NORMADIAH antara seniwati legenda yang sehingga kini dirindui.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa

APABILA sebut nama Allahyarham Normadiah sesuatu yang mengingatkan para peminat filem Melayu era 1950-an mengenai kehebatan seniwati yang seorang ini.

Sebabnya, Normadiah bukan calang-calang seniwati. Beliau bukan setakat hebat berlakon dan menjiwai watak dengan baik malah Normadiah juga boleh menyanyi dan menari dengan ‘cantik.’

NORMADIAH sebagai Melati dalam “Belantara” dan merupakan filem terakhir beliau diberi watak utama.

Bukan itu sahaja, bagi beliau apabila bersetuju berlakon dalam sesebuah filem apa juga babak beliau akan lakonkan demi menepati watak dan jalan cerita filem berkenaan.

Baginya ketika itu dia bukan ‘Normadiah’ sebaliknya dia adalah watak yang harus melaksanakan tugas dan kewajipannya seperti yang dikehendaki skrip filem berkenaan.

FILEM “Belantara” begitu mendapat promosi meluas.

Begitulah yang dilakukan oleh Normadiah ketika menjalani penggambaran filem “Belantara” terbitan Malay Film Productions pada tahun 1957. Filem ini adalah arahan terakhir arahan S. Ramanathan sebelum beliau kembali ke India.

Normadiah dianggap seniwati paling berani dalam sejarah industri filem Melayu dengan wataknya sebagai Tarzan wanita yang juga gadis pulau bernama Melati dalam filem berkenaan dan sanggup melakonkan babak dibelit ular sawa tanpa khidmat ‘stunt-in.’

NORMADIAH sebagai Melati dan merupakan filem terakhir beliau diberi watak utama.
Nordin Ahmad sebagai kelasi kapal bernama Johan dalam “Belantara.”
Ini adalah filem terakhir terbitan Studio Jalan Ampas yang dilakonkan beliau.
Selepas itu, Nordin Ahmad berhijrah ke Cathay Keris.

Demi merealisasikan impiannya, Normadiah berlatih berminggu-minggu untuk babak berlawan, bergelut dengan ular sawa, berenang menentang arus sungai yang deras, menunggang gajah dan melompat dari pokok ke pokok.

Bagaimanapun tanpa diduga apabila penggambaran babak yang melibatkan Normadiah bergelut dan bergusti dengan seekor ular sawa liar yang dikatakan pernah menelan binatang buas, membelit badan Normadiah ketika penggambaran babak untuk filem “Belantara” sehinggakan beliau sukar untuk bernafas.

P. RAMLEE pernah muncul sebagai ‘hidden came dalam filem “Belantara” arahan S. Ramanathan ysng diterbitkan pada tahun 1957.
Sayangnya babak yang melibatkan beliau tidak dapat ditonton kerana filem ini telah musnah akibat banjir besar yang melanda Studio Jalan Ampas, Singapura.

Bukan itu sahaja, malah ular sawa yang diberi nama ‘Pete The Phyton’ turut menggigit tangan dan membelit badan Normadiah sehingga beliau sukar bernafas dan pengsan dalam belitan ular sawa berkenaan.

Bagaimanapun nasib menyebelahinya apabila Seniman Nordin Ahmad watak utama, Johan, dalam filem berkenaan yang berada di studio bersama kru serta merta menangkap dan melepaskan lilitan ular sawa dari badan Normadiah yang tidak sedarkan diri!

BABAK ketika Normadiah dibelit oleh ular sawa.

Normadiah yang pengsan dikejarkan ke hospital dan nasib baik doktor dapat menyelamatkan beliau. Disebabkan kejadian yang mengerikan, beliau diberi rehat selama dua minggu.

Semua dengan izin-Nya, kerana ketika Normadiah bergelut dengan ular sawa, beliau sedang mengandung anak sulungnya bersama suami, Syed Hassan Al-Sahab. Anak yang dalam kandungannya adalah Sharifah Hasnor!

SATU babak dari filem “Belantara” yang turut dilakonkan A. Rahim dan Salleh Kamil.

Adalah difahamkan sepatutnya untuk babak bergelut dan bergusti dengan seekor ular sawa, seorang kru penerbitan ditugaskan untuk mendapatkan seekor ular jinak dari mana-man sarkis. Sayangnya ular-ular sarkis tidak panjang dan terlalu jinak.

Disebabkan itu, apabila seorang kru terjumpa ular sawa liar yang dijual dengan harga $75 di pasar Bedok, Singapura beliau terus membelinya. Adalah dipercayai ular sawa sepanjang 20 kaki dan ganas itu ditangkap kerana memakan seekor babi!

Kru di set penggambaran filem klasik BELANTARA (1957).

Disebabkan kejadian itu, Normadiah diberi rehat selama dua minggu. Bagaimanapun selepas discharge dari hospital Normadiah tidak puashati dan mahu meneruskan babak bergelut dengan ular sawa bernama, Pete.

Bagaimanapun akhirnya Pete tewas ditangan Normadiah dan babak tersebut dapat disiapkan tanpa berlaku kejadian yang tidak diinginkan!

STUDIO Jalan Ampas dilanda banjir pada tahun 1966.
Disebabkan itu banyak filem-filem terbitan Studio Jalan Ampas rosak.
Antaranya filem “Belantara” lakonan Nordin Ahmad dan Normadiah.
Selain itu filem yang turut rosak ialah “Melancong Ke Tokyo,” “Sabaruddin Tukang Kasut,” “Si Tora Harimau Jadian” kerana memaparkan unsur tahyul dan “Gelora” lakonan Sarimah, Arman Yadi, Isma Rubee dan P. Ramlee kerana memaparkan babak-babak intim yang hanya sesuai ditonton orang dewasa

Adalah difahamkan “Belantara” filem ke-11 lakonan Normadiah musnah akibat banjir besar yang melanda Studio Jalan Ampas, Singapura!

Khabarnya ada seorang VIP menawarkan ganjaran $100,000 pada sesiapa yang mempunyai salinan filem berkenaan tetapi tiada khabar berita mengenai filem tersebut!

NORMADIAH bersama suaminya Syed Hassan Shahab.
Perkahwinan mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Sharifah Hasnor dan Syed Ekzan.

Disebabkan itu, filem “Belantara” tidak pernah ditayangkan di stesyen televisyen dan hasrat para peminat Normadiah untuk melihat kehebatan ‘Tarzan Wanita’ ini yang mula menceburi bidang lakonan dengan filem pertama “Seniati” arahan AR Tompel pada tahun 1953 hanya tinggal impian!

Melalui “Seniati,” AR Tompel telah menukar nama Norma Abdullah kepada Normadiah!

Selama 44 tahun dalam dunia filem Melayu, Normadiah telah membintangi lebih 60 filem antaranya “Semerah Padi”(1956), “Bujang Lapok” (1957), “Lela Manja” (1959),”Anak Buloh Betong” (1966), “Raja Bersiong” (1968), “Hapuslah Airmatamu” (1976) dengan filem terakhir sebagai dirinya sendiri dalam “Layar Lara” terbitan tahun 1997.

PASANGAN bahagia…Normadiah bersama Aziz Jaafar dan anak-anak mereka (dari kiri) Syed Eksan, Azlina Aziz, Sharifah Hasnor dan Liza Aziz.

Seniwati Normadiah, isteri kepada Allahyarham Seniman Aziz Jaafar dan ibu kepada lima orang anak melalui tiga perkahwinan antaranya Sharifah Hasnor, Syed Ekzan, Azlina dan Liza Aziz menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun kerana penyakit kencing manis dan apendiks pada 8 Ogos 2000.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

PENULIS, Syed Wafa mengabadikan kenangan bersama Normadiah.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakab semoga roh Allahyarham Normadiah dicucuri rahmat…Amin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here