Oleh: Syed Wafa
Foto: Bangsawan Pictures
Sesuatu yang luar biasa, kumpulan legenda, KRU melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi pencapaian luar biasa dan penuh fenomena di atas penganjuran Konsert GenKRU 2025 selama empat hari yang berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Malaysia Book of Records” memberi pengiktirafan kepada trio adik-beradik yang terdiri daripada Dato’ Norman Abdul Halim, Dato’ Yusry dan Edry menerusi penganugerahan “MOST SHOW IN A SINGLE CONCERTS SERIES” (Persembahan Terbanyak Dilakukan Dalam Satu Siri Konsert).
KRU telah melakukan persembahan konsert selama empat malam iaitu pada tarikh 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025 dengan jayanya

“Pencapaian ini adalah sebuah apresiasi bukan untuk KRU secara peribadi tetapi buat peminat yang telah menjadikan Konsert GenKRU 2025 daripada rencana asal hanya satu malam kepada dua, tiga sehingga empat malam.
“KRU seharusnya berterima kasih terhadap sokongan tanpa henti selama lebih tiga dekad kami berada dalam industri sehingga lahir penganjuran Konsert genKRU 2025 selama empat malam sehingga diiktiraf “Malaysia Book of Records” (MBR) menerusi penganugerahan “MOST SHOW IN A SINGLE CONCERTS SERIES”,” ujar Norman mewakili KRU.
Tidak hanya KRU, penganjur Konsert genKRU 2025, ICON Entertainment (M) Sdn Bhd turut menerima pengiktirafan daripada “Malaysia Book of Records” (MBR) dengan “MOST CONCERT TICKETS SOLD OUT IN AN HOUR” (Penjualan Tiket Konsert Terpantas Dalam Tempoh 1 JAM).

Mereka turut ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia Iliyas Jamil (berbaju kuning) dan Ketua Pegawai Eksekutif MBR Christopher Wong serta wakil.
Pengiktirafan tersebut diberi selepas 8,000 tiket Konsert genKRU terjual dalam tempoh satu jam.
“Terima kasih kepada pihak MBR di atas pengiktirafan ini kepada Icon Entertainment.
“Dan kami di Icon Entertainment dengan suka cita berkongsi pengiktirafan ini kepada semua peminat KRU yang telah menjadikan Konsert genKRU cukup luar biasa bukan hanya kerana pembelian tiket terlaris dalam tempoh satu jam tetapi telah menjadikan konsert ini gemilang dengan empat malam penganjuran! Ini sebuah pembuktian bahawa produk tempatan mendapat tempat yang Istimewa di hati peminat. Malah menjadi satu pemicu semangat untuk menyemarakkan lagi konsert-konsert tempatan di tanah air,”ujar Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih kami ucapkan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Komunikasi, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan seni dan industri hiburan kreatif negara,” tambahnya lagi.
Konsert genKRU yang sudah dihadiri oleh lebih 30,000 peminat turut menyaksikan kemunculan istimewa undangan khas seperti kumpulan Feminin, Elite dan Adam AF.
Kami di Ladybosz mengucapkan tahniah di atas kejayaan besar kumpulan KRU serta
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang di atas kejayaan ini dan pastinya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia!

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.