Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Azan Scan/Koleksi Syed Wafa
LAGU “Kau Dipaksa Aku Terpaksa” nyanyian kumpulan Scan sering menjadi pilihan kaki karaoke yang mahu meluahkan perasaan mereka. Lagu ciptaan komposer Saari Amri yang dimuatkan dalam album studio pertama Scan, “Jelas Terlihat” pada 1996 masih menjadi pilihan peminat hingga kini. Malah album yang diterbitkan oleh Mus Satira itu berjaya dijual melebihi 25,000 unit di pasaran tempatan.
Penyanyi kumpulan Scan sejak ditubuhkan pada 1992 ialah Noor Hazan Rashid atau lebih dikenali sebagai Azan Scan, 53, yang masih aktif hingga kini. Malah bapa kepada lima orang anak itu juga merupakan pemenang tempat kelima dalam program Gegar Vaganza musim ke lapan (GV8) pada 2021.
Jelas Azan selepas menyertai GV8, namanya yang sedikit tenggelam ketika itu kembali mendapat perhatian ramai dan sekali gus tawaran untuknya mengadakan persembahan semakin banyak.

“Terima kasih kepada GV8 sebab panggil saya untuk sertai. Alhamdulillah saya sampai ke final dan dapat nombor lima. Secara tak langsung orang kenal Azan dan kumpulan Scan. Selepas daripada itu jemputan untuk show amat memberangsangkan.
“Sebelum menyertai GV8, saya banyak buat kerja-kerja di belakang tabir dan pernah juga buat Grab. Saya kerja sebagai penyanyi, apabila tak ada tawaran, saya kena usaha cari jalan lain untuk mendapat pendapatan bagi menyara keluarga termasuk lima orang anak.
“Alhamdulillah, sekarang ini tiga orang anak saya sudah ada keluarga sendiri dan tinggal dua lagi di bawah tanggungan saya. Saya selalu doa kalau Allah nak ambil nyawa saya, biarlah bagi anak-anak saya berjaya dalam kehidupan mereka dulu,” katanya yang turut terlibat dalam Konsert Nostalgia Rock 90-an di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada 27 September ini.

Untuk Konsert Nostalgia Rock 90-an yang dianjurkan oleh 211 Event Empire, zzan akan berada di pentas yang sama dengan sembilan penyanyi era-90 yang lain iaitu, Blank Gamma, Aan Ways, Burn Meditasi, Renggo Arrow, Isa Gravity, Shafie Rio, Afee Utopia, Wom UG14 dan Aju Success.
“Sebenarnya, saya rasa gembira sangat dapat mengadakan persembahan dengan abang-abang otai yang masih bertenaga hingga kini kerana ada juga yang sudah menjangkau usia 70 tahun. Walaupun masing-masing sudah menginjak usia namun lagu-lagu mereka tetap diminati termasuklah di kalangan peminat baharu.
“Kadang-kadang kita penyanyi lama ni rasa kecil hati juga sebab penganjur sanggup bayar budak baharu berbelas ribu, untuk satu show. Penyanyi otai buka sebelah tangan pun sudah dikatakan mahal, pada hal sebelum itu bukan main lagi mengangkat kita. Kenapa nak menilai serendah itu pada penyanyi lama. Harap, penganjur bagilah muka kepada otai, janganlah letak harga yang membunuh,” luahnya tentang situasi yang sering dilalui apabila berbicara soal bayaran dengan penganjur.
Selain sering berhadapan dengan bayaran yang boleh dikatakan tidak setimpal dengan pengalaman dan kedudukan artis lama, Azan berkata, penyanyi lama bukan demand cuma mahu dilayan dengan adil.

“Saya kerap berhadapan dengan masalah bayaran, bukan tak dapat tapi tak berbaloi. Dalam industri ini, kalau kita tidak kental dan kuat semangat, mahu jadi kacau-bilau. Kita bukan dapat gaji setiap bulan, gaji kita bergantung kepada tawaran show.
“Kadang-kadang kita tak ambil show yang ditawarkan kerana harga memang rendah sangat, tapi penganjur akan cari orang lain. Memanglah rezeki masing-masing kerana setiap orang komitmen berbeza. Mungkin artis itu perlu ambil juga show tu walaupun sikit, sebab banyak komitmen yang perlu dilangsaikan.
“Kita nampak kerjaya seni ini glamor tapi bukan semua orang yang terlibat dalam industri ini sukses, banyak yang tersadai tapi kalau itu pilihan, kita kenalah teruskan. Kerjaya sebagai anak seni ini, ada pasang surutnya. Kita kena sentiasa bersedia kerana apa saja boleh berlaku, tapi itu pilihan hati, kenalah harungi juga,” kata Azan yang tidak menggalakkan anak-anak mengikut jejak langkahnya.
Tambah Azan, dia amat bersyukur kerana Allah masih lagi membuka ruang untuknya berkarya. Namun katanya, untuk anak-anak kalau boleh buat pekerjaan lain buatlah.
“Bukan nak halang pun tapi kalau sudah rezeki anak-anak dalam industri teruskan saja. Apa yang saya risau takut mereka tak kuat sebab industri muzik terdedah dengan macam-macam aktiviti yang senang buat huru hara.

“Memang kita tak buat tapi kita takut anak-anak buat, kalau boleh elak tapi kalau rasa kuat saya memang tak halang. Kadang-kadang saya sendiri rasa fed up tapi ada orang rumah yang bagus dan sering bagi semangat kepada saya untuk terus berkarya.
“Sekarang sudah senang kita boleh terus berinteraksi dengan peminat menerusi media sosial. Kita boleh mempromosikan diri kita hari-hari untuk memberitahu orang di luar sana yang kita ini masih lagi aktif. Tapi penggunaan media sosial ini ada juga buruk dan baiknya.
“Orang lain punya view masuk dua tiga juta, kita pula naik sikit-sikit. Mungkin ada bayaran tapi kita kena sabar dan jujur. Biar lambat asal ikhlas, betul-betul daripada sokongan orang yang minat kita dan bukan kita beli view.
“Kerja saya memang kena expose dan update selalu supaya orang tahu keberadaan kita. Penyanyi sudah semakin ramai, sekarang satu lagu masuk TikTok dah boleh jadi artis. Kalau dulu kena buat album baru jadi artis. Sekarang satu lagu boom dah mengaku diri artis,” ujarnya yang percaya pada rezeki.

Selain menyanyi, Azan juga mencari rezeki dengan meniaga roti john atau mi kari di pelbagai acara. Makanan yang dijual dimasak sendiri oleh Azan dan isteri kerana dia adalah anak seorang peniaga.
“Kita masak dan kita yang melayan pelanggan sebab saya ini anak orang berniaga. Bab berniaga ini saya sudah faham tapi kena ikut priority lah sebab saya ni penyanyi. Kadang-kadang saya dipanggil untuk berniaga di festival, tapi ada win win situasi. Dalam berniaga, kita ada slot untuk menyanyi walaupun bukan amaun besar,” katanya terus terang.
Syukur dapat kesan penyakit awal
Pengalaman dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung membuatkan Azan lebih berhati-hati mengenai kesihatan diri walaupun sekarang ini dia perlu berteman baik dengan ubat-ubatan.
“Pada dua tahun lepas, saya diserang sakit jantung dan alhamdulillah, selepas buat rawatan saya kembali sihat. Memang terkejut waktu itu, kerana saya sihat saja sebab tak pernah kena sakit yang teruk. Bila sakit dada pergi check kat hospital doktor cakap ini masalah jantung.

“Saya ditahan dan dihantar ke hospital Kajang untuk rawatan seterusnya, selepas tu kena pergi ke Serdang pula untuk buat rawatan Angiogram. Mereka terus buat, masukkan kamera dan temui tiga blok tapi saya tak rasa apa-apa. Saya ingat bila sakit dada normal saja tapi doktor kata sedikit masalah kat saraf.
“Masa tu pula tengah banyak job tapi doktor sarankan kepada saya jangan menyanyi dalam tempoh setahun dua. Allahuakhbar, mata pencarian kita sebagai penyanyi macam mana kalau tak menyanyi. Bila doktor beritahu, bilal di masjid pun dia tak bagi laung azan inikan pula saya nak nyanyi.
“Saya ikut saja nasihat doktor dan makan ubat dari pagi sampai malam. Rutin harian, lepas makan kena makan ubat jantung, kencing manis dan sebagainya. Dapat sebulan saja saya berehat, mana boleh nak berehat sampai dua tiga tahun sebab kita kerja menyanyi.
“Lepas tu saya cuba juga menyanyi, alhamdulillah tidak ada rasa kesan apa-apa simptom yang saya tak boleh menyanyi. Alhamdulillah, sampai ke hari ini saya masih menyanyi. Mungkin semua itu atas doa keluarga, kawan-kawan dan peminat, terima kasih pada semua.

“Bab sakit jantung tu tak boleh nak fikir sangat. Masa saya sakit jantung hari tu saya pernah marahkan seseorang hingga merbahayakan diri sendiri. Sebenarnya saya tak boleh nak marah sebab bila marah saluran darah akan pergi deras dan akan rasa diri macam nak pitam. Alhamdulillah, saya masuk dalam kereta, tarik nafas dan istighfar banyak-banyak. Sekali saja saya jadi macam tu lepas buat Angiogram itu.
“Selepas itu saya tahu Allah tak bagi saya marah tapi perlu berjaga-jaga. Saya ambil keputusan apa saja yang berlaku saya terima dengan hati terbuka, tak boleh marah-marah. Ubat memang tak boleh tinggal cuma saya minta kurangkan sebab terlalu bergantung pada ubat sangat, takut ia menangkap buah pinggang pula.
“Sebab ia ubat pil takut memberi kesan kepada yang lain pula terutamanya buah pinggang. Kalau kena cuci darah itu akan memberi masalah sebab ia akan berterusan. Sakit jantung ni kita kena jaga pemakanan. Kita boleh makan tapi kena hadkan terutamanya nasi kalau makan lebih pun tak boleh.
“Sekarang ini kalau pergi event besar bila ada makanan meriah, ya Allah dugaan betul tapi saya ambil juga lah sikit saja. Tapi kena sulam dengan air masak. Benda ini kita tak boleh nak agak tapi kita boleh rasa kondisi badan kita, kuat ke tak? Kalau rasa semacam tu, kita akan cuba kurangkan,” katanya yang sentiasa berdoa semoga Allah berikan kesihatan yang baik.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









