Ernie Zakri dan Anggi Marito disatukan dalam lagu "Kisah Penuh Kecewa".

Oleh: Khadijah Ibrahim

TERNYATA lagu “Masing-Masing” ciptaan Ade Govinda yang dinyanyikan oleh Ernie Zakri secara tak langsung membawa tuah kepada penyanyi tersebut kerana namanya bukan saja mekar di tanah air tapi turut mendapat perhatian ramai di Indonesia.

Bagi meneruskan kegemilangan tersebut, Ernie kini muncul dengan single baharu gandingan bersama penyanyi dari Indonesia, Anggi Marito menerusi lagu “Kisah Penuh Kecewa”.

Menariknya, lagu hasil ciptaan bersama Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito dan S/EEK ini adalah sebuah karya ‘power ballad’ yang menyelami luka hati akibat cinta yang tidak kesampaian, namun tetap membawa mesej kekuatan dan ketabahan di sebaliknya.

Rakaman lagu “Kisah Penuh Kecewa” dilakukan di studio di Jakarta.

Menggabungkan kekuatan vokal dan emosi mendalam daripada kedua-dua penyanyi hebat ini, lagu “Kisah Penuh Kecewa” menyasarkan untuk menyentuh hati pendengar di Malaysia dan Indonesia, serta peminat muzik serantau yang menghargai karya-karya bernuansa emosi dan berjiwa.

Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39) berkata, lagu ini menceritakan kisah cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah seorang pasangan sudah memilih untuk tidak bersama lagi. Namun begitu, di sebalik kekecewaan tersebut, wujud kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.

“Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran,” katanya menjelaskan maksud di sebalik lirik lagu tersebut.

Tambah Ernie, proses rakaman lagu ini turut memberikan pengalaman yang bermakna buat dirinya apabila dia perlu merantau ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama Anggi dan pasukan produksi di sana.

“Rakaman berjalan dengan baik, tidak banyak cabaran. Cuma ketika itu kita sudah memasuki bulan Ramadan, jadi agak mencabar juga bila tak boleh minum air ketika rakaman. Kalau sakit tekak pun kena tahan. Tapi selain itu, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Anggi Marito gembira dapat berkolaborasi dengan Ernie Zakri.

Ernie turut menyatakan rasa teruja dan bertuah kerana dapat bekerjasama dengan tenaga kreatif seperti Clara Riva (penulis lagu), S/EEK (penerbit muzik), serta IRVNAT selaku pengarah vokal yang memberikan bimbingan teknikal sepanjang proses rakaman.

“Saya sangat bangga dapat bekerja dengan Anggi, yang saya anggap salah seorang penyanyi muda terbaik dari Indonesia. Juga dengan Clara, S/EEK dan IRVNAT, ini adalah projek yang sangat bermakna dalam karier saya tahun ini,” ujarnya.

Menurut Ernie, walaupun berbeza latar negara, kolaborasi antara dia dan Anggi membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan.

Gabungan suara unik dan emosi yang tulus menjadikan “Kisah Penuh Kecewa” sebuah lagu balada yang bukan sahaja menyentuh hati, malah memberikan ruang untuk pendengar merasai sendiri perjalanan perpisahan yang pedih, namun penuh kekuatan.

“Lagu ini sangat ‘straightforward’ dari segi liriknya. Saya rasa ramai pendengar akan mudah faham dan boleh kaitkan dengan mesej lagu ini. Saya cuma harap mereka dapat menikmati lagu ini, dan kalau pernah melalui pengalaman sama, mungkin lagu ini boleh jadi peneman.

“Kami mahu pendengar benar-benar merasai isi hati lagu ini. Semoga ia dapat diterima dengan baik oleh semua pecinta muzik, sama ada di Indonesia mahupun di Malaysia,” kata Ernie dengan penuh harapan.

Bagi Anggi Marito yang juga pemenang tempat ketiga program Indonesian Idol musim 11, peluang untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan yang amat besar buat dirinya.

Anggi Marito turut muncul di konsert Ernie yanga diadakan di Singapura, baru-baru ini.

Sebagai peminat Ernie, Anggi menyifatkan penyanyi lagu “Aura” itu sebagai seorang yang bukan sahaja mempunyai vokal hebat, tetapi juga mampu menyampaikan rasa dengan begitu menyentuh.

“Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya ‘power’ dan ‘feel’ yang sangat dalam. Setiap lagu yang dia nyanyikan terasa langsung ke hati. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya,” ujar Anggi dengan penuh teruja.

Menurutnya, proses penulisan lagu “Kisah Penuh Kecewa” yang dilakukan bersama penulis lagu Clara Riva berjalan dengan lancar dan cepat.

Walaupun pada awalnya mereka masih mencari arah dari segi konsep dan tema lagu, keserasian vokal Ernie dan Anggi akhirnya membawa mereka kepada keputusan untuk menjadikan lagu ini sebuah ‘power ballad’ yang sarat dengan emosi.

“Penulisan lagu ini hanya memakan masa beberapa jam. Kami mengambil kira karakter suara saya dan Ernie, dan akhirnya sepakat untuk menghasilkan lagu yang menyentuh seperti ini. Ditambah pula dengan susunan muzik oleh S/EEK, lagu ini jadi lengkap dan sangat istimewa.

“Kisah Penuh Kecewa” bukan sekadar lagu duet biasa. Ia adalah gabungan dua jiwa seni yang menyampaikan kisah tentang patah hati, kejujuran dalam mencintai, dan perjuangan untuk melepaskan,” kongsi Anggi yang turut tampil di Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang berlangsung di The Theatre at Mediacorp, Singapura pada 31 Mei lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here