Fauzi kekal relevan di usia 52 tahun

Oleh: Nafsiah Jani

Bagi apa saja watak kepadanya, pasti pengarah atau produser akan berpuas hati dengan lakonan Fauzi Nawawi, 52, yang cukup memberangsangkan. Setakat ini Fauzi tidak pernah mengecewakan sesiapa pun dengan lakonannya kerana setiap kerja atau watak antogonis yang diberikan akan dilakukan Fauzi dengan bersungguh-sungguh dan cukup meninggalkan kesan.

Namun kini dengan peningkatan usianya, Fauzi Nawawi atau nama sebenarnya, Muhammad Fauzi Mohd Nawawi semakin berhati-hati ketika menerima tawaran bila memikirkan anak-anak dan empat orang cucunya yang semakin membesar.

“Dah berusia ini dan bila lihat anak dan cucu semakin membesar, saya kena memilih watak-watak dan skrip yang ditawarkan. Mungkin 10 atau 15 tahun dulu boleh main ambil saja tawaran yang datang tapi sekarang saya kena memilih. Rasanya sekarang tak sesuai bawa watak-watak yang boleh mendatangkan kontroversi, melainkan watak itu bayarannya setimpal dengan apa yang saya perlu korbankan… saya akan buat,’’ kata Fauzi sambil tersenyum.

Saling memahami kunci kebahagiaan Fauzi dan Lisdawati.

Fauzi anak kelahiran Pantai Remis, Perak ini memulakan langkah dalam bidang seni dengan menjadi pelakon lagak ngeri bagi beberapa produksi drama dan pembikin VCD. Selain itu, beliau turut menjadi krew produksi dan pembantu pengarah drama pada 1998.

Pada tahun 2000, beliau mula mendapat tempat di mata pengarah dengan menjadikan beliau pelakon utama, dengan memegang watak antagonis. Nasibnya cerah apabila mendapat tawaran berlakon dengan pelbagai watak. Rezeki akhirnya menyebelahi beliau apabila beliau dinobat Pelakon Lelaki Terbaik ASK 2010 dan Anugerah Seri Angkasa 2010 menerusi drama Sebelum Akhirat.

Hasil daripada lakonan beliau dalam drama, beliau mendapat tawaran menjadi pelakon utama filem Orang Minyak. Beliau pernah tercalon untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Anak Halal. Beliau juga pernah berlakon teater Tsunami pada tahun 2007 dan pementasan teater Semerah Padi. Beliau mengorak langkah sebagai pengarah filem apabila mengarah filem arahannya iaitu Pak Pong yang ditayangkan pada Februari 2017.

Fauzi duta rasmi XROOV ini menambah, dia bersyukur kerana masih mendapat tawaran berlakon filem dan drama.

“Saya sedar untuk kekal relevan dalam usia sebegini…saya kena buat sesuatu dengan menjaga penampilan diri dan bentuk tubuh badan. Kena bersaing dengan pelakon baru yang muda, kacak, sado kerana bakat tidak boleh menguasai semua. Saya juga bersyukur kerana pihak jenama cermin mata XROOV turut melantik saya sebagai duta mereka.

(Kiri) Founder XROOV Rusydina Norman,
Mohd Rafiz Zainal bersama Fauzi Nawawi dan Lisdawati menunjukkan produk kacamata terbaru XROOV.

“Saya juga bersyukur kerana dalam usia macam ini, saya masih maintain awet muda dan kena berjaga-jaga supaya tak kena penyakit tiga serangkai. Alhamdulillah setakat ini saya bebas daripada sebarang penyakit. Saya bertuah kerana isteri saya, Lisdawati cukup berdisiplin menjaga pemakanan saya. Dia yang paksa dan daftarkan saya bersamanya menyertai gym. Namun sekarang dia pula yang malas dan saya sendiri yang akan luangkan masa berlatih selama sejam di gym.

“Sehingga kini sebelum maghrib saya dah berhenti makan bagi mengelakkan perut buncit. Pagi saya ambil makanan berat seperti nasi ayam dan sayur-sayuran sebab nak pergi gym. Saya minum susu, ambil protein dan makan daging seminggu sekali. Tengahari saya makan macam biasa dan sebelum pukul 6 saya dah berhenti makan.

Kalau ada gang nak ajak lepak atau nak berbincang, saya lebih suka orang tu datang ke rumah berbincang. Saya dah amalkan ini sejak PKP 2020..kalau tak jaga badan, memang badan saya `kembang’ dengan berat 75kg. Kini tawaran berlakon banyak yang nak stunt dan aksi… saya kena jaga badan dan sekarang berat saya sekitar 67 kg.”

Kini Fauzi tengah sibuk dilokasi penggambaran Orang Perang berkisar mengenai pasukan polis hutan yang cuba merekrut orang asli bagi menentang komunis. Selepas itu ada juga sebuah filem bertajuk Mr Y yang masih menunggu masa sahaja untuk ke lokasi penggambaran. Filem aksi ini tentang ukhwah kumpulan gangster melayu dulu-dulu.

“Nak kekal dalam industri bukan bergantung pada lakonan semata-mata. Itu sebabnya tak berlakon, saya buat reviu apa-apa produk di tik tok. Itulah cara teruskan hidup selama ini. Sekarang orang tawarkan harga drama macam 10 tahun yang lalu. Untuk Pempengaruh mereka sanggup bayar 2 hingga ke 3 ribu…kita pula sehari nak dibayar bawah seribu… jadi bagaimana nak terima tawaran berlakon.

Fauzi Nawawi rela korbankan prinsip jika bayaran berbaloi.

“Kita kalau nak terima sesuatu tawaran, nak hati puas untuk pergi kerja. Tapi bila hati berkata-kata…itu yang datang tak ikhlas bila bekerja. Lebih baik pada saya tak terima berlakon drama bersiri yang ditawarkan. Dalam industri sekarang, saya dah tak kejar apa-apa. Saya hanya kekalkan populariti dalam bidang seni dengan bakat dan kebolehan yang ada dan selagi boleh. Selagi industri perlukan saya… saya akan teruskan,’’ jelas Fauzi lagi yang kini sedang membesarkan empat lagi anaknya yang masih bersekolah.

Menyentuh mengenai watak idamannya pula, kata Fauzi serius, harap sangat lepas ini ada pengarah nak tawarkan dia watak seorang lembut.

“Watak orang lembut ini bukan watak adik-adik lembut yang menggatal tu…tapi buat cerita adik-adik (lelaki lembut) yang berdakwah dan jadi ustaz. Saya idam sangat watak sebegitu. Selama ini watak adik-adik lembut ini digambarkan mengoda… jadi mengapa tidak mereka, kita gambarkan adik-adik ini jadi ustaz, yang berdakwah pada jalan yang betul.

“Ustaz yang terlibat dengan amang seksual ini kita tak tahu apa masalah mereka. Hidup tertekan ke?..ada masalah ke?Itu yang tidak dikupas pada masyarakat. Selama ini kita gambarkan daripada sudut negatif dan nampaknya sampai bila-bila masalah ini tak selesai. Cuba kita ambil dari sudut positif dan cuba ubah persepsi masyarakat, disebalik keburukan orang itu ada sisi baiknya.”

Keluarga bahagia Fauzi dan Lisdawati.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia perfileman, Fauzi telah membintangi lebih puluhan filem dan drama. Filem pertama lakonan Fauzi adalah MX3 pada tahun 2003 diikuti Orang Minyak, Anak Halal (2007), Congkak, Gerak Khas, Tipu Kanan Tipu Kiri Munafik 2 dan Songlap. Manakala drama pula ialah Aku, Dia & Cape Town, Dewi Cinta, Sari Maya, Laila Majnun, Puaka Niyang Rafik, Dua Marhalah, Ustaz Amirul, Sebelum Akhirat, Kemboja Putih, You Saka…Pergi Jauh-Jauh, Jiwa & Lara, Saiful Nita, Janji Shirah, Kerana Sarah, Pendekar: The Movie, Satria Maya.

Bakat serta lakonannya yang mantap dan bersahaja telah melayakkan Fauzi memenangi beberapa anugerah. Antara anugerah yang pernah diterimanya adalah Anugerah Skrin 2010 di mana Fauzi memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Anugerah Seri Angkasa 2010 ( drama Sebelum Akhirat) pula memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Anugerah Skrin 2018 menang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama.

Pasangan Fauzi dan Lisdawati mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu iaitu Nur Aina Farhana, 17, Nur Aina Fazneesya,16, Ahmad Nur Fyrdaus, 11, dan Ahmad Nur Fayyadh, 7.Fauzi juga mempunyai empat anak hasil perkahwinannya yang terdahulu iaitu Nurul Hainil Fatihah, 30, Fareez Hazwan, 28, Nurul Hana Faresha, 26, dan Mohd Fikri Hakimi, 23.

“Sebagai ayah saya bangga dengan pencapaian anak-anak saya. Setakat ini dah tiga orang anak-anak saya yang mengikut jejak jadi pelakon iaitu Fareez Fauzi, Hana Faresha dan Fikri Hakimi bakal terlibat dalam industri. Sebagai ayah saya akan sokong dan tidak akan halang minat anak-anak saya. Cuma nasihat saya pada Fareez yang juga penyanyi, terima saja apa tawaran yang datang. Jangan terlalu memilih, jangan harap bantuan atau berpaut pada keluarga… kena bergerak sendiri,” kata Fauzi anak bongsu daripada 12 adik-beradik ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here