Apa yang membezakan Konsert Intifada Rabbani daripada mana-mana persembahan nasyid sebelum ini ialah keberaniannya menggabungkan pelbagai elemen persembahan moden daripada visual LED definisi tinggi, sistem bunyi bertaraf dunia, sehinggalah kepada integrasi elemen teater dan sinematografi. Semua ini dilakukan tanpa mencairkan mesej dakwah yang menjadi tunjang utama Rabbani.

Oleh: Syed Wafa

Kumpulan Rabbani yang ditubuhkan pada 1 Mac 1997, bermaksud “Yang Arif” dan “Yang Soleh” sehingga kini masih bertahan dan masih aktif menghasilkan karya terbaru.

Rabbani bermatlamat untuk menyeru diri, keluarga dan masyarakat ke arah kebaikan kini, dalam suasana dunia hiburan yang semakin pesat dan beraneka ragam, di mana muzik seringkali dijadikan medium untuk populariti semata-mata, kumpulan nasyid lagenda negara akan muncul dengan satu langkah berani dan bersejarah. Pada 20 September akan datang satu konsert mega yang dinamakan “Konsert Intifada Rabbani” akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, mempersembahkan bukan sekadar nyanyian, tetapi sebuah manifesto seni Islam yang membingkai perjuangan, pengorbanan dan harapan.

Sejak ditubuhkan lagi, Rabbani telah menjadikan muzik sebagai landasan dakwah mempersembahkan lirik-lirik yang sarat dengan mesej keislaman, menyeru kepada kebaikan, mendidik jiwa dan menyatukan ummah. Dalam dunia yang penuh dengan hiruk-pikuk hiburan tanpa sempadan, nasyid kekal sebagai suara yang menyapa hati. Dan Rabbani, berdiri teguh sebagai antara pelopornya yang tidak pernah lekang dalam menyampaikan nilai-nilai murni.

Nasyid bukan sekadar alunan suara harmoni. Ia adalah doa yang disampaikan dalam bentuk melodi. Ia adalah khutbah yang dibungkus dalam lirik indah, mudah diingati dan meresap ke dalam jiwa tanpa dipaksa. Rabbani, melalui lagu-lagu seperti Intifada, Pergi Tak Kembali, Syahadah, dan Satu Qiblat Yang Sama, telah memperlihatkan bagaimana seni dan agama boleh berjalan seiring, tidak hanya untuk hiburan, tetapi sebagai agen perubahan masyarakat.

Nama “Intifada” yang dipilih sebagai tajuk konsert bukan sesuatu yang sembarangan. Ia membawa makna yang dalam dan mencabar satu bentuk kebangkitan, penentangan terhadap kezaliman dan kejahilan. Namun dalam konteks konsert ini, Intifada ditafsirkan sebagai kebangkitan spiritual, satu perlawanan batin manusia terhadap kelemahan diri, godaan dunia, dan bisikan nafsu.

Untuk membawa penonton benar-benar menyelami makna perjuangan ini, satu segmen khas yang bersifat dramatik akan dipersembahkan dalam konsert tersebut. Di pertengahan konsert, akan terdapat sebuah babak penceritaan sinematik di mana penonton dibawa melalui kisah seorang insan biasa yang berdepan dengan pelbagai dugaan hidup. Kisahnya adalah cerminan kita semua: seorang anak muda yang mencari cahaya dalam dunia yang kelam, yang akhirnya bangkit melalui pengorbanan diri dan bimbingan iman.

Adegan ini bukan hanya disampaikan melalui kata-kata, tetapi digarap secara teatrikal dengan bantuan susunan muzik yang emosional, pencahayaan yang dramatik serta visual latar yang penuh simbolisme. Ia akan menjadi momen paling mengesankan dalam konsert, satu bentuk dakwah dalam bentuk seni penceritaan, menghidupkan mesej bahawa dalam setiap perjuangan, pasti akan ada pengorbanan.

Apa yang membezakan Konsert Intifada Rabbani daripada mana-mana persembahan nasyid sebelum ini ialah keberaniannya menggabungkan pelbagai elemen persembahan moden daripada visual LED definisi tinggi, sistem bunyi bertaraf dunia, sehinggalah kepada integrasi elemen teater dan sinematografi. Semua ini dilakukan tanpa mencairkan mesej dakwah yang menjadi tunjang utama Rabbani.

Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan khas dua figura nasyid tanah air iaitu Yabang dan Aeydan dari kumpulan Brothers, sebagai penyanyi jemputan. Gabungan antara Rabbani dan Brothers ini akan menyatukan dua generasi peminat nasyid yang membesar dengan lagu-lagu era 90-an, dan generasi baru yang mula mendekati nasyid dalam bentuk kontemporari.

Sementara itu, pemilihan Idea Live Arena sebagai lokasi persembahan juga membuktikan bahawa konsert ini dirancang secara profesional dan berskala besar. Dengan kapasiti sehingga 7,000 orang dan fasiliti teknikal terkini, arena ini bakal menjadi saksi kepada satu malam yang akan dikenang dalam sejarah industri nasyid tempatan.

Konsert ini juga membawa erti sentimental yang besar buat kumpulan Rabbani dan para peminatnya. Ia menjadi medan penghormatan kepada arwah Ustaz Asri Ibrahim, vokalis utama kumpulan ini yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2009. Suaranya pernah menjadi nadi kepada Rabbani, dan semangat perjuangannya terus mengalir dalam setiap bait lagu yang dinyanyikan oleh tujuh anggota Rabbani hari ini iaitu Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.

Bagi mereka, konsert ini bukan sekadar kemunculan semula tetapi satu tanggungjawab warisan, untuk terus membawa mesej dakwah melalui seni, seperti yang dimulakan oleh Ustaz Asri hampir tiga dekad lalu.

Tiket untuk konsert ini akan mula dijual secara rasmi bermula 31 Julai 2025 melalui dua platform utama: Ticket2U dan Fantopia.io. Dengan permintaan awal yang tinggi dan sambutan luar biasa di media sosial, tiket begitu mendapat sambutan hangat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here