Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS tiga tahun tidak dianjurkan, kini Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, 9 malam, dan akan disiarkan secara langsung oleh RTM, penyiar rasmi AIM24.
Acara anugerah muzik paling berprestij yang bertujuan mengangkat martabat seni muzik tempatan mula bertapak di negara ini sejak 1993.
Kali ini, AIM24 kembali dengan 31 kategori termasuk tiga kategori baharu selaras dengan kepelbagaian dan kekayaan landskap muzik Malaysia iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.

Pengerusi RIM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24 Rosmin Hashim berkata, untuk kategori Lagu Perpaduan Terbaik diwujudkan bagi mengiktiraf karya muzik yang memupuk nilai perpaduan, inklusiviti dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan bahasa.
“Kategori Lagu Tradisional Terbaik pula bagi menghargai ciptaan yang berakar umbi daripada warisan muzik tradisional Malaysia, sekali gus melestarikan identiti dan budaya tempatan.
“Sekarang ini kita lihat ada lagu komposer luar yang dinyanyikan oleh penyanyi tempatan seperti lagu “Masing-Masing” dan ‘Menjaga Jodoh Orang Lain” dendangan Ernie Zakri dan Ara Johari cukup popular di kalangan penggemar muzik tempatan.
“Sayang kalau lagu-lagu popular tersebut tidak dicalonkan dan sebab itulah kita adakan kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik yang menonjolkan kolaborasi rentas negara yang menampilkan artis Malaysia bersama rakan kolaborasi antarabangsa dalam mengembangkan bakat ke peringkat global,” jelasnya tentang kategori baharu yang ditampilkan dalam AIM24.

Kategori utama yang dipertandingkan ada 23 kategori, antaranya Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki / Wanita / Kumpulan Terbaik, Kugiran Terbaik, Vokal Duo / Kolaborasi Terbaik, Runut Bunyi (Ost) Terbaik Filem / Drama, Lagu Rock, Pop, Rap /Hip Hop, Pop Elektronik / Dance Terbaik dan Lagu Inggeris, India serta Cina Tempatan Terbaik.
Sementara itu, kategori Pra-Anugerah pula merangkumi Kulit Single / Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Lagu Paling Tinggi Distrim, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube dan Lagu Paling Tinggi Ditonton Di TikTok serta Anuerah Khas iaitu Anugerah Sri Wirama.
Selain itu, kata Rosmin, untuk penganjuran kali ini Kementerian Komunikasi Malaysia telah memperuntukkan RM700,000 kepada sebelas (11) pemenang kategori AIM24. Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda berbanding RM320,000 yang diberikan kepada empat pemenang pada AIM23.
Jelasnya, dana tersebut merupakan sebahagian daripada program Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures (MyCV) untuk menyokong penerbitan, promosi dan pengedaran kandungan kreatif yang bernilai tinggi dari segi komersial dan seni. Dana akan disalurkan melalui syarikat rakaman pemenang bagi memaksimumkan impak ekonomi dalam ekosistem industri muzik.

“AIM24 meneruskan usaha kami dalam memberi pengiktirafan kepada karya-karya cemerlang oleh para penggiat muzik. Penambahan kategori seperti ‘Lagu Perpaduan Terbaik’ dan ‘Lagu Tradisional Terbaik’ mengangkat warisan budaya pelbagai kaum Malaysia.
“Manakala kategori ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ meraikan kejayaan artis kita yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.
“Kami juga amat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas perluasan sokongan melalui dana DKK kepada pemenang AIM24. Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan global. Kami juga amat teruja dengan kerjasama pertama kami bersama RTM sebagai penyiar rasmi acara anugerah muzik utama negara ini,” kata Rosmin.
Tambahnya, pencalonan AIM24 dibuka kepada lagu/album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.
Penyerahan pencalonan AIM24 oleh ahli RIM telah dibuka sejak 4 Jun lalu dan akan ditutup pada 4 Julai 2025, pukul 5.00 petang. Borang pencalonan yang berkaitan boleh diisi dan diserahkan di atas tailian aim1.org.my/online-submission-2025/
Untuk penjurian pula, akan dikendalikan oleh panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar industri muzik tempatan yang dihormati, diketuai oleh Ketua Juri yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur AIM. Markah yang diberikan oleh para juri akan diaudit oleh juruaudit yang dilantik sebelum keputusan dikeluarkan dan diumumkan. Penerima Anugerah Sri Wirama pula akan dipilih oleh Majlis RIM. Pengumuman lima calon akhir AIM24 dijangka pada Ogos 2025.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.