Oleh: Khadijah Ibrahim
MULAI 30 Oktober ini, filem ‘Hayya 3: Gaza’, arahan Jastis Arimba bakal ditayangkan di pawagam tempatan. Filem dari Indonesia terbitan Warna Pictures dan 786 Productions itu merupakan filem sekuel kepada filem ‘Hayya: The Power Of Love 2’ dan ‘Hayya 2: Hope, Dream & Reality’.
Menurut Jastis, ‘Hayya 3: Gaza’ adalah filem keluarga yang berlatar belakangkan tragedi di Palestin pada 7 Oktober 2023. Filem lakonan Amna Shahab, Azamy Syauqi, Cut Syifa, Oki Setiana Dewi, Adhin Abdul Halim dan Fauzi Baadila itu bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah warisan perjuangan untuk kemanusiaan dan suara solidariti terhadap rakyat Palestin.
Pengarah itu tidak menafikan untuk menghasilkan filem tersebut bukan mudah. Dari awal lagi, banyak cabaran ditempuh termasuklah kekangan dana hingga penolakan beberapa pelakon yang bimbang kerjaya mereka terjejas kerana sensitiviti isu Gaza.
“Ada beberapa pelakon yang menolak untuk berlakon dalam filem ini mungkin mereka rasa cemas tentang isu Gaza atau mungkin kerana mereka berkongsi brand yang bertentangan.
“Saya selalu berusaha bersangka baik bahawa mereka yang tidak ikut terlibat dalam filem ini mungkin kerana pekerjaan dan tidak semua orang ada keberanian untuk berada di jalur seperti ini.
“Kalau kita lihat saat ini ada beberapa artis Hollywood yang top akhirnya sanggup kehilangan teman kerana terlalu vokal menyatakan tentang Gaza. Sebenarnya secara peribadi saya yakin mereka (pelakon yang menolak) tetap mendokong Gaza tapi ada hal mungkin waktu itu mereka takut dan khuatir dan terpaksa tolak,” katanya.

Walau bagaimanapun, Jastis memahami keadaan itu dan mengakui tidak semua orang berani menzahirkan pendirian secara terbuka, namun ramai yang tetap menyokong perjuangan ini dengan cara tersendiri.
“Kita harus faham, mahu di Indonesia atau Malaysia, ekonomi dikuasai oleh Zionis, itu kita tidak nafikan. Ada beberapa orang yang menyokong filem ini tapi tidak mahu disebut namanya. Ia hantar wang dalam bentuk tunai, dia sokong tapi tidak boleh terang-terangan kerana dia mungkin masih bekerja di syarikat berkenaan.
“Alhamdulillah, pembuatan filem ‘Hayya 3: Gaza’ ini, pelaburnya bukan seorang tapi ada kira-kira 10 orang yang tidak mahu disebut namanya. Ada rakan Oki dan Ustaz Yusoff yang melabur. Kos untuk filem ini kira-kira RM1 juta lebih,” katanya.
Menurut Jastis, dunia perfileman seharusnya menjadi medium kesedaran dan advokasi yang kuat, bukan sekadar hiburan semata-mata.
“Hollywood dan Korea menggunakan filem untuk menyebar budaya mereka, kita juga boleh gunakan filem untuk menyampaikan mesej kemanusiaan dan keadilan,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih ramai penggiat seni di rantau ini, termasuk Malaysia, berani menghasilkan karya bertemakan perjuangan Palestin.

Tambahnya lagi, perjuangan melalui seni tidak pernah sia-sia, ia bukan sekadar pekerjaan tetapi satu amanah dan legasi baginya sebagai seorang Muslim serta manusia.
“Menerusi filem ini dapat membantu kempen literasi tentang Palestin mendapat pemahaman yang lebih luas. Ini kerana masih ramai yang tertanya-tanya kenapa kita harus mempertahankan Palestin.
“Filem ini membantu kempen literasi tentang Palestin mendapat pemahaman yang lebih luas, kerana ramai orang masih tertanya-tanya mengapa kita harus mempertahankan Palestin?” kata pengarah tersebut.
Jastis secara terbuka mengakui yang dia mengidolakan pengarah Malaysia iaitu Syamsul Yusof dan berharap sutradara prolifik negara itu turut menghasilkan karya bertemakan kemanusiaan yang menyuarakan perjuangan rakyat Palestin.
“Secara peribadi, saya sangat mengagumi Syamsul Yusof. Dia antara pengarah kegemaran saya. Saya menonton karya arahannya seperti ‘Munafik’ dan ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’.
“Sebagai pengarah hebat Malaysia, saya berharap Syamsul juga mempunyai keprihatinan yang sama terhadap rakyat Palestin dan menghasilkan filem yang menyuarakan perjuangan ini,” katanya yang percaya bahawa medium filem bukan sekadar untuk hiburan semata-mata.

Dalam masa sama, Jastis berharap agar penggiat seni bukan sahaja di Indonesia, malah di Malaysia turut menyumbang dalam mengangkat tema kemanusiaan melalui karya seni mereka.
“Kerja ini bukan sekadar tanggungjawab profesional, tetapi satu legasi. Sebagai Muslim yang menentang penjajahan serta kekejaman, saya mahu menyumbang melalui kemampuan saya iaitu menerusi filem,” katanya.
Tambahnya lagi, peluang mengarahkan Hayya 3: Gaza merupakan satu penghormatan besar buat dirinya dan keluarga kerana dapat menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Dapat menghasilkan karya yang menyuarakan perjuangan rakyat Gaza dan Palestin merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga buat keluarga saya. Semoga lebih ramai pengarah di rantau ini akan terus bersuara melalui karya mereka,” serunya.
Filem ‘Hayya 3: Gaza’ berkisar tentang seorang budak lelaki, Abdullah Gaza yang dipanggil Gaza adalah seorang anak yatim piatu. Bapanya, seorang sukarelawan kemanusiaan, meninggal dunia sekembalinya dari Palestin.
Sejak kematian bapanya, Gaza telah ditempatkan di rumah anak yatim yang dikendalikan oleh Ustazah Dewi dan adiknya Rafah Shafira. Di rumah anak yatim itu, Gaza bertemu dengan Hayya, seorang gadis kecil dari Palestin yang telah hidup dan cuba mencari keamanan di negara ini selama empat tahun.
Pembunuhan beramai-ramai di Palestin menghalang Hayya pulang ke tanah airnya. Di rumah anak yatim itu, hubungan Gaza dan Hayya semakin rapat. Bagi Hayya, kehadiran Gaza bagaikan mengubat rindu, memandangkan namanya senada dengan tanah airnya. Kehidupan mereka kembali ceria, antara satu sama lain, sehingga peristiwa buruk mengintai lagi dan mengancam nyawa mereka.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









