Oleh: Khadijah Ibrahim
SEBAGAI penyanyi rakaman, nama Chaca Trisha ibarat baru setahun jagung. Namun sebelum berpeluang tampil dengan single sulung “Warna Hati” pada tahun lalu, remaja berusia 17 tahun itu terlebih dahulu mengatur kerjaya seninya sebagai buskers.
Menurut Chaca Trisha atau nama sebenarnya Danisha Batrisya Mohd Farid, dia mula menyanyi di hadapan orang ramai sejak usia sembilan tahun.

“Asalnya, saya suka tengok orang menyanyi dan kemudian cuba menyanyi. Apabila saya cakap pada ibu bapa yang saya nak jadi penyanyi, mereka bawa saya pergi ke Bukit Bintang untuk nyanyi di depan orang ramai.
“Waktu itu umur saya sembilan tahun. Apabila saya menyanyi di hadapan orang ramai tanpa sebarang masalah, barulah ibu saya yakin untuk hantar saya ke kelas vokal.

“Saya mula busking sewaktu usia 11 tahun. Antara lokasi busking saya adalah di Putrajaya, Bukit Bintang dan Ampang. Kalau ada yang mengikuti saya di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok, mereka kenal saya.
“Bila saya buat live saja, mesti ada yang minta saya nyanyikan lagu pertama saya itu, “Warna Hati” yang dibuat oleh abang Ary KLangit. Alhamdulillah, lagu itu berjaya memperkenalkan saya di pentas seni tanah air,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Chaca Trisha yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, baru saja tampil dengan single kedua iaitu “Janji Tinggal Sepi” yang dihasilkan oleh Klangit.
“Saya senang bekerjasama dengan komposer yang sama (Gemawan & Dirgantara) kerana mereka faham saya dari banyak aspek. Lagu “Janji Tinggal Sepi” ini, bergenre pop balada. Ia menceritakan seseorang yang ditinggalkan setelah diberikan harapan dan janji palsu. Kesetiaan itu dipermainkan dan dianggap seperti tiada nilai.

“Jangan jadi seperti saya yang mudah percayakan orang. Hujungnya diri sendiri yang sakit derita. Tak percaya, nanti tengok video muzik lagu itu. Lagu ini boleh dijadikan pengajaran kepada diri sendiri dan sesiapa yang mendengarnya,” katanya yang meminati penyanyi Ara Johari itu.
Lagu yang menjadi taruhan Chaca ini diharap dapat diterima baik oleh semua. Lagu “Janji Tinggal Sepi” boleh dimuat turun di iTunes dan strim menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX dan Spotify.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.