Oleh: Nafsiah Jani
Setelah empat bulan kematian anak bongsunya, Nur Ara Elisya (16 tahun) yang juga anak syurganya pada 22 Jun 2025 barulah pelakon Ainina Ahmad B menerima kembali tawaran berlakon setelah setahun lebih tidak berlakon.
“Arwah dilahirkan menghidap Sindrom Prader-Willi. Disebabkan itu saya perlu habiskan banyak masa menjaganya. Sebelum itu saya berlakon juga sekali sekali dan sejak setahun lalu barulah saya `berhenti seketika’ berlakon sebab nak menjaga arwah sepenuh masa.

“Penyakit ini buat anak syurga saya susah untuk bergerak kerana badannya yang lembik. Bila usianya lima tahun barulah dia boleh berjalan. Kini anak syurga saya dah meninggal, barulah saya boleh berlakon semula untuk hilangkan rasa rindu kepadanya. Kini saya sedang sibuk dilokasi penggambaran dengan produksi Mache All Star United bertajuk Khianat Yang Terpilih sebanyak 30 episod untuk tayangan bulan Ramadan nanti di TV3.
“Lepas arwah meninggal saya tinggal di rumah kakak saudara saya. Lagipun saya tinggal seorang dirumah dan anak sulung saya, Nur Ariana, 22, sedang mengikuti pengajian ijazah di sebuah universiti. Buat masa ini, rasanya tak mampu nak duduk rumah sendiri kerana asyik teringat dan terbayang anak syurga saya yang suka menanti dipintu dapur nak makan setiap masa. Penyakit ini buat penghidapnya suka makan dan banyak mana pun makan… mereka tidak kenyang-kenyang,” kata Ainina dengan nada sayu.

Bercerita lanjut mengenai drama dan wataknya dalam drama tersebut, jelas Ainina lagi, “Dalam drama ini saya jadi emak kepada Ben Amir dan mentua kepada Amyra Rusli. Watak saya hanya seorang ibu yang baik, penyabar dan sering menasihati menantunya supaya banyak bersabar. Entahlah saya pun tak tahu mengapa pihak produksi sering memberikan watak ibu yang lembut kepada saya. Sedangkan saya impikan watak seorang ibu yang garang dan tegas kerana hakikatnya diluar dunia lakonan saya memang tegas.
“Sebenarnya saya tak minat bawa watak-watak yang sedih kerana hakikatnya saya seorang yang tegas dan bukannya lembut. Sehingga kini saya masih belum dapat watak-watak sebegitu kerana bila bawa watak sebegitu, satu kepuasan kepada diri saya. Itu sebabnya bila orang kata saya lembut… saya gelak saja sebab saya bukan seorang yang lembut sebaliknya saya tegas orangnya. Kadang tu bosan juga bawa watak yang sama, tapi bila fikirkan rezeki saya terima dengan hati terbuka kerana ini adalah rezeki.”

Ainina atau nama sebenarnya, Ainin Ahmad, 55, mula berlakon sejak usianya 20 tahun. Sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan lebih 30 puluh drama yang pernah dibintanginya. Antara filem lakonannya, Mr Os pula 1987 dan drama pula antaranya Jebat-Satu Lagenda, Pendekar, Jaguh-jaguh, Telah Aku Halalkan, Hijab Pendosa, Antara Pilihan, Obsesi, Bella, Fatimah Untuk Mama, Neraka Kasih Maisarah, Mak Sanggup, Kasih Bersulam Daun Palas, Kak Marr, Duda Terlajak Laris, Terbaik Dariku, Romeo & Huliet, Beret Hijau, 3 Janji, Mira Sofea, Menjinak Ombak, Seliuh Anak Seluang, Cinderella, Sepakat Bawa Berkat, Denak, Siti Zulaiha, Mawar Untuk May, Rajuk Karina Takdir Itu Milik Aku, Sayang Tak Dikenang, Scammer 2, Cinta Hilang Kata, Sentuhan Najwa, Sayang Tak di Kenang, Hati Yang Tersakiti dan Cindai,
Ainina menambah, “Nama glamour saya tu bapa saya yang berikan. Mulanya bapa saya nak gabungkan nama saya dengan nama emak saya, Ainijah. Namun saya membantah kerana nama tersebut tidak sesuai dengan saya dan akhirnya bapa saya tambah huruf ‘a’ dibelakang dan jadilah nama glamour saya Ainina.

“Masa mula-mula berlakon, ketika umur 20 tahun tak ada siapa yang mengenali saya hinggalah drama keempat, Mawar Untuk May barulah peminat dan pengarah sedar kehadiran saya. Mana tidaknya saya bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat dan otai seperti Yalal Chin, Jalil Hamid dan Rosnah Md Aris. Ini menyebabkan saya terpaksa memberi lakonan yang terbaik. Selepas drama tersebut banyaklah tawaran yang datang dan syukurlah rezeki saya ada sehingga ke hari ini.”
Selain berlakon, kini Ainina juga sibuk dengan kerjayanya sebagai pengurus event sejak setahun yang lalu. Tugasannya mencari usahawan atau peniaga kecil yang berminat untuk menyewa tapak perniagaan daripada mereka.

“Tahun depan dah nak bulan puasa dan kini kami dah mula bergerak nak sewakan tapak-tapak meniaga kepada sesiapa yang berminat. Selain bazar ramadan, kami juga sewakan booth-booth dalam pusat beli belah dan pejabat-pejabat kerajaan pada hari mereka menerima gaji. Setakat ini antara tapak meniaga yang kami tawarkan adalah di Setapak Festival, Curve Damansara, Wangsa Walk. MITI dan Bank Rakyat. Mereka yang berminat boleh hubungi saya di talian 019-9849258,” kata Ainina lagi.
Ainina yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi popular Rahmad Tohak dari kumpulan Mega dan bercerai pada 2011 kini lebih sedang menyendiri.

“Sebelum ini ada juga yang ajak saya kahwin tapi saya tak bersedia bila fikirkan kedua-dua anak saya. Bila anak syurga saya dah tak ada barulah saya bersedia nak kahwin lagi… kalau ada jodoh. Doa saya setiap masa, agar lelaki yang mengahwini saya terima saya dan anak saya dengan penuh amanah. Kalau ada jodoh, duda pun tak apa, asalkan bukan suami orang. Kalau boleh elak, memang saya akan mengelak. Saya dah melalui hidup bermadu dan tak sanggup rasanya…penat.
“Sejak ‘kehilangan’ anak syurga ini hidup saya rasa kosong berbanding sewaktu hayatnya. Mana tidaknya, 24 jam saya bersamanya, setiap kali tidur rasa bahagia yang tak dapat digambarkan kerana saya tidur dengan ahli syurga,” ujar Ainina lagi.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









