Joe masih aktif berkarya selagi diperlukan.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Joe Branko/Koleksi Syed Wafa

Bertuah kumpulan Barbarik, baru beberapa tahun ditubuhkan kini kumpulan yang ditubuhkan Joe bekas anggota kumpulan Wings tengah bersedia untuk melangkah ke peringkat antarabangsa Joe Wings atau juga Joe Branko merupakan seorang bekas pemain gitar utama kumpulan Scandals, Wings, penerbit album, pemuzik undangan, pencipta lagu, penulis lirik, pengarah muzik, juri, pelakon dan penyanyi.

Ini berikutan permintaan pihak di London yang menawarkan kumpulan Barbarik untuk mencipta lagu Inggeris bagi dipromosikan di sana. Selain Joe, Barbarik turut dianggotai Mus, Ainul Kristal dan Mie.

Tinggal kenangan…Joe ketika bersama kumpulan Wings.

“Alhamdulillah. Tahun ini banyak sangat perancangan untuk kumpulan Barbarik…lepas satu konsert akan ada lagi konsert. Ini saya tengah siapkan album Inggeris yang mengandungi tiga buah lagu untuk kami promosikan di London…kalau berjaya, Alhamdulillah.

“Lagu dah siap, cuma sekarang kami dalam proses menyedapkan lagi liriknya. Nak ikut rancangan ini dah lama difikirkan, cuma tahun ini bila ada kelapangan baru kami dapat laksanakan pembikinan lagu tersebut. Pihak disana asyik tertanya-tanya mengenai album ini, itu sebabnya saya terpaksa menyegerakan rakamannya. Saya buat album Barbarik sebab nak tunjuk kami masih serius untuk berkarya,’’ kata Joe lagi.

Joe menjadi hero dalam filem Putera bergandingan dengan Vanida Imran dan Erma Fatima.

Joe atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, menambah selain kesibukan album, mereka juga tengah sibuk dengan persiapan konsert.

 

“Sekarang saya juga tengah prepare untuk konsert tahun depan pada 31 Januari, konsert kumpulan Barbarik & Kumpulan Cromok. Konsert rock kami akan dipenuhi dengan pengisian dan saya harap konsert ini dapat sambutan `full house’.

Joe dan Eddy antara babak dalam filem Putera.

“Sekarang ini kami ada tiga pilihan lokasi..sama ada nak adakan konsert di Kuala Lumpur. Kami nak cari lokasi yang terbaik untuk kesenangan dan kemudahan semua pihak. Buat masa ini Kuala Lumpur menjadi pilihan kerana persekitaran dan sambutan yang hebat dari warga di sini.

“Kalau ada rezeki mungkin kami fikirkan buat di luar Kuala Lumpur pula. Bukan tak nak buat luar dari Kuala Lumpur…semua ini terhalang kerana susah nak dapatkan penaja. Bukan saja tajaan, cukai juga mahal berbanding Kuala Lumpur cukai yang dikenakan masih murah lagi.”

Selain menyibukan diri dengan menghabiskan masa di studio rakaman, Joe juga sibuk dengan aktiviti barunya melayan cucunya yang berusia 1 1/2 tahun.

Filem Amelia gandingan Joe dan Ruhil Amani.

Menyentuh mengenai dunia seni, ujar Joe lagi,“Dalam industri ini tak ada apa lagi yang saya kejar atau cari…saya dah capai macam-macam. Saya aktifkan diri sebab tak mahu orang kata saya hilang dari radar…itu sebab saya kena hasilkan album untuk kumpulan Barbarik.

“Tahun lepas dah ada album, mungkin empat atau lima bulan lagi saya rancang buat album baru lagi. Hari Raya akan datang pun saya dah rancang, kalau rancangan album Inggeris kami menjadi, kemungkinan besar kami nak buat konsert Hari Raya dengan orang Malaysia dan pelajar-pelajar di London. Semuanya masih dalam perancangan, harapnya semuanya berjalan dengan lancar dan seperti yang kami harapkan.

“Jun atau Julai tahun depan saya tengah rancang nak buat konsert akustik Barbarik bersama iringan 42 + 1 pemuzik orkestra…baru syok nak main muzik. Saya plan buat macam tu sebab dulu dengan Wings, kami pernah pernah buat sebanyak dua kali. Kali ini saya nak bagi Mus dan Ainul rasakan keseronokan bermain dengan iringan orkestra pula.”

Filem Superstar turut menampilkan Joe sebagai pelakon utama.

Menurut Joe lagi, bagi merealisasikan impian tersebut dia akan cuba memohon mana-mana dana yang disediakan pihak kerajaan.

“Sekarang susah nak cari penaja yang sanggup menaja konsert. Kalau ada rezeki, saya rancang nak mohon dana yang kerajaan sediakan. Kalau dapat dana, bolehlah kami jual tiket pada harga yang cukup murah agar semua dapat menyaksikan persembahan kami. Tambahan pula dengan kemantapan vokal Mus dan iringan orkestra, saya pasti penonton yang datang cukup berpuas hati.

“Dana ini perlu bagi menampung perbelanjajan kami untuk gaji dan elaun yang terpaksa berehat selama empat bulan dari melakukan lain-lain perkara bagi memberi tumpuan pada latihan persembahan bersama orkestra ini nanti.”

Joe bersama kumpulan Barbarik

Tambah Joe lagi,dia akan terus berkarya selagi peminat mahukan dirinya untuk terus berkarya dan kerana minatnya terhadap seni

“Saya masih aktif sebab peminat masih nakkan saya..kalau mereka tak nak saya lagi…baru saya akan berhenti. Sekarang masih ada nak dengar karya dia, kenalah saya terus berkarya. Selain sibuk dengan Barbarik saya juga ada membuat lagu dan sebelum memberi lagu, saya juga kena tahu siapa penyanyinya dan dari situ barulah saya dapat bayangkan lagu sebagaimana yang sesuai untuk penyanyi tersebut.

“Sepanjang bergelar pemuzik, saya juga banyak belajar formula buat lagu dan fahami lirik dengan Joe Stone Kevin (JS Kevin). JS Kevin juga banyak bertanya saya berkenaan arrangement lagu dan sound rock. Tak sangka kami berdua cukup mengagumi antara satu sama lain.”

Joe dengan aksi lincah memperagakan kemahirannya bermain gitar.

Sebelum bersama Barbarik, Joe juga pernah menjadi pemain gitar utama untuk menyertai kumpulan Blood Angels dan seterusnya mereka menukar nama kepada Blood World (kini dipanggil Terra Rossa) (1984-1986). Kemudian Joe menjadi pemain gitar kedua untuk menubuhkan Scandals (1986-1988) dan kemudiannya Kumpulan Wings. Setelah 28 tahun bersama Wings kini Joe menubuhkan kumpulan terbaharunya bernama Prime Domestic dan terkini Barbarik bersama Mus, Ainol & Rozaimie.

Selain bermain muzik, Joe juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya “Putera” (1994), “Amelia” (1995) dan “Superstar” (1995) selain pelakon undangan di dalam filem Pemburu Bayang (1993) dan Leftwings (2012).

Selain itu beliau juga merupakan seorang penerbit album rock yang telah menaikkan nama kumpulan Slash, Def Gab-C, Kristal, Double line serta beberapa nama lain. Pada tahun 2016, Joe telah meninggalkan kumpulan Wings selepas 28 tahun bersama kumpulan itu dan kemudiannya beliau mengasaskan kumpulan kugiran terbaharunya Prime Domestic.

Joe yang sentiasa ceria

Kini Joe memimpin kumpulan Barbarik bergerak pantas menempatkan nama mereka menghampiri sebaris kumpulan-kumpulan rock terdahulu. Barbarik dibarisi oleh Joe (Gitar), Muss (vokal), Rozaimie (Bass) dan Ainol (Drum). Semenjak kemunculan Barbarik, mereka mengegarkan industri muzik Rock/heavy metal tempatan. Anggota Barbarik bukan lah wajah-wajah baru didalam industri Muzik tempatan. Mereka orang-orang yang amat berpengalaman dan amat mahir. Mendapat sambutan yang amat luar biasa dari peminat-peminat muzik irama keras dan dari kalangan pengiat industri pemuzik sendiri.

Joe anak kelahiran Muar, Johor, kini bahagia bersama isteri tercinta, Rozalinda Gulam Rasul (Linda Rasul) dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Sarah Nisa, Aisyah Nisa dan Muhammad Rafael.

Sepanjang kariernya, Joe telah berjaya mencapai beberapa kejayaan peribadinya seperti mendapat tempat ke 2 sebagai emain gitar popular anjuran majalah Konsert pada tahun 2000. Penerbit Album bagi anugerah Album Rock Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 1993, Anugerah Kulit Album Terbaik (AIM -1996) sebagai penerbit album, sebagai penerbit album untuk Kumpulan Def Gab C bagi Anugerah Album Rock Terbaik (AIM- 2001),Anugerah Tokoh Rock Lagenda 2018 anjuran Majlis Anugerah Kecemerlangan Kurshiah ke 55, Universiti Malaysia (UM), duta jenama peralatan muzik Samson, Duta Gitar Gibson dan lain-lain lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here