Oleh: SYED WAFA
Foto: Ehsan Nazran/Koleksi Syed Wafa
JIKA sebelum ini apabila menyentuh mengenai nama HM Rohaizad, saya sering teringat mengenai beliau yang dikatakan ‘orang’ yang bertanggungjawab membawa seniwati legenda Zaiton daripada seorang gadis yang belajar menjahit dan menyulam di sebuah kedai di Geylang akhirnya menjadi Seniwati terkenal Studio Jalan Ampas.
Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa HM Rohaizad bukan calang-calang seniman kerana beliau adalah seorang yang ‘outstanding’ dan sukar dicari ganti!


Beliau yang dikatakan ‘orang’ yang bertanggungjawab membawa seniwati legenda Zaiton daripada seorang gadis yang belajar menjahit dan menyulam di sebuah kedai di Geylang akhirnya menjadi Seniwati terkenal Studio Jalan Ampas.
Sebabnya beliau yang pernah menjadi pemberita akhbar dan aktif dalam politik juga berbakat sebagai petugas di belakang tabir. Disamping itu, bakatnya sebagai penulis lirik untuk lagu-lagu dalam filem Melayu terbitan Studio Jalan Ampas dan penolong pengarah yang prolifik pada era 1950-an sehingga 1960-an.
Menelusuri perjalanan seni empunya nama sebenar Syed Mohd. Hamid Syed Muhammad Al-Sagoff, sebelum menceburkan diri dalam dunia perfileman, beliau adalah pelakon sandiwara.

Bagaimanapun apabila berpeluang menceburi bidang perfileman di Malay Film Production dengan menggunakan nama HM Rohaizad, beliau pernah berlakon dalam filem antaranya “Iman” (1953) dan “Kechewa” (1954).
Bagaimanapun bakatnya di belakang tabir yang lebih menyerlah meletakkan beliau antara penolong pengarah yang menjadi pilihan para pengarah ketika itu. Bukan itu sahaja malah lirik lagunya yang puitis membuatkan beliau sentiasa menjadi pilihan para pengarah untuk lagu dalam filem arahan mereka disamping kehebatan beliau sebagai penulis lakon layar dalam dunia perfileman Melayu.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Wan Chik pernah menjadi penolong pengarah kepada pengarah terkenal ketika itu antaranya K.R.S Sastry, B.N Rao, S. Ramanathan, Rolf Bayer, Bert A. Avellana, Kider Sharma, Ramon A. Estella, Jamil Sulong dan Omar Rojik.
Malah Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sering menggunakan khidmatnya sebagai penulis lirik untuk filem-filem arahannya dan dinyanyikan sendiri oleh HM Rohaizad antaranya “Hujan Di Tengahari, Selamat Berbahagia, Wahai Kekasih dan Zuraidah.”

Bukan itu sahaja, kerana dalam diam HM Rohaizad juga berbakat sebagai penulis skrip filem dan antara karyanya yang cukup terkenal ialah “Seniman Bujang Lapok.”
Adalah difahamkan setelah skrip filem berkenaan siap, beliau tidak berani menyerahkan kepada P. Ramlee kerana bimbang akan ditertawakan, ditolak atau dicampak ke dalam bakul sampah.

Bagaimanapun setelah ‘lama’ disimpan akhirnya HM Rohaizad memberanikan diri menyerahkan skrip filem berkenaan kepada P. Ramlee kerana faham sifat beliau sebagai pengarah yang mempunyai pandangan yang sangat tajam, sambil berkata;
“Che Ram (Panggilan beliau kepada P. Ramlee) ini ada satu cerita karangan (skrip) saya. Cuba-cubalah Che Ram baca, kalau bagus Che Ram ambillah.”
Bagaimanapun setelah sekian lama menunggu beliau kecewa kerana tiada jawapan daripada P. Ramlee.

Filem ini dilakonkan oleh P. Ramlee sebagai Seargeant Hassan dan HM Rohaizad sebagai Rashid.
Namun kalau sudah itu ketentuan-Nya tiada siapa yang boleh menafikan! Dalam situasi beliau yang tertanya-tanya dan menanti bagaikan buah yang tidak gugur…apakah karyanya itu akan berjaya difilemkan akhirnya setelah selesai mengarah filem “Ali Baba Bujang Lapok,” P. Ramlee bersetuju mengarahkan karya beliau untuk filem seterusnya.
Jawapan daripada P. Ramlee bagaikan ‘bulan jatuh ke riba’ buat HM Rohaizad. Tetapi tidak pernah beliau menduga filem pertama karyanya “Bujang Lapok Jadi Bintang” yang ditukar oleh P. Ramlee kepada “Seniman Bujang Lapok” mendapat sambutan hangat dan meletakkan nama beliau sebagai penulis skrip terkenal ketika itu.

Walaupun tajuk filem itu ditukar setelah satu mesyuarat dengan ahli-ahli jawatankuasa penapis filem Malay Film Productions (MFP) namun HM Rohaizad menyambut berita itu dengan gembira kerana akhirnya karyanya difilemkan.
Sejak kejayaan itu, nama Rohaizad semakin dikenali sebagai tenaga kerja di belakang tabir yang memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah untuk 20 filem antaranya pada tahun 1953 “Kerana Kau,” 1954 “Merana, Iman,” pada 1955 dengan filem “Roh Membela, Abu Hassan Penchuri,” dan tiga filem lagi pada tahun 1956 iaitu “Penchuri, Adek-ku dan Keluarga Tolol.”

Pada tahun 1958 beliau turut menggalas tugas sebagai Penolong Pengarah untuk filem hebat seperti “Sergeant Hassan, Azimat dan Kaki Kuda.” Ini diikuti “Saudagar Minyak Urat, Samseng dan Raja Laksamana Bentan” pada tahun 1959.
Beliau turut terlibat sebagai Penolong Pengarah untuk filem “Lela Manja dan Putera Sangkar Maut” (1960) dengan tiga filem terakhir arahannya pada 1961 iaitu “Indra Bangsawan, Mas Merah dan Aneka Hiburan.”

Disamping itu, beliau turut berlakon dalam enam filem “Kerana Kau” (1953), “Merana, Jasa dan Kechewa” (1954), Anakku Sazali,” (1958), “Sarjan Hassan,” (1958) dan “Indera Bangsawan” (1961).
Walaupun beliau berbakat sebagai pelakon namun bakatnya sebagai krew di belakang tabir lebih menyerlah dan sesuatu yang amat membanggakan beliau fasih berbahasa Arab hingga berjaya menyelesaikan kemelut yang dihadapi Shaw Brothers apabila menerima filem “Maulud-ul- Rasul” dari Mesir.

Shaw Brothers ditugaskan untuk menterjemahkan filem berkenaan ke bahasa Melayu tetapi masalahnya filem tersebut dengan sarikata bahasa Inggeris tidak lengkap.
Dengan kepakaran HM Rohaizad menguasai bahasa Arab akhirnya berjaya menyelesaikan kemelut tugasan Seniman Kemat Hassan di studio untuk memberi sarikata dalam bahasa Melayu filem berkenaan!

Bintang utama filem ini ialah Nordin Ahmad, Normadiah, Salleh Kamil, Ibrahim Pendek, S. Shamsuddin, Kemat Hassan, HM Busra, Daeng Idris dengan pelakon kanak-kanak, Sureni Sani.
Menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja di Malay Film Production, HM Rohaizad memulakan tugasnya sebagai Penolong Pengarah dengan filem pertama “Kerana Kau” (1953) arahan Dhiresh Ghosh dan filem terakhir “Aneka Hiburan” (1961).
Walaupun berbakat dalam pelbagai bidang seni sebagai pelakon dan penyanyi namun beliau menyedari bakatnya lebih menyerlah sebagai Penolong Pengarah dan Penulis lirik.

Sebagai penulis lirik untuk lagu-lagu filem, HM Rohaizad pernah bekerjasamana dengan pencipta/ komposer hebat seperti P. Ramlee, Yusof B dan Osman Ahmad.
Bukan itu sahaja, dengan bakat yang ada beliau juga dipilih sebagai penyanyi latar untuk filem “Iman” (1953), “Adek-ku” (1956), “Seruan Darah,” (1957) dan “Pertarongan” pada tahun 1960.

Sepanjang kerjayanya sebagai Penolong Pengarah untuk 20 filem, HM Rohaizad bertuah kerana diberi peluang sebagai Pengarah Bersama dengan Chow Cheng Kok untuk filem “Seruan Darah” (1957). Inilah satu-satunya filem yang mempamerkan bakatnya sebagai Pengarah!
“Damaq” adalah karya terakhir HM Rohaizad dan dipentaskan sebanyak lima babak arahan P. Ramlee bertujuan membantu keluarga beliau. Pementasan itu berlangsung di Victoria Hall, Singapura pada 18 Mei 1962.

Bagaimanapun pada tahun 1965, P. Ramlee filemkan naskah berkenaan dalam filem “Ragam P. Ramlee” yang mengandungi tiga segmen iaitu pertama “Muzikal Ramlee dan Saloma,” segmen kedua filem komedi “Nombor Ekor” dan segmen ketiga “Damaq.”
Sebelum mengahwini Seniwati Mariani, HM Rohaizad pernah berkahwin dengan Zoraidah pada 1947. Perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Bahrain.

Bagaimanapun mereka terpisah dan Seniwati Mariani yang ketika itu merupakan sahabat baik HM Rohaizad, ke Jakarta, Indonesia untuk menjejaki Zoraidah.
Dalam satu interbiu Mariani memberitahu;
“Saya ke Jakarta atas urusan kerja kerana filem saya ditayangkan di sana. Akhirnya saya dapat menjejaki Zoraidah atau penyanyi Mulyani.


“Saya beritahu pada beliau saya adalah kawan baik Rohaizad dan mengajaknya pulang ke Singapura tetapi beliau memberi alasan telah bertunang dengan tentera.
“Apabila balik ke Singapura saya tidak beritahu Rohaizad kerana tidak mahu beliau kecewa. Khabarnya seminggu selepas itu, Rohaizad terima surat dari Zoraidah yang menuntut cerai. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Bahrain.


“Kalau nak tahu nama Rohaizad itu adalah asal daripada nama Zoraidah yang disusun dan diterbalikkan menjadi Rohaizad,” cerita Mariani yang menjadi sumber ilham HM Rohaizad sehingga tercipta lirik lagu “Mengapakah Riang Ria” ciptaan P. Ramlee dengan lirik oleh HM Rohaizad nyanyian P. Ramlee dan Seniwati Normadiah dalam filem “Perjodohan” (1954).
Tidak lama selepas itu, HM Rohaizad berkahwin dengan sumber ilhamnya ketika menulis lirik, Seniwati Mariani pada tahun 1954.


Perkahwinan bahagia mereka itu dikurniakan enam orang anak iaitu Sharifah Haslinda (Shasha), Rozita Rohaizad, Syed Herwani, anak kembar Syed Marhain dan Syed Nazran serta Syed Hasnidan.
Bagaimanapun kebahagiaan mereka yang disangka kekal untuk selama berakhir dengan ‘cerai mati’ apabila HM Rohaizad menghembuskan nafas terakhir kerana serangan jantung pada jam 3.00 pagi 17 Disember 1961.

Jenazah Allahyarham HM Rohaizad disemadikan di Tanah Perkuburan Kassim.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham HM Rohaizad sentiasa dicucuri rahmat…Amin.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.