Oleh: Nafsiah Jani
Kaki merupakan anggota badan yang cukup penting. Jika kita mengabaikannya kemungkinan besar kaki kita akan cacat dan terpaksa berjalan tempang ataupun kaki cedera disebabkan diabetes. Oleh itu sebelum apa-apa berlaku kepada kaki yang digunakan untuk berjalan, hargailah kaki kita dan jagalah ia seperti mana kita menjaga kulit wajah kita agar mulus dan cantik selalu.
Mengabaikan kaki juga boleh menyebabkan jangkitan bakteria atau kulat, kulit retak dan berbau dan lain-lain. Untuk menjaga kaki dengan baik, bersihkan kaki setiap hari menggunakan air suam dan sabun, serta pastikan ia kering sepenuhnya, terutamanya di celah-celah jari kaki. Sapu losyen untuk melembapkan kulit kecuali di celah-celah jari kaki dan potong kuku kaki secara lurus. Periksa kaki setiap hari untuk luka atau rekahan, pakai sarung kaki bersih setiap hari dan pastikan anda memakai kasut yang sesuai.
Bagi golongan berusia, pengambilan makanan untuk sakit lutut dan kaki semakin penting kerana risiko osteoporosis boleh menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah walaupun dengan hentakan kecil. Oleh itu, pilihlah makanan yang dapat membantu meningkatkan kepadatan tulang, menguatkan tisu penghubung dan mengurangkan keradangan.
Makanan terbaik untuk kesihatan kaki adalah makanan yang kaya kalsium dan vitamin D seperti produk tenusu, sayuran hijau dan ikan berlemak. Selain itu, makanan yang menyediakan asid lemak omega-3 seperti salmon, kekacang juga dapat membantu mengurangkan keradangan pada kaki seseorang. Manakala karbohidrat kompleks dalam ubi keledek dan bijirin penuh juga dapat memberikan tenaga dan mempercepatkan proses penyembuhan luka dan tenaga kerana kandungan vitamin, mineral dan senyawa anti-radang yang tinggi.
Hubungi doktor dengan segera jika anda mengalami sakit kaki, kemerahan, perubahan warna kulit yang tidak normal, bengkak yang luar biasa, nanah, ulser, atau bau yang tidak menyenangkan.
Di bawah ini kami paparkan beberapa tips yang boleh diamalkan agar anda dapat memastikan kaki terjaga dengan baik dan selamat daripada sebarang kecederaan.
1. Periksalah kaki anda setiap hari dan anda kena peka jika kelihatan tanda-tanda seperti lepuh-lepuh (blisters), luka (tidak kira berapa kecil saiznya), kemerahan pada kulit, dan tanda bengkak. Gunakan cermin bagi memeriksa kulit pada tapak kaki dan kawasan lain yang terlindung.
2. Gunakan kasut yang selesa dan sesuai sewaktu berjalan di luar dan pakailah stokin yang bersih bagi menyerap kelembapan berlebihan pada kulit kaki di dalam kasut. Pakailah kasut yang lebar hujungnya bagi mengelakkan jari kaki terkepit di dalam kasut hingga mengurangkan aliran darah dan menambah risiko kecederaan pada jari kaki. Jangan berjalan ‘kaki-ayam’ di luar rumah.
3. Basuh kaki setiap hari dengan air sejuk yang bersih. Selepas itu laplah kaki sehingga kering dan elakkan dari menggunakan sabun atau pencuci yang bersifat menghakis kerana ianya akan melukakan kulit kaki. Keringkan kulit di antara jari kaki yang mungkin mengundang jangkitan kulat sekiranya dibiarkan lembap selepas dicuci.
4. Sapulah losyen pada kulit kaki bagi memelihara kelembapan dan mengelakkan kaki terkena jangkitan kulat.
5. Potonglah kuku kaki dengan berhati-hati seminggu sekali dan jangan memotongnya terlalu pendek bagi mengelakkan kecederaan pada lapisan kulit berdekatan kuku. Gunakan pemotong kuku yang sesuai dan bukannya pisau bagi mengelakkan kecederaan pada kulit sewaktu kuku dipotong.
6. Elakkan berjalan di kawasan yang terlalu panas (contohnya di kawasan pantai) atau terlalu sejuk (contohnya lantai simen yang sejuk) tanpa alas kaki yang sesuai.
7. Amalkan senaman regangan kaki dan jari kaki setiap kali anda berehat di rumah. Ini bagi menggalakkan aliran darah bergerak ke seluruh anggota kaki dan jari kaki.
8. Makanlah banyak sayur-sayuran hijau dan berdaun gelap seperti kubis kerinting, bayam, sawi, pak choy, kailan dan daun turnip. Sayuran ini merupakan pilihan terbaik untuk kaki kerana kaya dengan kalsium, vitamin K, serta magnesium yang berfungsi meningkatkan kepadatan mineral tulang dan membantu penjagaan kaki.
9. Seringlah berkunjung ke spa sebulan sekali untuk membuat manicure dan pedicure. Secara tidak langsung ia juga membantu anda yang tidak mempunyai masa untuk menjaga tangan dan kaki dengan sebaik-baiknya.
10. Sebulan sekali, buatlah rawatan refleksologi atau pun berurut bagi membuatkan urat di bahagian kaki longgar dan tidak tegang. Rawatan ini bagus kerana ia membantu melancarkan perjalanan darah dan membuatkan anda lebih mudah untuk bergerak.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









