LATIFAH Omar antara seniwati legenda yang sehingga kini dirindui oleh peminat filem Melayu.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa

SENIWATI Latifah Omar bukanlah asing bagi para peminat filem Melayu pada era 1950an sehingga 1973. Sebabnya selama tiga dekad menjalani hidup sebagai anak wayang beliau telah membintangi 32 filem yang mana kebanyakannya beliau diberi peranan utama atau lebih ramai yang menyebutnya sebagai ‘heroin.’

Para peminat filem Melayu ketika itu, mula mengenali Allahyarham Seniwati Latifah Omar apabila di awal langkahnya dalam dunia yang penuh glamor, beliau membintangi tujuh filem terbitan Malay Film Productions iaitu “Panggilan Pulau,” “Merana” (1954), “Insan,” “Menyerah,” “Bernoda” dan Empat Isteri,” (1955) dengan yang terakhir “Putera Bertopeng.”

LATIFAH Omar sebagai Telani dalam filem “Lanchang Kuning.”
LATIFAH Omar sebagai Telani dalam satu babak filem “Lanchang Kuning.”

Melalui Malay Film Productions, Latifah Omar berpeluang berlakon dua filem disamping P. Ramlee iaitu filem “Panggilan Pulau” (Melati) dan “Merana.” Bagaimanapun setelah filem “Putera Bertopeng,” Latifah Omar berhijrah ke Cathay-Keris Film Productions.

Bersama Cathay-Keris Film Productions, Latifah Omar membintangi 24 filem dan tujuh daripadanya beliau digandingkan dengan Allahyarham Seniman Nordin Ahmad sebagai pelakon utama.

KEJELITAAN wajahnya membuat Latifah Omar sering menjadi pilihan sebagai watak utama oleh pengarah ketika itu.
LATIFAH Omar sebagai penari istana dalam filem “Lanchang Kuning.”

Filem-filem berkenaan adalah “Hang Jebat”(1961), “Laila Majnun” dan “Lanchang Kuning” (1962), “Chuchu Datok Merah” dan “Gol Bakawali” (1963), “Patong Chendana” (1965) dan yang terakhir “Gurindam Jiwa” (1966).

Bagaimanapun diantara tujuh filem berkenaan “Lanchang Kuning” arahan Allahyarham Seniman M. Amin mencatatkan tragedi yang mengerikan yang tidak mudah dilupakan oleh Latifah Omar kerana hampir meragut nyawanya dalam satu babak filem tersebut.

NORDIN Ahmad sebagai Panglima Awang Yahya dan
Latifah Omar sebagai Telani dalam satu babak romantis dari filem “Lanchang Kuning.”
Filem arahan M.Amin ini diterbitkan pada tahun 1962.
BABAK-babak dari filem “Lanchang Kuning” yang melibatkan Panglima Awang Yahya (Nordin Ahmad), Panglima Ali (Haji Arshad) dan Telani (Latifah Omar).

“Lanchang Kuning” membawa kisah Sultan Siak (Allahyarham Seniman Yusof Latiff) dan dua panglimanya, Panglima Yahya (Nordin Ahmad) dan Panglima Ali (Allahyarham Seniman Haji Arshad) berebut cinta penari istana, Telani. Hakikatnya, Telani menyintai Panglima Awang dan mereka berkahwin. Perkahwinan ini membuatkan Panglima Ali menyimpan dendam kesumat terhadap Panglima Awang Yahya dan berjanji akan membalas dendam dengan apa cara sekalipun.

Bagi Latifah Omar, sebagai Seniwati yang sentiasa mengutamakan tanggungjawab menghayati setiap wataknya dengan sepenuh jiwa tidak menduga hampir meragut nyawanya.

SATU babak dari filem “Lanchang Kuning” (dari kiri) Mak Inang ( Siti Tanjung Perak), Telani (Latifah Omar), Panglima Ali (Haji Arshad) dan Panglima Awang Yahya (Nordin Ahmad).
SEMENTARA menanti set penggambaran babak seterusnya siap untuk filem “Lancang Kuning”… Nordin Ahmad dan Latifah Omar berehat sambil berehat dan berbual.

Dalam filem berkenaan dengan pelakon utamanya Latifah Omar sebagai Telani dan suaminya, Panglima Alang Yahya lakonan Seniman Nordin Ahmad dengan Allahyarham Seniman Haji Arshad sebagai Panglima Ali yang menyimpan dendam kesumat terhadap Telani kerana tidak berjaya memilikki cintanya.

Demi melepaskan dendamnya, ketika itu sebuah bahtera untuk kegunaan Sultan Siak yang diberi nama ‘Lanchang Kuning’ baru siap.

SEMENTARA menanti penggambaran babak seterusnya filem “Lanchang Kuning” … Nordin Ahmad dan Latifah Omar menggunakan ruang waktu berbual mesra sebagai rakan seperjuangan.
PASANGAN sejoli dalam filem “Lanchang Kuning”… Panglima Awang Yahya dan Telani.

Panglima Ali tahu perempuan bunting sulung ketika itu ialah Telani. Demi membalas dendamnya, beliau menyembah syarat sebelum Lancang Kuning ‘memulakan perjalanan’ ia memerlukan korban seorang perempuan mengandung sulung iaitu Telani!

Ketika itu, Panglima Awang Yahya tidak ada didalam negeri kerana dititah ke Lingga untuk mengutip ufti. Dengan ini memudahkan Panglima Ali menunaikan niat jahatnya.

BABAK-babak yang mencemaskan Telani yang mengandung anak sulung menjadi mangsa kekejaman Panglima Ali apabila cintanya tidak berbalas.
Walaupun Telani yang ‘berbadan dua’ merayu agar dia dibebaskan namun akhirnya Telani dan anak dalam kandungannya mati apabila ‘lanchang kuning’ dilepaskan dan melalui perut Telani.

Tanpa belas kasihan, Sultan memerintahkan Telani ditangkap untuk menjadi korban ‘Lanchang Kuning!’

Akhirnya Telani yang diikat tangan dan kaki dibaringkan di depan laluan ‘Lanchang Kuning.’ Walaupun Telani dan pegawai istana memohon belas ihsan tetapi semuanya tidak bermakna kerana Sultan termakan tipu muslihat Panglima Ali.

PARA seniman dan seniwati yang sering membintangi filem-filem terbitan Cathay-Keris Film Productions.
BERDIRI dua dari kiri: Roseyatimah, Siti Tanjung Perak, S. Roomai Noor, Latifah Omar, M. Amin, Rahmah Ali, Yem Jaafar dan Malek Selamat.

Akhirnya ‘Lanchang Kuning’ dilepaskan dan menggilis badan Telani yang tidak mampu berbuat apa-apa. Disebabkan itu, Telani dan anak yang dikandungnya mati kerana ditindih ‘Lancang Kuning!’

Tetapi tahukah anda ketika babak penggambaran itu, Latifah Omar nyaris terbunuh digilis replika ‘Lancang Kuning.’ Semua itu terjadi kerana tali pengikat lancang tersebut putus.

LATIFAH Omar menjadi Cover album (rekod) yang diterbitkan sempena filem “Lancang Kuning.”
Album EP ini mengabadikan dua lagu dari filem “Lanchang Kuning.”
Lagu: Olek Raja
Penyanyi: Siti Mariam
Lagu: Patah Hati
Penyanyi: Kamariah Ahmad

Bagaimanapun nasib menyebelahi Latifah Omar apabila dengan pantas Nordin Ahmad dengan kru filem menyelamatkan Latifah Omar!

Walaupun Latifah Omar dapat diselamatkan sebelum menjadi mangsa ‘Lanchang Kuning,’ namun rentetan daripada peristiwa itu, beliau trauma dan penggambaran terpaksa ditangguh beberapa hari.

POPULARITI yang dimiliki memberi ruang Latifah Omar menjadi ‘cover girl’ majalah antaranya Majalah Berita Filem.

Latifah Omar yang dilahirkan pada 26 Mac 1939 dengan nama Fatimah Omar menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser usus pada usia 74 tahun pada 9 Jun 2013.

Jenazah ibu kepada empat orang anak ini disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, Hulu Kelang, Selangor.

PENULIS Syed Wafa bergambar kenangan bersama idola beliau, Latifah Omar dirumahnya.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Seniwati Latifah Omar sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here