Ayati Tasrip begitu ayu di awal kemunculan dalam dunia seni.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Ayati Tasrip/Koleksi Syed Wafa

Dalam meniti usia 66 tahun penyanyi Ayati Ahmad Tasrip kini lebih tenang untuk menyeimbangkan hidupnya agar cukup untuk bekalan dunia dan akhiratnya.

“Sekarang ini dah tak ada apa yang saya nak cari atau kejar lagi. Semuanya saya dah kecapi termasuk impian saya dulu nak jadi seorang insan seni. Kini saya nak hidup tenang-tenang je…jaga suami dan kalau ada show saya pergi. Selain itu saya juga masih aktif join persatuan artis antaranya Seniman, Karyawan, YAVM, PKAVM dan Veteran Tentera.

Album Di Mata Cinta album Syati Tasrip pada tahun 1991.
Album Khazanah Dari Malaya album Ayati Tasrip pada tahun 1992.

“Lagipun anak-anak ada bagi duit dan rezeki menyanyi pun masih ada. Cukuplah untuk belanja kami berdua. Alhamdulillah dan saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang. Alhamdulillah dan kini saya tinggal bersama suami dan anak di Kampung Pandan. Manakala anak-anak saya masih tinggal di Ampang dan selalu jugalah kami menjengok anak-anak di sana walaupun semuanya sudah berkeluarga.

“Bila dah tak sibuk ini seringlah saya ikuti majlis agama bersama rakan artis yang lain. Kadang kami lepak dekat restoran Mamak, sesekali kami pergi karaoke untuk rehatkan minda jumpa kawan-kawan lama untuk lepak, portluk dan macam-macam lagi.”

Ayati dengan albumnya Cinta Dangdut pada tahun 1995
Ayati dan suami dihari bahagianya pada Februari 2020.

Bercerita mengenai kehidupannya sekarang ini, kata Ayati yang pernah bercita-cita menjadi seorang jururawat, “Lima tahun selepas suami pertama saya (Zulkifly Halim) meninggal, saya tak sangka masih bertemu jodoh lagi dalam meniti usia 60 tahun. Kini saya bahagia dengan suami saya, Arifin Maaba, 74, seorang pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikahwininya sejak 20 Februari 2020.

“Dah penat cari duit masa muda nak besarkan anak-anak dengan menyanyi dan meniaga. Kini suami suruh duduk berehat. Kalau ada tawaran menyanyi saya masih pergi dan syukurlah sehingga sekarang masih ada lagi tawaran walaupun publisiti saya makin berkurangan di media massa.

Ayati (baju merah) bertemu kembali kawan baiknya, Siti yang telah terpisah lebih 20 tahun.

“Kini kemana saja suami akan menemani saya. Walaupun kaki kirinya sudah dipotong sejak Januari lalu kerana kencing manis namun saya tetap membawa suami saya kemana sahaja saya pergi.”

Sebelum bergelar artis rakaman, sejak usianya 4 tahun, Ayati sudah mula berjinak-jinak dengan dunia seni, menyanyi bersama iringan band. Manakala di sekolah pula Ayati sering menyanyi bersama iringan band orang dewasa.

Hari bahagia anak bongsu Ayati, Siti Nurdalila bersama abang dan kakak ipar serta anak angkat Ayati ( baju hitam).

“Mungkin darah seni datuk sebelah emak buat saya minat menyanyi sejak kecil lagi. Ada saja peluang tak kira tengah panjat pokok dan tengah mandi dalam sungai pun saya suka menyanyi, tak kira masa dan tempat.

“Bukan itu saja, ketika usia 16 tahun saya sudah mula menyanyi bersama kumpulan kombo antaranya Rishah Kombo dan menyanyi di rumah-rumah orang kahwin. Sekali nyanyi dapatlah RM35,00 dan jumlah itu cukup besar dan bahagianya tidak terkata kerana dapat mengumpul duit antara tahun 1976-1977.”

Keluarga bahagia Ayati Tasrip.

Tamat tingkatan 5, Ayati anak bongsu daripada tiga beradik bekerja kilang berdekatan rumahnya. Apa saja pertandingan menyanyi sempena Hari Buruh, Ayati aktif mengikuti dan selalunya tempat pertama adalah milik saya menyanyikan lagu, Putus Sudah Kasih Sayang lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Kemudian Ayati membawa diri ke Kuala Lumpur berkerja di Jabatan Penerangan dibahagian Pentarama selama setahun. Kemudian Ayati menyertai Orkestra Tentera Darat (OTD) dan seterusnya berpeluang merakamkan album selepas mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bintang RTM pada tahun 1986.

Sejak itu bermulalah kariernya dalam bidang seni dengan Di Mata Cinta (1991), Khazanah Dari Malaya (1992), Impiana (1993) dan Cinta Dangdut (1995), “Khazanah Dari Malaya” (1992), Rentak Orang Berdua” (Bersama Saleem 1994), Cinta Dangdut” (1995), Seloka Bervisi” (1995) dan Cinta Yang Terlarang” (bersama Eric Abdullah; 2017)

Bersama teman artis dan media di Konah.

“Buat masa ini tak terfikir lagi nak buat lagu baru. Tapi kalau ada lagu yang bagus dan ada bajet, tak ada masalah untuk saya rakamnya.” ujarnya lagi.

Ayati mempunyai 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan bersama 9 orang cucu beserta dua orang cicit. Anak sulongnya, Mohd Fazli Zulkifli, Mohd Faizal Zulkifly, Siti Nurfazlina Zulkifly dan Siti Nurdalila Zulkifly.

Ayati mengikat kontrak rakaman bersama label Suara Cipta Sempurna (SCS) dan merakamkan album sulungnya, Di Mata Cinta pada 1991 dengan Wan Zul dan A.Ali yang berkhidmat sebagai penerbit album. Beliau kemudian merakamkan tiga lagi album.

Ayati Tasrip tetap anggun meniti usia 60 -an

Pada tahun 1995, lagunya, “Cinta Dangdut” menerima pencalonan sehingga ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik Bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir menyanyikan lagunya itu kerana sarat hamil dan tempatnya digantikan oleh penyanyi baru ketika itu, Masleena.

Kemudian pada 2002, Ayati muncul sebagai penyanyi undangan dalam album duet Datuk Ahmad Jais dengan menyanyikan enam lagu bersama. Selepas itu, beliau bersara dari kerjaya muzik untuk memberi tumpuan kepada keluarganya. Pada Disember 2017, Ayati melancarkan single duet bersama Eric Abdullah berjudul “Cinta Yang Terlarang” yang berkonsepkan Pop Rock.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here