Baby Shima berjaya mencipta nama di Indonesia selepas menyertai D'Academy Asia pada 2017.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KALAU tanya peminat muzik, kenal tak penyanyi yang namanya Nor Ashima Ramli? Pasti akan dapat jawapan pertanyaan balik, siapa tu? Cuba sebut nama Baby Shima, automatik tahu bahawa dia adalah penyanyi dangdut terkini dari Malaysia.

Penyanyi kelahiran Permas Jaya, Johor Bahru, Johor, yang dilahirkan pada 20 September 1992 itu mula berkecimpung dalam bidang muzik selepas bergelar juara Bintang Idola Berita Harian 2010.

Kejayaan itu menarik perhatian KRU Music Group untuk mengambilnya sebagai penyanyi di bawah naungan mereka dan diberi peluang muncul dengan single pertama “Tak Sabar”, ciptaan Edry Abdul Halim.

Sering berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia bagi memastikan kerjayanya berjalan lancar.

Anak keempat daripada enam beradik itu boleh dikatakan seorang yang suka mencabar diri. Baby Shima pernah menyertai pertandingan realiti D’Academy Asia musim ketiga (2017) dan Big Stage (2018) untuk musim pertama.

Biarpun untuk kedua-dua pertandingan tersebut, Baby Shima tidak muncul sebagai juara, namun popularitinya lebih menyerlah daripada sang juara.

Malah pada Jun 2020, Baby Shima menerima pengiktirafan daripada YouTube Malaysia apabila saluran YouTube dia menerima YouTube Malaysia Gold Creators Awards 2020.

Bagi Baby Shima, kejayaan yang diraih pada ketika itu adalah satu bonus kepadanya kerana jumlah pelanggan sudah mencecah 1 juta. Matlamat utama dia mewujudkan platform tersebut adalah untuk berkongsi karya-karyanya sahaja.

Baby Shima muncul dengan single pertama “Tak Sabar” ciptaan Edry Abdul Halim.

“Saya bersyukur kerana saluran YouTube itu turut membuka ruang untuk saya menjana pendapatan selain daripada persembahan pentas. Pendapatan yang saya dapat menerusi YouTube, saya gunakan untuk membayar gaji pekerja yang menjadi sebahagian pasukan produksi YouTube saya,” kata penyanyi “Pantun Janda” yang lagu asalnya adalah dendangan Bajol Ndanu.

Meskipun tidak menang dalam program D’Academy Asia, namun namanya melonjak dan membangkitkan minat peminat di Indonesia kerana gaya persembahan dan goyang dangdutnya yang ekspresif dan energik.

Baby Shima berjaya menghasilkan single berjudul “Pura-Pura Bujang” yang diterima baik oleh peminat di Indonesia dan dia juga dipilih sebagai Pendatang Baru Dangdut Terpopular di Anugerah Dangdut Indonesia 2017.

Meskipun lebh banyak aktif di Indonesia, Baby Shima yang bakal menjayakan Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember ini tetap tidak melupakan peminat di Malaysia.

Berduet dengan Sule menerusi lagu “Terpisah Jarak Dan Waktu”.

“Walaupun lebih banyak menghabiskan masa di seberang sebelum ini, saya tetap tak akan lupakan peminat di sini. Saya mahu mengimbangkan kerjaya seni di kedua-dua negara sebaik mungkin. Walaupun sudah lima tahun saya menetap di sana, jika ada urusan kerja dan persembahan, saya tetap akan pulang ke tanah air.

“Saya tiada masalah menetap di sana dan semuanya baik-baik saja. Lagipun saya masih ada kontrak dengan syarikat rakaman Nagaswara di sana. Jadi apabila berada di sana memudahkan saya menyusun jadual kerja serta terima undangan menyanyi,” katanya syukur kerana diterima oleh masyarakat di sana.

Baby Shima yang berkolaborasi dengan Sule dalam lagu “Terpisah Jarak Dan Waktu” bukan saja mampu mendendangkan lagu dalam genre dangdut, malah dia juga mampu membawa lagu dalam rentak pop, R & B dan balada dengan begitu baik sekali kerana dia tidak “Roadblock Hatiku” ketika berduet dengan kumpulan Floor 88.

Lain-lain lagu dendangan Baby Shima yang melonjakkan namanya adalah “Tak Sabar”, “Nombor Dua”, “Mawar Putih Tanda Perpisahan”, “Makan Hati”, “Pura-Pura Bujang”, “Kangen Rosul”, “Jaran Ucul”, “Main Mata” dan “Sirna”.

Penampilan Baby Shima bersama model mat salih dalam video muzik “Island Boi”.

Selain menyanyi, Baby Shima juga mencuba bakat sebagai pelakon dalam filem pertama, “Hutang 2D” (2021), “Biko” (2022) dan “Tan-Ti-Ana”.

Sering dikaitkan dengan kontroversi

Jika melihat kepada media sosial milik Baby Shima, dia sering memuat naik aktiviti kegiatan seni, berbanding adegan mesra dengan orang tersayang.

Namun jika anda merujuk kepada Google Search, akan keluarlah cerita yang Baby Shima sudah bernikah dengan pengurusnya, Mohd Afrendie Affendy atau Andy pada 7 Jun 2015 di Johor Bahru selepas lima tahun berkenalan.

Selain soal status yang sering menjadi perhatian ramai, ada kalanya penampilan Baby Shima yang seksi juga menjadi isu kepada orang lain, sedangkan bukan dia seorang sahaja yang berpakaian begitu.

Terkini, yang membuatkan dia menjadi perhatian ramai apabila muncul dalam video muzik “Island Boi bersama dengan model-model mat salih di tepi pantai. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ezra Kong itu mendapat tontonan sehingga 414K sejak dimuat naik sebulan lalu di saluran YouTube Sony Music Malaysia.

Bersama pengurusnya, Andy yang juga pasangan hidupnya.

Gara-gara video muzik tersebut, ada peminat fanatik yang mahu membunuh diri kerana terlalu cemburu melihat aksi mesra Babt Shima bersama model dalam video muzik tersebut.

Baginya, biarlah apa orang nak kata kerana dia mahu terus menjadi diri sendiri dan berpegang kepada prinsip yang ditanam selama ini.

“Saya tidak buat apa-apa pun. Saya tak kacau orang, saya hanya menyanyi dangdut. Jadi, saya profesional dan selalu ikut kesesuaian keadaan. Misalnya, kalau kita menyanyi dangdut, kita mesti kena goyang sedikit.

“Begitulah, saya bersuara pun ikut kesesuaian. Saya tidak cipta kontroversi, orang lain yang muat naik fasal saya dan tiba-tiba tular. Kita tidak tahu sama ada tindakan kita boleh buat viral. Saya tidak kejar pun hendak tular. Saya tidak pernah dengar pula orang kata saya kaki kontroversi,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Sebagai anak seni, Baby Shima mengakui dia tidak terkesan dengan kata-kata segelintir pihak yang mendakwa dirinya mahukan perhatian.

Sebagai penyanyi dangdut, Baby Shima perlu menari atau bergoyang untuk menghibur penonton.

“Siapa cakap saya lapar perhatian? Kita tidak boleh tutup mulut orang, jadi, biarlah mereka hendak komen apa-apa pun. Saya tetap dengan diri dan dengan pendirian saya.

“Saya tak kisah apa orang hendak cakap sebab saya tidak boleh kawal semua itu. Apa-apa pun, terima kasih kepada semua yang sokong saya selama ini. Kepada mereka yang kecam, saya doakan mereka baik dan sihat selalu. Tidak mengapa kecam, saya okey sahaja,” katanya.

Apabila sudah terbiasa dengan kecaman orang, dia tidak mudah melatah dan menganggap apa yang berlaku adalah sebagai asam garam anak seni.

“Kalau tanya saya penat tak asyik lalui situasi yang sama. Jawapannya mudah saja, tidak. Siapa saya nak tutup mulut-mulut orang lain. Selagi boleh bertahan, saya reda saja.

“Saya bersuara jika ada pihak yang berlebih-lebih. Kalau kecaman biasa, itu normal bagi saya. Namun, kalau sudah keterlaluan, kita kena bersuara. Bagi saya, kadang-kadang kita patut lantang terhadap komen yang keterlaluan,” katanya tegas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here