Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA Amerika Syarikat ada Spider-Man, adiwira yang sering muncul tatkala orang sekeliling memerlukan bantuan, di Malaysia pula kita ada kumpulan Spider yang lagu-lagu dendangannya sering dijadikan terapi ketika kesepian atau dalam kegembiraan.
Kumpulan Spider yang ditubuhkan pada 1996, ketika itu dianggotai oleh Zul (vokalis), Tam (gitar kedua), Nafie (gitar utama), Tony (bass) dan Yem (dram). Sewaktu tampil dengan album sulung, “Ngam Ho” di bawah label Life Records pada 1999, penyanyi utama Spider adalah Tam dan bukan lagi Zul. Lagu “Ngam Ho” adalah ciptaan Tam dan liriknya ditulis oleh Allahyarham Loloq.
Kini kumpulan rock yang mempunyai pengaruh ska itu diterajui oleh Tam atau Rustam Mustafah, 52, selaku vokalis utama, Aie (dram), Iss (bass) dan Pown (gitar). Sempena mencapai usia 30 tahun Spider dalam industri muzik tanah air, kumpulan tersebut bakal menjayakan konsert ‘Spider Unplugged’.

Konsert ‘Spider Unplugged’ anjuran Naga Legend Entertainment bakal berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober ini selepas Spider mengadakan konsert pertama mereka, ‘Spider Keluar Sarang’ pada 2024 sempena single baharu mereka ‘Keluar Sarang’.
Tam selaku ketua kumpulan Spider mengakui untuk menjayakan konsert unplugged bukanlah mudah kerana konsep unplugged sering dibuat untuk showcase saja tapi Spider akan buat di konsert berskala besar.
“Kami belum pernah menjayakan persembahan besar seperti ini dan sudah tiba masa untuk Spider mencuba sesuatu yang baharu dan unik. Memandangkan konsep yang dipilih berbeza, sudah pastilah kami akan membuat persediaan rapi.

“Sudah pasti Spider tidak mahu mengadakan konsert yang ‘asal konsert’ kerana mahu terjun dalam keramaian dan semarak penganjuran konsert. Sama seperti penghasilan karya, maka begitu juga Spider selektif dalam penganjuran konsert terutama konsert solo.
“Jadi hal utama yang diberi penekanan adalah konsep yang mahu dipersembahkan kepada peminat. Spider tidak mahu naik ke pentas, ‘goreng muzik’, menyanyi ala kadar dan pulang.
“Sebaliknya Spider akan mendahulukan konsep, kualiti terutama daripada segi sistem audio dan teknikal lainnya serta kadar kesiapan kami yang berada pada tahap maksimum. Selepas itu barulah Spider boleh berikan yang terbaik dan ‘kasi pecah panggung’,” ujar Tam penuh semangat.
Kata Tam, pada konsert itu juga Spider akan ambil peluang untuk memperkenalkan lagu-lagu yang jarang didengari oleh pendengar yang hanya mengenali lagu mereka menerusi radio sahaja.

“Tahun depan (2026) Spider sudah berusia 30 tahun. Jadi mungkin kalau ada rezeki kami akan buat show sempena 30 tahun juga nanti. Dan waktu itu barulah kita tunjukkan momen bersama dan tribute untuk arwah Tony dan Nafie. Untuk kali ini kita tidak mahu kacau mood unplugged.
“Untuk pendengar baharu yang selama ini tidak kenali Spider atau hanya dengar menerusi kawan-kawan, dengan konsert ini mereka boleh kenali kami secara langsung. Spider pilih untuk buat unplugged ini kerana terinspirasi daripada persembahan Nirvana yang lebih intimate dengan penonton.
“Kumpulan Search dan Slam pun pernah buat unplugged berskala konsert. Kita yang aktif dalam industri ini nak juga satu momen unplugged. Kita percaya muzik Spider boleh dipelbagaikan. Kita dah main pelbagai lagu dan rasa mana yang sesuai barulah akan dipilih untuk konsert nanti kerana kita juga ada pemuzik jemputan seperti string dan gendang,” jelas Tam yang bersedia mengadakan konsert sedemikian di negeri lain jika ada permintaan.
Dalam pada itu, Tam berkata, Spider juga berhasrat untuk membawa penyanyi undangan bagi memeriahkan konsert unplugged mereka nanti.

“Ada berangan nak bawa penyanyi undangan tapi belum pasti siapa. Ramai yang tidak pernah tengok kita berduet dengan Ella terutama lagu “Dunia Batinku” yang dimuatkan dalam album kompilasi “Sarang Hits Spider” pada 2006. Kalau Ella nak sertai kami, itu rezeki,” katanya.
Tam juga komposer prolifik
Sejak bergelar anak seni, Tam yang merupakan suami kepada Aida Mustafa sejak 8 November 2009 dan ayah kepada empat orang anak itu bukan saja seorang penyanyi dan gitaris, dia juga berkebolehan sebagai komposer, penggubah lagu, penerbit rakaman dan pelakon.
Lagu ciptaan anak sulung daripada empat beradik itu yang menjadi pilihan ramai hingga kini adalah “Relaku Pujuk” dan lirik oleh Keon yang dimuatkan dalam album sulung ketiga Spider, “Nazraku”. Lagu tersebut juga diangkat sebagai juara Kategori Pop Rock sempena Anugerah Juara Lagu ke-19 pada 2004. “Nazraku” diangkat sebagai Album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005.

Dalam setiap album yang dikeluarkan oleh Spider, seperti “Aladin (2002), “Bintang 12”. “Kitasatu” (2010) dan “Ankabut” (2016) mesti ada karya Tam. Antara lagu ciptaan Tam adalah “Kacap Terlabik”, “Mama”, “Sumpah Tak Buat Lagi”, “Laukku Cukup Masin”, “Bila Nak Saksi”, “Ngam Ho” dan “Bukan Salah Aku”.
Selain mencipta lagu untuk Spider, Tam juga mencipta lagu “Di Pintu Syurga” untuk Dayang Nurfaizah, “Bertakhta Di Hati” (Farahdhiya), “Peneman” (Hazama), “Langit ke-7” (Sharifah Zarina), “Cukup Derita Itu (Siti Nordiana) dan “Janji Kita” (Spin).
Pasti peminat tidak sabar untuk mendengar lagu-lagu kegemaran anda disampaikan dalam versi unplugged. Untuk hadir ke konsert tersebut tiket-tiket berharga RM198, RM238, RM298 dan RM388 boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com/spiderunplugged.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









