Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS beberapa tahun menyepi, kini penyanyi yang sebelum ini popular dengan lagu “Salam Alaikum”, “Good Life” dan “I Promise”, Harris J kembali dengan album EP terbaharunya, “Revival”.
Baru-baru ini penyanyi berasal dari London itu hadir ke Malaysia untuk mempromosi album “Revival” yang diterbitkan oleh Awakening Music itu sebagai tanda kembalinya Harris J ke arena muzik dan sekali gus menjadi lambang kelahiran semula peribadi dan muziknya.
Penyanyi yang nama sebenarnya Alharith Jung, 28, dan terkenal dengan mesej positif dalam setiap lagunya, meluahkan rasa teruja berada di Malaysia dan bertemu peminatnya.

“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia dan berkongsi album ini dengan semua peminat saya di sini. Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya.
“Sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat di sini adalah inspirasi terbesar. Saya berharap EP “Revival” ini dapat diterima baik dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” katanya.
EP “Revival” mengandungi enam buah lagu itu merupakan sebuah naskhah penuh makna yang sarat dengan tema-tema keimanan, kasih sayang, dan perjalanan spiritual. Ia mencerminkan kematangan Harris J sebagai seorang artis dan peribadi, dengan lirik-lirik yang lebih mendalam dan penuh ketulusan.

EP “Revival” menampilkan gabungan lagu-lagu baharu dan karya ikonik yang disusun semula. Ia disempurnakan dengan lagu-lagu utama seperti “Qalbi Fil Madinah” yang menampilkan kerjasama dengan Maher Zain, “O Allah”, “Salati” dan “Always Listening”.
Lagu single utama, “Hayati”, turut diiringi video muzik sinematik yang diarahkan oleh Idris Kheder, seorang pengarah filem berdarah Perancis-Tunisia, dengan lokasi penggambaran yang menakjubkan di Granada, Sepanyol.
Harris J berkata, album ini bukan sahaja sekadar kembalinya dia dalam industri muzik, tetapi juga membawa misi peribadi yang lebih besar.
“Saya ingin membantu generasi muda Muslim berasa lebih bangga dengan identiti mereka, dan membantu mereka melihat bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna,” katanya mengenai album EP “Revival” yang kini tersedia di semua platform penstriman utama.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









