Rusdi Ramli masih aktif berlakon hingga kini.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Rusdi Ramli/Koleksi Syed Wafa

RAMAI juga bertanya adakah pelakon Rusdi Ramli sudah bersara dari bidang seni kerana jarang nampak wajahnya di kaca televisyen. Mana mungkin aktor berusia 54 tahun itu mengundurkan diri daripada bidang seni yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak 1989.

Rusdi memulakan karier lakonannya sebagai pelakon tambahan dalam filem Sumpahan Mahsuri dan drama pertama lakonannya ialah drama bersiri, Opah.

Menerusi filem ini, Rusdi diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20.

Darah seni yang mengalir dalam tubuh Rusdi adalah kesinambungan daripada kedua ibubapanya, Norlia Ghani dan Ramli Ismail atau Ramli Kechik yang pernah berlakon dalam filem Nasib Do Re Mi.

Dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu, Ramli menemani Pak Maon lakonan Allahyarham Mahmud Jun ke Malam Pesta Muda Mudi manakala dalam filem Laksamana Do Re Mi, Ramli memegang watak sebagai Perdana Menteri Negara Pasir Berdengung.

Nama Rusdi Ramli diambil sempena dari filem “Dr. Rushdi”

Rusdi yang namanya diambil sempena filem Dr Rushdi, arahan Seniman Agung Negara pada 1970 kerana dalam filem tersebut ibunya turut berlakon sama, bukan sekadar beraksi di depan kamera, malah beliau juga seorang pengarah.

Sewaktu ditemui dalam satu majlis baru-baru ini, Rusdi yang turut berlakon dalam drama Framed arahan Sein Qudsi yang disiarkan menerusi Astro Premier itu menjelaskan bahawa beliau masih lagi aktif berlakon dan tidak pernah berhenti.

“Saya masih berlakon, ikut mana tawaran yang datang dulu, kalau berlakon datang dulu, saya berlakon la, kalau ditawar mengarah, saya jadilah pengarah.

“Sebenarnya tawaran berlakon ada saja tapi taklah banyak macam dulu. Masih berlakon lagi cuma selalu keluar kat stesen yang orang tak berapa tengok, stesen tak popular. Jadi orang ingat tak berlakon, pada hal saya masih berlakon tapi tak sebanyak dulu,” katanya terus terang.

Menerusi filem 1957: Hati Malaya, Rusdi berlakon sebagai Hali/Azahari.

Beliau yang melakonkan watak sebagai bapa kepada Lia, lakonan Mimi Lana dalam drama lapan episod yang ditulis oleh Kyle Goonting itu tidak menafikan tawaran untuknya berlakon tak banyak seperti dulu tapi masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Memang job tak banyak tapi masih hidup, masih boleh bayar bil itu ini. Jadi tak adalah seteruk yang disangka, itu sajalah. Sebenarnya, saya baru saja selesai berlakon dalam drama 30 episod, Haluan, sebagai pemegang watak uama.

“Dapat tawaran sebagai pelakon utama tak selalu tapi alhamdulillah rezeki masih ada cuma tak sebanyak dulu, tak putus-putus. Tak habis berlakon satu projek orang dah tawar yang lain. Sekarang tak adalah tahap itu tapi ada dan masih boleh hidup,” akuinya.

Dalam filem Tanda Putera Rusdi tampil sebagai Tun Abdul Razak.

Bercerita mengenai wataknya sebagai bapa kepada Mimi Lana, kata Rusdi, beliau suka berlakon di bawah arahan Sein kerana anggota kumpulan Ruffedge itu seorang yang teliti dalam bekerja.

“Sebelum Framed ini pun saya pernah bekerja dengan Sein sewaktu dia bergabung dengan Ghaz Abu Bakar. Jadi secara tak langsung saya sudah tahu rentak kerjanya macam mana. Sebagai pengarah, dia tahu apa yang dia nak dan tahu macam mana nak arah pelakon itu.

“Boleh dikatakan kebanyakan pengarah di Malaysia kurang menegur sedangkan dia tahu apa yang dia nak tapi dia tak tegur. Tapi Sein, dia akan pastikan pelakon itu melakukan mengikut kehendaknya kerana dia yang kawal cerita dan sebab itulah saya terima tawaran tersebut sebab saya suka bekerja dengannya,” katanya yang melakonkan peranan sebagai orang yang hilang ingatan.

Ibu tercinta seniwati legenda Norlia Ghani banyak memberi semangat kepada beliau untuk meneruskan kerjaya sebagai anak seni

Ujar Rusdi, dia melakonkan watak tersebut mengikut pemahamannya sendiri dengan tunjuk ajar daripada pengarah.

“Mereka beritahu saya watak yang saya bawa itu ada penyakit dementia tapi saya tak faham sangat. Yang saya faham ialah alzheimer, dia boleh hilang memori yang dekat dan ingat memori dulu. Dalam cerita ini saya rasa dia lebih dekat dengan alzheimer.

“Jadi disebabkan mereka sebut dementia jadi saya cuba gabungkan dua perkara itu. Saya kata alzheimer sebab bila dia jumpa isterinya (lakonan Vanidah Imran) dia ingat tapi anak yang sentiasa dengannya dia tak ingat. Sebab itulah saya gabung dua penyakit itu.

“Macam mana saya keliru nak bawa watak itu, macam itulah saya lakonkan. Saya rasa lebih kurang walaupun tak setepat yang mungkin sebab kita tak tahu perasaan dia. Jadi saya lakonkan apa yang pengarah nak,” jelas Rusdi tentang watak yang dibawanya itu.

Pernah mencuba nasib sebagai penyanyi.

Rusdi yang merupakan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007 kerana lakonan hebatnya sebagai Aidil dalam filem Waris Jari Hantu arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu berkata, dia senang bekerjasama dengan pendatang baharu seperti Mimi Lana yang berlakon sebagai anaknya.

“Pada saya, dia pelakon angkatan baharu yang bagus. Ini kali pertama saya berlakon dengan dia dan sebelum ini saya tidak pernah ambil tahu pasal dia. Saya susah nak suka pelakon yang berlakon dengan saya tapi dengan dia, saya tak payah buat apa-apa sebab lakonan adalah memberi dan menerima.

“Kalau betul gayanya dengan pasangan lakon, semua perkara jadi mudah. Saya tak mengajar dia sebab dia dah bagus, baik dari segi lakonan mahupun peribadi. Sikapnya di tempat kerja pun profesional. Walaupun penggambaran untuknya ambil masa lama, saya tak nampak yang dia ini jenis merentan. Dia bagus dan komited dalam bekerja,” tambahnya lagi.

Hal peribadi hak persendirian

Bapa kepada Efiezal Ridza (daripada perkahwinan pertama) Reo Ridza dan Ryan Ridza, anak bersama Sharon Paul yang dinikahinya pada 2008 juga seorang yang tidak suka berkongsi perihal peribadi dengan orang ramai.

Rusdi di majlis persandingan anaknya, Efiezal Ridza yang turut dihadiri oleh Sharon, Reo Ridza serta Ryan Ridza.

Jika selebriti lain ada yang sengaja mengatur strategi baik dari segi kerjaya mahupun peribadi bagi memastikan nama terus menjadi bualan, Rusdi pula lebih senang mengambil sikap mendiamkan diri apabila orang menyentuh soal peribadi.

Sewaktu ditanya tentang rumors yang mendakwa rumah tangganya dengan komposer Sharon Paul berantakan, Rusdi dengan sopan menolak untuk menjawab soalan tersebut.

“Tak payah la kot. Tak ada sebenarnya. Biar macam tu la kot. Sebenarnya tak menguntungkan sesiapa, tak apalah hal peribadi biar saya simpan.

“Saya masih berpendapat artis ini bukan hak orang ramai. Hak orang ramai adalah kerja-kerja kami tapi peribadi itu hak kami. Sebab kami manusia juga, kalau kerja kami teruk itu boleh lah cakap, tapi kalau peribadi biar kami simpan sendiri,” katanya.

Lebih senang berbicara soal kerjaya daripada peribadi.

Antara kerja seni Rusdi yang menjadi bualan hangat dan sekali gus melonjak namanya dalam bidang ini adalah filem 1957: Hati Malaya sebagai Hali/Azahari, Tanda Putera sebagai Tun Abdul Razak, Pontianak Harum Sundal Malam II dan banyak lagi.

Memandangkan peluang pekerjaan sama ada berlakon atau mengarah tidak sekencang dulu, Rusdi tidak pernah memilih. Baginya, mana yang datang dulu, dia akan laksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin.

“Buat masa ini kalau diminta arah drama atau filem genre apa pun saya terima sebab saya masih baharu dan perlu belajar banyak perkara. Baik lakonan atau pengarahan, semuanya saya belajar sendiri dan bertanya pada orang sekeliling.

“Kalau dalam bidang arahan, saya sering bertanya pada Heykal Hanifah cara untuk menyelesaikan masalah jika timbul dalam satu produksi itu. Kalau dari segi kreativiti kena tonjolkan sendiri,” katanya yang pernah muncul dengan album The Essential pada 2011.

Previous articleZur Eda ‘bangkit’ kerana Rohana Jalil?
Next articlePes Gulai Dan Sup Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Ayam Masak Kicap Ala 3 Budak Gemuk!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here