Oleh : Nafsiah Jani
Jantung adalah organ penting yang berfungsi untuk mengepam darah dan membekalkan nutrien ke seluruh badan. Jantung yang sihat adalah kunci untuk kehidupan yang baik dan ia perlu dijaga melalui gaya hidup sihat seperti mengambil makanan seimbang, kerap bersenam dan menjaga kesihatan untuk mengatasi tekanan darah tinggi dan diabetes.
Jika berlaku kerosakan pada jantung, ia akan menjejaskan banyak bahagian badan. Penyakit jantung juga boleh menyebabkan keadaan seperti edema pulmonari (pengumpulan cecair di paru-paru), yang menyukarkan pernafasan. Pengesanan awal dan rawatan penyakit jantung adalah penting untuk mengelakkan komplikasi dan mengekalkan kesihatan jangka panjang.
Kita tahu bahawa sukar untuk mengubah tabiat pemakanan yang telah terbentuk selama ini. Tetapi demi kesihatan, seseorang itu perlu berusaha untuk mengubah tabiat tersebut dengan menjauhi makanan yang mempunyai banyak lemak tepu dan meningkatkan paras kolesterol dalam badan serta menyumbang kepada penyakit jantung. Amalkan makanan yang kaya dengan nutrien, serat dan lemak baik kerana ia akan meningkatkan kesihatan jantung dan memberi daya tahan terhadap penyakit jantung.
Seseorang sentiasa boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dengan melakukan perkara berikut. Mengekalkan paras kolesterol yang baik. (Sebaik-baiknya jumlah kolesterol harus di bawah 200), mengawal tekanan darah tinggi, berhenti merokok, bersenam dengan kerap, mengekalkan berat badan yang sihat. (Julat BMI yang sihat untuk orang India ialah antara 18.5 hingga 25), mengawal tekanan kemarahan dan kawalan diabetes.
Pemakanan yang seimbang dan gaya hidup sihat adalah kunci untuk jantung yang sihat. Mari kita jaga kesihatan jantung dengan memilih makanan dan minuman terbaik untuk jantung kita. Bagi memastikan jantung kita sihat, disini disarankan beberapa makanan yang bagus bagi menjaga kesihatan jantung kita tak kira jantina dan usia. Selamat mencuba!.

- Bijirin penuh seperti oat, beras perang, dan quinoa mengandungi serat yang membantu mengawal kadar kolesterol gula darah, serta menyokong pengurusan berat badan yang sihat untuk jantung. Makanan ini kaya asid lemak omega-3, folat dan kalium. Selain itu,ia kaya dengan serat yang dapat membantu menurunkan kadar kolesterol jahat LDL dan mencegah pembentukan plak di dinding arteri.
- Banyakkan makan ikan seperti salmon, tuna dan kembung kaya dengan asid lemak omega-3, yang penting untuk mengurangkan keradangan dan melancarkan aliran darah, mencegah pembekuan darah dan sekali gus melindungi jantung. Makanlah dua keping salmon seminggu. Ia dapat mengurangkan risiko mati mengejut akibat serangan jantung sebanyak 33 peratus. Masak ikan ini dengan kaedah yang lebih sihat seperti dipanggang atau dikukus.
- Buah avocado juga dapat menambah lemak sihat ke dalam diet anda. Makanan yang kaya lemak tunggal tidak tepu ini mampu menurunkan kadar kolesterol jahat LDL dan meningkatkan kadar kolesterol baik HDL dalam tubuh.
- Buah dan minyak zaitun juga kaya dengan lemak tunggal tidak tepu dan adalah pengganti baik bagi mentega. Kedua-duanya boleh dicampurkan dalam hidangan salad atau digunakan sebagai minyak masakan.
- Banyakkan makan kekacang seperti walnut dan almond kerana ia merupakan sumber lemak sihat dan serat yang dapat membantu menurunkan kolesterol jahat.
- Buah-buahan seperti epal, anggur dan jenis beri yang lainnya seperti blueberries, raspberries, strawberi juga kaya anti radangan dan berfungsi mengurangi risiko penyakit jantung dan kanser. Buah-buahan ini juga mengandungi antioksidan, serat, vitamin, dan mineral yang baik untuk kesihatan jantung.
- Kacang merah adalah sumber serat, protein, dan antioksidan yang baik untuk jantung.Tambah pengambilan kacang peas, seperti kacang merah dan kacang hitam dalam menu sehari-hari anda. Namun cuba elakkan kacang merah yang ditambah gula bagi mengelakkan pertambahan kolesterol dalam badan.
- Sayuran hijau seperti bayam dan brokoli, mengandungi juga bagus kerana ia kaya akan berbagai komponen sihat seperti lutein, folat, kalium, serat, antioksidan, vitamin, dan mineral yang baik untuk kesihatan jantung. Cara terbaik memasak brokoli adalah dengan dikukus atau ditumis bersama bawang putih.
- Kacang Soya juga dapat membantu menurunkan kadar kolesterol kerana rendah lemak.
- Terbukti bawang putih dapat menurunkan tekanan darah dan kolesterol. Masukkan lebih banyak bawang putih dalam masakan untuk rasa yang lebih sedap selain bermanfaat untuk jantung.
- Coklat hitam mengandungi flavonoid iaitu antioksidan yang dapat membantu menjaga kesihatan jantung dengan melancarkan aliran darah dan membantu menurunkan tekanan darah. Pilih coklat gelap dengan 70% kandungan koko atau lebih.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









