Oleh : Nafsiah Jani
Sejak bergelar ibu, rezeki penyanyi dan pelakon Nur Nabila Mohd Razali semakin melimpah ruah. Kini pelbagai jenama yang berkaitan bayi dan ibu bapa memilihnya untuk berkolaborasi.
“Sekarang dah bertiga… dah ada anak kecik, Bella kena fikir tentang masa bersama anak dan karier. Namun karier tetap no 1 dan Bella agak berhati-hati dalam memilih naskah yang diambil.
“Kehidupan dan rutin sekarang Alhamdulilah…memang berubah 180 darjah la…bukan 360 darjah (sambil ketawa). Bella masih aktif dan ada banyak perancangan kerja selepas ini.
“Anak sulung Bella, Nik Muhammad Nik Iruwan yang kini berusia tujuh bulan lebih menjadi sumber motivasi dan kekuatan buat diri Bella untuk terus berkarya,” kata Nabila yang mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Bella.

Mengulas tentang rutin harian, Nabila anak bongsu daripada tiga beradik ini menjelaskan bahawa keluarga memainkan peranan penting membantunya menjaga anak. Bukan tak percaya orang…Bella ok je…bila ada babysitter tapi kena ada juga pantauan dari keluarga lebih baik. Sekarang dah lebih 7 bulan dan makin temban dia.
“Bella bersyukur sangat, sebab masih dapat teruskan kerjaya dan dalam masa sama luangkan masa dengan anak dan keluarga kecil. Memang penat, tapi Bella anggap inilah pengorbanan seorang ibu kepada anaknya,” jelasnya sambil tersenyum.
Bercakap mengenai dirinya sebagai seorang ibu, ujar Bella lagi,“ Biasalah setiap Mummy akan rasa berat hati nak tinggalkan anak yang masih kecil. Tapi Bella anggap keluar rumah sebab cari rezeki untuk anak juga. Kita buat semua ni untuk dia juga dan harap semuanya dipermudahkan.
“Kadang Bella bawa juga anak dan suami ke lokasi. Bukan sebab takut rindu… kadang hujung minggu tak sempat nak bawa anak jalan-jalan dan ayahnya pula cuti. Kerja pula pagi dan sekejap saja…malas nak ulang –alik… jadi kami keluar sekali senang nak jalan-jalan selepas itu. Tapi tidaklah selalu, tengokp ada keadaan.”

Menurut Bella lagi, kini baru dia tahu menjadi ibu ini satu perkerjaan dan ia bukannya sebuah pekerjaan yang mudah.
“Sekarang baru Bella faham, susahnya jadi mak, bila tengok orang pose hantar anak ke sekolahlah dan macam-macam lagi. Bella baru anak kecik…kerja dia tidur makan…tidur makan je…belum pergi sekolah lagi. Bella nak ambil kesempatan ini nak rakamkan rasa hormat Bella pada ibu bapa yang bertarung untuk membesarkan anak-anak mereka sehingga berjaya.
“Bella pun bersyukur kerana dipermudahkan dalam segala urusan. Suami banyak membantu dan begitu juga keluarga yang membantu dan sentiasa ada untuk Bella.
“Lagipun Bella bukannya sibuk hari-hari dan pandailah sebagai ibu Bella kena pandai bahagikan masa untuk suami, anak dan kerjaya. Bila dirumah, Bella fokus pada anak dan tolak ke tepi segala urusan ursan kerja dan telefon kerana inilah momen indah untuk bersama anak.”
Pelakon dan penyanyi, Nabila Razali yang popular dengan lagu Peluang Kedua mengakui dirinya masih berhati-hati untuk memuat naik foto anak sulungnya,.

“Bella buat demikian demi mengelakkan putera kesayangannya terkena penyakit ain bahkan lebih selesa untuk menghadkan perkongsian mengenai anak di media sosial. Bella tidaklah kerap berkongsi gambar anak. Bella masih memilih bila waktu dan momen yang sesuai untuk memuat naik gambarnya.
“Kalau penyakit ain itu kita memang tidak boleh elak. Niat orang kita memang tidak tahu. Bella berkongsi bukan kerana mahu menunjuk mahupun riak tapi mahu gambar itu dijadikan tatapan peminat tersayang.,” katanya ketika ditemui di sidang media drama mini bersiri McDonald berjudul Senyuman baru-baru ini.
Nabila Razali peserta Akademi Fantasia 2013 juga mengakui yang dirinya kini masih lagi mengikuti kelas vokal untuk memperbaiki teknik vokal dan nyanyiannya.
“Bella masih sambung ikuti kelas vokal demi kebaikan diri sendiri. Bella harus perbaiki kelemahan diri dan semestinya tidak mahu perkara yang sama berulang lagi. Setakat ini kelas vokal yang Bella ambil membuatkan Bella lebih selesa dan yakin dengan kemampuan diri.
“Lepas habis pantang, Bella teruskan kelas vokal sebab Bella takut banyak yang tertinggal nanti. Masih banyak lagi yang Bella kena belajar dalam kelas ini. Tambah pula tak lama lagi Bella nak tampil dengan single terbaru… jadi nyanyian Bella kenalah mantap.”

Wajahnya yang polos dan manis dengan senyuman, tidak hairanlah setakat ini sudah puluhan drama yang dibintanginya. Lakonannya yang bersahaja seperti biasa membuatkan pengarah tertarik untuk mengambilnya berlakon.
Walaupun baru beberapa tahun bergelar penyanyi dan pelakon, namun Nabila cukup bertuah. Walaupun belum pernah memenangi sebarang anugerah namun Nabila boleh berbangga dengan pencapaiannya yang sering dicalonkan untuk pelbagai anugerah bagi pelbagai kategori.
2018 Nabila dicalonkan untuk Penyanyi Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH31). 2020 sekali lagi Nabila dicalonkan bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular (Gandingan Serasi Drama (bersama Shukri Yahya) drama Pesan Pada Hati di ABPBH33.
Pada tahun 2023 tercalon untuk kategori Penyanyi Wanita Popular ABPBH35 dan 2025 Anugerah Melodi Terhangat- Selebriti Feminin Terhangat (tercalon).
Nabila merupakan graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Sains Malaysia (USM) dan menyambung pengajian sehingga peringkat sarjana dalam jurusan yang sama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









