Konsert Rossa Here I Am yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, baru-baru ini turut menampilkan rakan artis dari Indonesia dan Malaysia.

Oleh: Khadijah Ibrahim

ENGGAN menguasai pentas seorang diri, pada konsert ‘Rossa Here I Am’, yang berlangsung di Axita Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun, baru-baru ini, Dato’ Seri Rossa mengajak beberapa rakan artis untuk sama-sama memeriahkan acara tersebut.

Konsert yang bermula pada jam 8.35 malam yang berlangsung selama tiga jam itu dimulai dengan lagu “Malam Pertama”, Rossa mengakui yang dia gembira dapat mengadakan persembahan di hadapan penonton di Malaysia.

Untuk persembahan kira-kira tiga jam itu Rossa mengenakan enam pasang persalinan pakaian.

Kata Rossa, untuk dia berada di kedudukan sekarang bukanlah mudah dan perlu melalui pelbagai cabaran. Konsert ‘Rossa Here I Am’ adalah simbolik untuk ditunjukkan kepada dunia bahawa dia berjaya menggapai impian meskipun perlu melalui pelbagai dugaan.

Jelas ibu kepada Rizky Langit Ramadhan itu, walaupun dia berasal dari Indonesia namun muzik berjaya menyatukan dirinya dengan peminat di Malaysia.

Ernie dan Rossa berduet menerusi lagu “Masing-Masing”.

“Buat saya, muzik adalah sesuatu yang mengeratkan antara kita semua tanpa batasan. Kerana muzik juga saya sering berulang alik ke sini dan Malaysia ibarat rumah kedua saya.

“Saya senang sekali berteman dengan rakan-rakan di Malaysia dan untuk itu pada malam ini, saya turut mengundang penyanyi tersohor di sini,” katanya yang mengenakan enam pasangan pakaian sepanjang konsert berlangsung.

Ariel vokalis kumpulan Noah, rakan artis dari Indonesia yang diundang Rossa untuk menghibur penonton di Malaysia.

Sebagai tanda penghargaannya kepada rakan artis di Malaysia, Rossa turut menyelitkan segmen Tribute To Siti Nurhaliza. Biduanita Negara itu turut hadir bersama suami tercinta.

Untuk segmen tersebut, Rossa mendendangkan empat lagu popular Siti Nurhaliza iaitu Gelora Asmara, Percayalah, Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa.

Siti yang terkenal dengan sifat mudah mesranya itu turut menyambung nyanyian Rossa ketika membawakan lagu “Percayalah” walaupun berada di tempat duduk penonton.

MK K-Clique juga diundang bagi memeriahkan Konsert Rossa Here I Am, baru-baru ini.

Selain berpeluang mendengar dendangan Siti Nurhaliza secara spontan, penonton juga berpeluang menonton persembahan Ernie Zakri secara solo menerusi lagu “Hijrah Cinta”, ciptaan Melly Goeslaw yang dijadikan runut bunyi untuk filem ‘Hijrah Cinta’.

Untuk persembahan malam itu juga Rossa tidak melepaskan peluang berduet dengan Ernie yang popular dengan lagu “Masing-Masing” yang turut mendapat perhatian di Malaysia dan Indonesia.

Rossa atau nama penuhnya, Rossa Roslaina Handiyani, 47, yang juga mesra dengan panggilan Teteh Ocha di Indonesia turut mengundang Hael Husaini bagi memeriahkan konsertnya kali ini.

Harl Husaini tak sangka Rossa memilih lagu “Meriah Lain Macam” untuk mereka berduet

Penyanyi lagu “Jampi” itu sempat berkongsi dengan penonton yang dia rasa teruja apabila diundang oleh Rossa untuk menjayakan konsertnya.

“Apabila diberitahu yang kami akan berduet, saya pun senaraikanlah lagu-lagu hit saya untuk dipilih. Di luar jangkaan, lagu raya “Meriah Lain Macam” yang menjadi pilihan Rossa.

“Saya kata mana pernah dibuat orang, nyanyi lagu raya pada konsert berskala besar begini tapi dia tetap nak lagu itu juga. Tak apalah memandangkan ini malam Rossa, kita ikut saja kehendak dia, tapi kita ubah sedikit lirik untuk disesuaikan dengan situasi sekarang,” kata Hael.

Walaupun hadir sebagai penonton Siti Nurhaliza tetap sporting menyanyikan lagu “Percayalah” secara spontan bersama Rossa.

Melihat kepada reaksi Rossa sewaktu mendendangkan lagu tersebut, dia sangat teruja dan siapa tahu mungkin di masa akan datang Hael yang turut mendendangkan lagu “Takdir Cinta” boleh cipta lagu untuk Rossa kelak.

Selain itu, Rossa turut berduet dengan Ariel dari kumpulan Noah menerusi lagu “Nada-Nada Cinta” sebelum bekas vokalis Peterpan itu menyanyikan lagu “Tegar” secara solo.

Rossa yang merupakan juri tetap untuk Indonesia Idol turut memberi peluang kepada bekas peserta program tersebut iaitu Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla yang dikenali sebagai The Ladies untuk membuat penampilan di konsertnya.

Gaya Rossa yang sentiasa tampak ceria.

The Ladies sempat berduet dengan Rossa menerusi lagu “Bila Salah”, “Ku Menunggu” dan “Hey Ladies. Jika dari Indonesia didatangkan The Ladies, dari Malaysia pula finalis program Calpis Soda One In a Million (CSOIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen turut diberi peluang memeriahkan konsert Rossa, termasuklah penyanyi rap, MK K-Clique.

Walaupun boleh dikatakan setiap tahun Rossa diundang untuk menjayakan konsert di Malaysia, persembahannya pada malam itu tidak menghampakan. Mungkin selepas ini kena tunggu beberapa tahun kemudian barulah Rossa boleh kembali mengadakan konsert di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here