Inul Daratista dikenali sebagai Ratu Goyang 'Ngebor' di Indonesia.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KALAU sebut dangdut, automatik terus teringat Inul Daratista kerana namanya bukan saja popular di Indonesia, malah turut mendapat perhatian peminat di Malaysia.

Nama sebenar penyanyi yang dikenali sebagai Ratu Goyang ‘Ngebor’ di Indonesia itu adalah Ainur Rokhimah, 46, yang memulakan karier sebagai penyanyi menerusi acara-acara rakyat di daerah Pasuruan, Jawa Timur.

Sebelum popular dengan nama pentas Inul Daratista, penyanyi ini pernah menggunakan nama komersial seperti Iin Ariesta, sebelum berganti menjadi Iin Daratista, dan akhirnya menjadi Inul Daratista.

Rupa-rupanya sejak awal kemunculannya lagi Inul sudah mencipta kontroversi tanpa disedari. Goyangan Inul dianggap negatif dan merendahkan corak muzik irama dangdut. Orang yang kuat menentang cara tarian goyang Inul adalah Rhoma Irama yang digelar Raja Dangdut.

Inul pernah hadir di Malaysia sebagai juri untuk program Maharaja Lawak.

Namun Inul bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada Titiek Puspa dan Ellya Khadam yang menganggap kehadiran Inul adalah bukti bahawa muzik dangdut sudah menyesuaikan dengan tuntutan zaman. Justeru itulah hingga kini Inul masih bertahan sebagai penyanyi dangdut yang disegani ramai.

Tidak dinafikan, Inul banyak mengeluarkan single dan antara lagu yang melonjakkan namanya di persada hiburan adalah “Goyang Inul” (2003), “Separuh Nafas” (2004), “Mau Dong” (2006), “Bum Bum” (2006), “Arjunanya Buaya” (2008), “Buaya Buntung” (2011), “Mawar Putih” (2017) dan banyak lagi.

Manakala album yang diterbitkan, antaranya adalah “Cinta Suci” (1992), “Kepriye Mas Kumaha” (1993), “Best Of Inul: Nyai Ronggeng” (2001), “Koplo Tarling Dangdut Ngebor Modern” (2002), “Rasian Lho” (2008) dan “Cinta Model Pulsa” (2014).

Tatkala ditanya, adakah sewaktu Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara yang bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember ini, dia akan tetap bergoyang gerudi?

Sering melakukan senaman yoga untuk menjaga stamina.

“Ya, sudah pasti saya akan goyang gerudi, kerana itu adalah trade mark saya sebagai penyanyi dangdut. Tapi ada batasannya kerana saya menghormati garis panduan yang ditetapkan di Malaysia dan tidak akan berlebihan dalam setiap persembahan.

“Ada batas untuk tarian yang perlu saya patuhi dan itu bukan hanya di Malaysia tetapi juga di Indonesia. Jadi saya akan jaga peraturan itu,” katanya yang akan diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bawah pimpinan Mohd Yazid Zakaria bersama 18 pemuzik dan 12 penari ArtisTana, Istana Budaya sepanjang persembahan.

Untuk konsert tersebut juga, Inul akan ditemani oleh dua nama besar yang mengharumkan irama dangdut di Malaysia iaitu Baby Shima dan Amelina.

Inul yang menikah pada usia 16 tahun dengan Adam Sumingharto Suseno, 12 tahun lebih tua daripadanya itu, dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Yusuf Ivander Damares yang kini berusia 16 tahun mengakui, dia tidak sabar untuk mengadakan konsert di Malaysia.

Ini kerana hampir dua dekad dia tidak mengadakan konsert berskala besar di Malaysia yang dianggap seperti rumah keduanya kerana selain hadir untuk menjayakan konsert, Inul juga sering bercuti ke sini.

Selain menyanyi Inul Daratista juga seorang usahawan dan mempunyai beberapa rangkaian restoran yang menghidangkan menu makanan Korea.

“Kalau jalan-jalan ke Malaysia kerap juga tapi kalau untuk konsert terakhir pada 2007 atau 2008. Sebenarnya ramai promoter yang panggil untuk buat konsert di Malaysia, cuma jadual saya padat.

“Sebelum ini datang ke Malaysia menjadi juri untuk program Maharaja Lawak. Alhamdulillah, saya disambut dengan gembira saya sudah rindu untuk bisa konsert di sini menghibur keluarga besar saya di Malaysia. Berharap semuanya berjalan lancar.

“Kebetulan ini (Baby Shima) anak didik saya di Jakarta dan kakak Amelina juga sama. Kita dekat waktu kita jadi juri kerana Amelina adalah juri jemputan dari Malaysia. Kita bertemanan sudah lama, lebih kurang 10 tahun,” katanya.

Akui Inul, dia berasa senang sekali apabila mendapat tawaran daripada Fajar Baiduri Empire untuk mengadakan konsert berskala besar di Malaysia.

“Selepas dua dekad tidak mengadakan persembahan di Malaysia, alhamdulillah saya merasa senang sekali dan bangga juga kerana saya masih bisa di terima di sini. Konsertnya juga dibikin yang bagus dan spektakular. Semuanya bisa terhibur.

Inul bersama anak bujangnya, kelihatan seperti kakak dan adik.

“Insya-Allah saya tak ada apa-apa syarat kepada penganjur. Pertama, saya kalau konsert di Malaysia itu sudah seperti konsert di tempat saya sendiri. Kerana zaman dulu waktu fenomena saya juga sering kali untuk mampir ke sini. Tidak rumit dan jelas. Saya akan berusaha semampu yang boleh dengan lagu-lagu saya, tentunya.

“Saya tidak meletakkan apa-apa syarat untuk mengadakan konsert di sini kerana saya lihat teman-teman saya juga disambut baik di sini dan sudah seperti rumah kedua bagi kita orang.

“Bila promoter kata ada artis dari Malaysia, bagi saya siapa pun artis dari Malaysia, insya-Allah saya pasti kenal. Sebahagian artis besar Malaysia sudah pernah hadir di Indonesia dan saya sudah kenal mereka.

“Saya masih berhubung dengan peminat di Malaysia. Malah ada yang tanya kenapa tidak di Kuala Lumpur? Memandangkan Disember banyak konsert di KL, insya-Allah kalau sukses bisa bikin acara di KL nanti,” katanya yang mengamalkan yoga dan senaman lain untuk menjaga kesihatan.

Baru-baru ini, Inul diuji apabila suaminya, dimasukkan ke hospital dan menjalani beberapa pembedahan.

Tolak tawaran menjadi DPR

Ramai di kalangan artis Indonesia yang sekarang ini membabitkan diri dalam bidang politik. Antara yang menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) adalah Ahmad Dhani, Melly Goeslaw, Once, Pasha Ungu, Rano Karno, Mulan Jameela dan Desy Ratnasari.

Bagi Inul pula, walaupun mendapat tawaran untuk menyertai bidang politik, dia tetap menolak kerana sedar kemampuan dan kewibawaannya sebagai pemimpin.

“Saya tidak mahu jadi DPR kerana saya tahu kemampuan dan kapasiti saya dan saya tahu lulusan sekolah saya tidak tinggi juga. Menjadi wakil rakyat itu takutnya tidak amanah. Jadi saya sedar bahawa kemampuan saya tidak di situ, kemampuan saya sebagai seorang penghibur, bisnes dan itu saja.

“Ya, memang sebelum ini saya ada bersuara lantang tapi itu semua atas urusan bisnes saya. Tapi kalau untuk kritik tajam tidak kerana saya cuma menyampaikan apa yang terjadi pada bisnes saya, pusat karaoke, Inul Vizta.

Meskipun Inul akan menari sewaktu persembahan, namun dia tetap jaga batasan.

“Saya pernah beberapa bulan lamanya sempat ada sedikit agresif untuk masalah pajak kerana di tempat hiburan saya, pajakannya naik. Saya hanya menyuarakan masalah kerana sewa untuk bisnes saya agak tinggi kenaikan sewanya. Sedangkan kondisi dari bisnes hiburan di Indonesia agak sedikti berkurang.

“Sedih dengan situasi sekarang kerana memberi kesan kepada bisnes. Saya adalah seorang pengusaha besar, saya mempunyai 5,000 karyawan. Alhamdulillah, keadaan terkini sudah reda dan mudah-mudahan ini menjadi pengajaran kepada kita semua. Sedih juga kerana yang terjadi kelmarin itu teman-teman saya juga,” katanya yang mengendalikan bisnes pusat hiburan dan restoran Korea, Yongdaeri.

Dalam kesibukannya berkarier dan sebagai usahawan, baru-baru ini Inul diuji dengan masalah kesihatan suaminya yang terpaksa melalui beberapa pembedahan dan ditahan di hospital.

“Mas Adam selama 30 tahun bernikah dengan saya tidak pernah sakit sampai masuk rumah sakit. Mengalami tindakan surgeri dan itu mengejutkan saya kerana lukanya kecil sekali dan tidak sedarkan diri. Akhirnya mengalami treatment yang cukup banyak, ada doktor saraf, doktor jantung, doktor gastro dan beberapa lagi.

Bakal menjayakan konsert bersama Amelina dan Baby Shima di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember ini.

“Sampai tiba-tiba dia tidak bisa berjalan. Lukanya sedikit tapi kesannya, dia tiba-tiba tidak bisa berjalan dan pengsan. Itu yang buat saya terkejut. Sekarang ini alhamdulillah dia di tahap sihat,” jelas Inul.

Sementara itu, wakil Fajar Baiduri Empire berkata, Inul dipilih untuk menjayakan konsert anjuran mereka kerana penyanyi itu bukan sekadar penyanyi dangdut tapi dia adalah ikon, fenomena, aura vokal dan karismanya tiada tandingan.

“Mula-mula kita hubungi Inul dengan panggilan biasa dan pada bulan lepas, dia sambut kami di Jakarta. Inul bawa kami ke restoran dia dan tak sangka sambutan dia luar biasa dan sokong hasrat kami.

“Dia pun terharu dan tempat pertama kita pilih di Penang. Selepas ini kita akan target beberapa zon lain lagi. Untuk tahun ini Inul free pada tarikh tersebut saja. Tahun hadapan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa,” kata wakil tersebut dan menyatakan harga tiket yang ditawarkan adalah mesra peminat, serendah RM78 sehingga RM400.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here