Oleh Syed Wafa / Foto Syed Wafa/Ehsan Datuk Yusof Haslan

WALAUPUN dua orang anaknya telah mencatatkan sejarah tersendiri dari segi kutipan tiket filem arahan mereka tetapi ia tidak mampu ‘merampas’ gelaran yang dimiliki oleh ayah mereka sejak 28 tahun lalu

Syamsul Yusof dengan filem arahannya “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang ditayangkan pada tahun 2022 berjaya mencatat kutipan tiket pecah panggung hampir RM100 juta. Manakala “Polis Evo 3” filem Blockbuster 2023 arahan adiknya, Syafiq mencatat kutipan tiket sebanyak RM50 juta.

SEBELUM terkenal beliau pernah menjadi konduktor bas.

Bagaimanapun, filem “Sembilu II” arahan Datuk Yusof Haslam yang merupakan filem keempat terbitan Skop Production pada tahun 1995 bukan sahaja telah mencatatkan sejarah tersendiri buat dirinya malah sejarah perfileman negara ketika itu apabila berjaya mencapai kutipan tiket pecah panggung sebanyak RM6.10 juta.

Bersandarkan kutipan tiket sebanyak itu, filem yang memaparkan dilema cinta lakonan Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, Seniman, Penerbit dan Pengarah tersohor, Yusof Haslam digelar sebagai ‘The Six Million Dollar Man.’

Meskipun ‘dianugerahkan’ gelaran yang hampir berusia 30 tahun dan tidak mampu ‘dirampas’ oleh sesiapapun, namun bagi Yusof Haslam, anak keempat daripada tujuh beradik kepada pasangan suami isteri, Allahyarham Md. Haslam Khan dan Allahyarham Bahyah Talib, itu adalah anugerah terindah daripada-Nya sepanjang lima dekad beliau dalam dunia perfileman.

YUSOF Haslam bersama Allahyarham Jamil Sulong dalam filem “Cinta dan Lagu” tahun 1976.

Ini kerana pada masa itu dianggap mustahil untuk sesebuah filem tempatan mencecah kutipan sebanyak itu berbanding hari ini, kerana pada tahun 1990-an pawagam di seluruh Malaysia hanya ada 35 sahaja berbanding hari ini terdapat 160 pawagam.

Dahulu di Kuala Lumpur (KL) pawagam hanya ada tiga sahaja tetapi sekarang di KL ada 25 pawagam, Selangor 50 pawagam dan kawasan sekeliling Melawati ada empat pawagam.

YUSOF Haslam di set penggambaran filem “Sherif” arahan Syafiq yang turut dilakonkan Zul Ariffin.

Hakikatnya, meskipun mencatatkan sejarah dalam industri filem negara tetapi sampai saat ini, Yusof Haslam yang memulakan langkah sebagai pelakon tambahan tidak pernah merasa malu apabila bercerita mengenai kerja beliau sebagai konduktor bas Sri Jaya, sebelum berjaya seperti hari ini.

Melalui perbualan pada hari Rabu lepas, beliau berkata pengalaman kerja pertama itu tidak pernah dilupakan.

“Walau apa pun kerja saya sebelum ini, sama ada sebagai konduktor bas atau menyapu sampah saya tidak malu mengakui demi mencari rezeki yang halal.

“Sebenarnya, arwah ayah yang cadangkan saya jadi konduktor bas apabila saya gagal menjadi Inspektor polis. Ayah tidak mahu saya membuang masa.

“Di samping tugas sebagai konduktor bas, tanpa pengetahuan ayah, saya ‘curi-curi’ ke Studio Merdeka dan pernah berjumpa Allahyarham pengarah Omar Rojik untuk mencari peluang berlakon.

“Selepas 10 bulan menjadi konduktor bas saya berpeluang menjadi pelakon ‘Permintaan Terakhir‘ arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong pada tahun 1973. Walaupun itu adalah filem pertama, saya diberikan watak sebagai Idham rakan se-universiti, Salina lakonan Uji Rashid.”

“The Six Million Dollar Man” … Yusof Haslam dan Lee Majors

Turut berlakon dalam filem itu, termasuk Allahyarham Datuk Sony Abdullah, Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarham Datin Saadiah dan Allahyarham Nozie Nani.

“Walaupun filem tersebut memberi saya watak kedua penting, namun saya tidak pernah terfikir berjaya dalam bidang ini apalagi memiliki syarikat penerbitan Skop Production yang ditubuhkan pada tahun 1985,” kata Yusof Haslam.

Sejak penubuhannya, Skop Production telah menerbitkan 50 filem dengan empat daripadanya diterbitkan secara usaha sama dengan syarikat lain.

Filem terbaharu terbitan Skop Production dan Astro Shaw, “Sherif” arahan Syafiq dengan kos penerbitan sebanyak RM7 juta dijangka akan ditayangkan pada April tahun hadapan.

Filem bercorak kepolisan yang dibintangi Datuk Aaron Aziz, Zul Ariffin, Azira Syafinaz dan Syafiq Kyle mengetengahkan konflik dalaman Jabatan Narkotik.

APABILA filem “Sembilu” berjaya mencatat kutipan tiket sebanyak RM6.10 juta Yusof Haslam digelar ‘The Six Million Dollar Man.’

Dalam filem ini, Aaron Aziz melakonkan watak tokan dadah bernama Tony Ifrit.

Walaupun “Sherif” belum ditayangkan, namun sebagai penerbit Skop Production, beliau telah mengatur strategi bagi meneruskan legasi syarikat penerbitan itu bagi tempoh empat bulan pertama tahun hadapan.

“Skop mempunyai 40 orang kakitangan. Sebagai peneraju utama syarikat, saya harus mempunyai perancangan untuk kelangsungan syarikat ini yang telah berusia 38 tahun.

YUSOF Haslam akan berkolaborasi dengan Syafiq untuk filem terbaharu arahannya, tahun hadapan.

“Buat masa ini, Skop merancang menerbitkan dua filem tahun hadapan. Satu arahan saya dan satu lagi saya akan berkolaborasi dengan Syafiq sebagai pengarah bersama.

“Zaman sekarang adalah zaman digital dan saya sebagai pengarah ‘old school’ dilahirkan pada zaman analog yang menggunakan teknologi sezaman Allahyarham P. Ramlee perlukan ‘nafas baru’, dan idea pengarah muda seperti Syafiq dapat membantu mencantikkan filem arahan bersama itu nanti.

“Insyaa-Allah saya yakin kolaborasi dengan Syafiq akan memberi kejayaan berganda untuk penerbitan filem dengan kos penerbitan yang dianggarkan RM5juta,” kata Yusof Haslam.

SAAT bahagia disatukan bersama isteri tercinta.

Apabila ditanya rahsia kejayaan beliau dan Skop Production kekal lama, Yusof Haslam memberitahu;

“Sebenarnya di awal penubuhan Skop, saya tidak pernah mimpi ia boleh bertahan hampir empat dekad dan saya yakin kejayaan hari ini bukan kerana saya hebat tetapi semua itu adalah rezeki dan dengan izin Allah.

Bersama isteri dan cucu tersayang.

“Di samping itu, kejujuran dalam hidup berumah tangga dan sokongan padu dari isteri dan membantu mereka yang susah turut membantu kerjaya saya dan syarikat penerbitan kami kekal hingga hari ini.”

Yusof Haslam dan isteri, Datin Fatimah Ismail telah melayari hidup sebagai suami isteri sejak 41 tahun lalu dan dikurniakan empat orang anak iaitu Faizal, Syamsul, Nursyamin dan Syafiq.

Previous article
Next articleKegigihan Nenek Sri Medan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here