IG saya suka kongsi cerita di belakang tabir. Dalam diam, itulah ilmu yang saya kongsi ilmu untuk mereka yang teringin untuk menjadi pelakon. Siapa tahu satu hari nanti, ilmu yang saya ada dalam industri selama 25 tahun ini, boleh dikongsi dengan orang di luar sana, insya-Allah,” katanya yang dipilih sebagai Star Mentors untuk membantu Star Celebs di platform SocialCeleb.

SocialCeleb adalah platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia yang diperkenalkan oleh Lifetelco yang boleh diakses orang ramai di seluruh dunia bermula 9 September 2025.

Bersama suami dan anak kesayangannya.

“Masa dapat tahu pasal program yang mereka nak buat, saya rasa perkara ini penting sebab ia lain daripada yang lain. Selalunya kalau nak cari bakat baharu, kita akan ambil mereka yang sedia ada bakat dan perlu jalani uji bakat.

“Untuk program ini, sesiapa saja yang daftar kat LifeTelco ni dari situ dah boleh mohon untuk pilih mentor yang mereka hendak. Sesiapa saja yang rasa dirinya ada bakat boleh sertai. Program ini bukan saja nak cari pelakon saja tapi entertainer juga.

“Mestilah mereka kena lalui beberapa proses sebelum menyertai projek yang telah tersedia seperti filem dan drama bersiri unutk bawa mereka ini muncul dalam filem atau drama tersebut. Kita ada workshop untuk bakat-bakat baharu ini tonjolkan kebolehan mereka.

“Macam saya sebagai Star Mentors, saya nak cari talent yang full package. Bila buat workshop sudah tentu saya akan kongsi pengalaman saya sendiri. Saya bukan mencari mereka yang ada rupa, kerana saya lebih utamakan bakat dan jika dia faham apa kriteria yang saya nak, barulah saya pilih,” ujarnya.

“Setakat ini tidak ada had untuk kami menentukan berapa ramai yang akan kami bimbing. Siapa yang berminat boleh sertai. Kita nak cari siapa yang paling berbakat. Kadang-kadang kita rasa diri berbakat tapi bila sertai workshop baru tahu tak boleh,” katanya yang merupakan Star Mentors kepada Hubert Lee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here