Oleh: Khadijah Ibrahim
MACAM mana ya, dialah calon dan individu yang sama juga menjadi juri untuk pertandingan tersebut. Eh! Teluskah keputusan yang dibuat tu? Sekali pandang memanglah kita akan berfikiran negatif dan berpendapat, macamlah tak ada orang lain untuk dilantik menjadi juri.
Lagipun bukan mudah untuk para juri membuat penilaian bagi memilih Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) untuk 26 kategori yang dipertandingkan kerana edisi kali ini, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menerima 682 pencalonan berdasarkan karya-karya muzik yang diterbitkan mengikut tempoh kelayakan iaitu antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.
Penjurian selama tiga hari itu dikemudikan oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri bersama dengan 132 juri daripada pelbagai latar belakang yang mempunyai kepakaran masing-masing.

Panel juri AIM24 dianggotai pengamal industri muzik tempatan yang berkelayakan serta berpengalaman luas dalam industri muzik tanah air merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi, penerbit, penggubah lagu, guru vokal, pengarah video, jurutera rakaman, jurufoto, pereka grafik, perunding imej dan sebagainya.
“Bagi saya kita ada tiga fasa penjurian memang sukar kerana kita ada 26 kategori yang perlu dinilai dalam masa yang diberikan. Kategori yang paling banyak sekali adalah Lagu Pop Terbaik, ada 72 pencalonan.
“Penjurian fasa pertama AIM24 adalah untuk kategori ‘Rakaman Album Terbaik’ kerana itu adalah teknikal yang berlangsung di Timeless Studio, pada 14 dan 15 Julai 2025, disusuli semua kategori lain di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Julai 2025. Kategori ‘Lagu Terbaik’ AIM24 pula dilaksanakan di Timeless Studio pada 29 Julai 2025.

“Kesemua juri telah kita berikan kelonggaran untuk mereka menilai tanpa ada pengaruh atau apa-apa tekanan. Kita telah memberikan segala butiran berkaitan karya yang perlu mereka nilaikan itu. Proses penjurian AIM24 telah diurus tadbir oleh badan bebas, Macomm Management Services dan semua pemarkahan telah diaudit oleh Mazars iaitu sebuah badan audit bebas,” jelasnya pada sidang media pengumuman Top 5 AIM24, pada 14 Ogos baru-baru ini.
Mokhzani menjelaskan lagi, walaupun ada di antara juri iaitu Aina Abdul dan Hazama yang karya mereka turut tercalon, namun beliau memastikan kedua-dua penyanyi itu tidak terlibat dalam penjurian yang membabitkan karya mereka.
“Dalam 132 juri itu memang ada juri-juri yang terlibat dalam karya yang dijuri. Tugas saya sebagai ketua juri memastikan juri setiap kategori itu tidak terlibat dalam mana-mana naskhah atau lagu atau album yang kita jurikan. Itu sangat penting kerana kita utamakan intergriti.
“Sebab itu kalau kita lihat ada juri-juri yang masuk bertanding tapi kita pastikan dia tidak menjurikan lagu-lagu yang dia terlibat kerana itu sangat penting. Sebab itu perlu saya jelaskan supaya orang tidak salah faham,” katanya yang berpuas hati dengan segala gerak kerja juri yang dijalankan.
Sementara itu, Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim melahirkan rasa teruja kerana di antara 130 finalis yang terpilih bagi 26 kategori itu turut merangkumi bakat-bakat baharu yang sedang menyinar selain artis-artis ternama yang telah lama menempatkan diri dalam industri muzik tempatan.

AIM24 kali ini mempertandingkan sejumlah 30 kategori secara keseluruhan termasuk 4 kategori terbaharu iaitu ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik’ serta ‘Kugiran Terbaik’.
“Dengan dana sumbangan Kementerian Komunikasi melalui dana MyCV pula, 11 pemenang AIM24 kelak tentunya akan mampu menghasilkan lebih banyak kandungan muzik berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan mahupun luar negara.
“Pemenang kategori ‘Album Terbaik’ akan menerima dana sebanyak RM200,000 manakala kategori ‘Artis Baharu Terbaik’, ‘Lagu Etnik Terbaik’, ‘Lagu Nasyid Terbaik’, ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Lagu Inggeris Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’, ‘Lagu India Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ akan menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu,” kata Rosmin.
Sebanyak enam kategori akan diumumkan melalui Majlis Pra-Anugerah pada 12 September 2025 iaitu ‘Kulit Single/Album Terbaik’, ‘Rakaman Album Terbaik’, ‘Rakaman Lagu Terbaik’, ‘Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu’, ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ serta ‘Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube’, sementara 24 kategori utama akan diumumkan pada malam kemuncak, 13 September ini.
Malam kemuncak AIM24 bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang mulai jam 9 malam yang akan disiarkan secara langsung oleh RTM selaku penyiar rasmi melalui TV2 dan RTM Klik.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









