Oleh: Nafsiah Jani
Pemakanan memainkan peranan utama dalam menentukan bentuk badan seseorang. Sekiranya inginkan badan yang langsing dan berat badan yang ideal, maka kurangkan makan dan banyakkan bersenam.
Perlu diingatkan, menguruskan berat badan tidak perlu melalui diet ketat atau cara yang ekstrem, cukup sekadar yang seadanya. Sebenarnya, mengurangkan berat badan agar kelihatan langsing bukan sekadar untuk tampak cantik atau lebih menarik. Tetapi ia juga membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, diabetes atau sebarang penyakit yang boleh mengancam nyawa.
Tidak kisah apa pun bentuk badan, paling utama adalah kesihatan anda.
Namun, jika anda ingin mengurangkan berat dan mahukan bentuk badan yang lebih menarik, banyak cara yang boleh dilakukan untuk mencapai impian tersebut.
Penjagaan berat badan perlu dibuat dengan mengubah gaya hidup, bersenam dan komited untuk mencapai tubuh yang lebih langsing.

Manakala, makanan pula, pilihlah makanan yang sihat dan seimbang. Dibawah ini dipaparkan cara-cara untuk melangsingkan tubuh badan anda agar kelihatan cantik dan sihat selalu.
- Lebihkan makan buah-buahan, sayuran, bijirin penuh serta protin seperti ikan, ayam dan kekacang dalam diet harian. Ia membantu menurunkan berat dengan cepat kerana tinggi serat, vitamin, mineral, rendah kalori dan membuatkan anda rasa kenyang.
- Makan dalam bahagian kecil dan makan secara perlahan-lahan agar tubuh mempunyai masa memberi isyarat bahawa kita sudah kenyang. Ia juga membantu mengelakkan seseorang itu makan secara berlebihan dan membantu dalam pengawalan berat badan.
- Luangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk melakukan senaman ringan dengan bergerak, menari, mendaki, berbasikal atau berjalan. Ubah tabiat dengan pilihlah memanjat tangga berbanding lift kerana inilah cara ia dapat mempercepatkan penurunan berat badan
- Pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi antara 7 hingga 8 jam. Tidur yang berkualiti membantu tubuh berfungsi dengan lebih baik dan mengawal berat badan dengan lebih efektif. Manakala masalah kurang tidur akan menyebabkan rasa lapar dan meningkatkan keinginan untuk makan makanan yang tidak sihat.
- Banyakkan minum air kosong 2 hingga 3 liter sehari kerana ia membuatkan anda kenyang dan membantu mempercepatkan metabolisme, membuang toksin dari dalam tubuh dan membantu anda untuk kekal langsing. Minum air secukupnya setiap hari untuk memastikan tubuh tetap terhidrat dan mengelakkan makan berlebihan.
- Tekanan yang berlebihan boleh menyebabkan perubahan hormon dalam tubuh yang meningkatkan rasa lapar, terutamanya keinginan untuk makan makanan manis atau tinggi lemak. Amalkan teknik relaksasi seperti meditasi, pernafasan dalam atau yoga untuk membantu mengurangkan stres dalam kehidupan seharian.
- Minum teh hijau kerana ia adalah teh diet yang mengandungi antioksidan, enzim, asid amino dan fitokimia seperti polifenol dan dapat membantu menguruskan dan mengurangkan berat badan serta memberi manfaat kepada kesihatan. Waktu sesuai minum teh hijau selepas bersarapan. Seeloknya minum teh hijau pada pukul 10 hingga 11 pagi antara 2 ke 3 cawan sehari atau dua jam sebelum tidur.
- Untuk kekal langsing, makan dengan kuantiti makanan yang sedikit pada waktu yang tetap pada setiap hari. Ambil makanan gabungan protein dan karbohidrat berserat tinggi yang dapat membuatkan anda kenyang lebih lama. Pastikan anda makan pada waktu yang sama setiap hari dan jangan sesekali skip waktu makan.
- Hindari makanan diproses seperti makanan sejuk beku atau dalam tin kerana ia mengandungi garam, gula, bahan pengawet serta pewarna tiruan yang tinggi.
- Selain kaedah semula jadi, kaedah lebih drastik untuk menurunkan berat badan dalam masa yang singkat melalui pembedahan kosmetik liposuction atau bariatric. Ini biasanya dipilih oleh individu yang mengalami kesukaran menurunkan berat badan dengan diet dan senaman sahaja.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.