Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Nizam Arjuna/Koleksi Syed Wafa
Izinkan aku sayang
Menyentuh perasaan mu
Biar gelora cinta semalam…
Tidak dinafikan lagu Gugurnya Bunga Cinta inilah yang melonjakkan nama kumpulan Laksamana yang di anggotai Nizam Arjuna di persada muzik rock tanah air sekitar era 90-an, malah ada melabelkan lagu ini ‘berhantu’. itulah sebabnya lagu ciptaan Ismail Ahmad Nawab ini masih kekal relevan dan diminati sehingga hari ini.
Nizam Arjuna yang lebih dikenali Nizam Laksamana tidak pernah kisah dengan pandangan sesetengah orang yang memandang rendah usahanya ketika membuat kerja-kerja kebajikan dengan menganjurkan Showcase Amal Artis Lagenda.

“Diam tak diam rupanya dah empat kali saya anjurkan showcase amal ini bagi membantu rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan kewangan, terutamanya yang menghidap sakit. Entahlah saya pernah susah setelah jadi penyanyi dan itu sebabnya saya faham kehidupan sukar yang seseorang artis itu hadapi bila tidak ada sebarang undangan show.
“Itu sebabnya saya selalu anjurkan showcase amal bagi membantu mereka. Namun saya rasa dah cukup buat masa sekarang dan mungkin saya akan berhenti buat kerja-kerja amal ini kerana kurang mendapat sokongan pihak yang berkuasa dan rakan-rakan artis.

“Kini saya nak hidup tenang. Tak mahu dah `pecah kepala’ fikir bagaimana nak cari duit nak anjurkan showcase. Sekarang lebih baik saya fokus pada keluarga dan kerjaya saya. Ada show orang panggil saya pergi. Tak ada show, saya rehat sajalah. Dah tua-tua ini tak ada apa lagl yang saya nak kejar dalam hidup ini,” kata Nizam atau nama sebenar, Mohd Nizam Pechok, 58, yang mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Abang mengenai Showcase Amal Artis Legenda 4.0 anjuran syarikatnya, Nizam Laksamana Production.
Nizam anak kelahiran Kampung Buyau, Seri Menanti, Negeri Sembilan dan belajar sehingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Vokasional Seremban. Habis saja persekolahan pada 1983, Nizam berhijrah ke Kuala Lumpur mencari kerja. Alhamdullilah, dapatlah Nizam kerja sebagai budak pejabat selama beberapa bulan dan selepas itu kembali semula ke kampung.

Memikirkan tiada apa yang boleh dibuat di kampung, Nizam akhirnya ambil keputusan untuk berhijrah sekali lagi ke Kuala Lumpur dengan azam ingin menyambung pelajaran.
“Sempatlah Abang belajar kos Mekanikal Engineering di salah sebuah kolej swasta di Bangsar. Abang mampu bertahan hingga setahun setengah saja sebab subjek makin susah dan Abang bukannya pandai bab-bab Sains dan Matematik. Balik kampung, abang berniaga burger dan ayam goreng di pasar malam Seremban dan selalu
jamming di studio bos kami.

“Bos abang ada juga buat sewa PA system untuk majlis kenduri kahwin. Setiap hujung minggu banyaklah tempahan diterima dan secara tak langsung dapat juga Abang asah bakat menyanyi di majlis orang kahwin bersama kumpulan Abang, Ehsan. Tiga tahun juga Abang menyanyi di majlis orang kahwin. Hinggalah kami dapat tawaran buat persembahan di sebuah kelab di Jalan Imbi, Kuala Lumpur bagi menggantikan kumpulan CRK yang tidak dapat hadir.
“Tak sangka, persembahan kami ditonton Ismail Ahmad Nawab yang kebetulan ada di situ. Ismail juga tawarkan kami untuk buat album dan bermulalah langkah kami sebagai anak seni. Bila dah jadi artis, barulah kami sedar betapa susah dan azabnya nak jadi artis. Berkampung berpuluh jam di studio, mengulangi perkara sama berpuluh kali untuk hasilkan lagu yang terbaik,” kata Nizam sambil ketawa mengenang kisah lalu.

Laksamana dianggotai Mizi (bass), Lokman (gitar), Ahmad (dram) dan Nizam Arjuna (penyanyi) dan sempat menghasilkan album berjudul Syukur yang mempertaruhkan lagu Gugurnya Bunga Cinta dan Resah sebelum tampil dengan album solo Memanah Bintang (1995)
Sejak berhenti menyanyi pada 1995, Nizam memang tidak berminat meneruskan karier dalam bidang seni suara. Namun pada 2016, Nizam menyertai, Baggio Damasutra, untuk projek kompilasi Penangan Rock. Bermula di situlah, Nizam ditawarkan menyertai program Gegar Vaganza pada 2015. Kini Nizam bertugas sebagai sebagai pengurus di Pestconst Services Sdn. Bhd. yang terletak di Taman Kenangan, Batu 6, Gombak, Selangor. Tugasannya memerlukan dia sering keluar pejabat dan ada ketikanya dia sendiri melakukan kerja-kerja operasi.

“Abang akui, abang bukanlah hebat tetapi sekurang-kurangnya Abang memeriahkan industri dengan cara menghasilkan single setiap tahun bermula pada 2013 dan Rajuk kekasih 2018.” ujar Nizam lagi.
Hasil perkahwinan dengan Salwati Zulkifli pada 30 Disember 1995 mereka dikurniakan empat orang anak iaitu , Muhamad Aniq Adam, Muhamad Ali Shaifuddeen, Nur Ellis Adeeba dan Nur Elisa Adeera.


Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









