ROSNANI Jamil seniwati legenda yang disegani

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

APABILA sebut nama Seniwati Datuk Rosnani Jamil pasti terbayang di mata anda seraut wajah sayu seorang gadis yang cintanya terhalang kerana sikap bapanya yang tidak boleh menerima orang dagang menjadi suaminya.

Sebagai Sri Mersing (Rosnani Jamil) dalam filem dengan tajuk yang sama membuatkan beliau tersiksa kerana sikap angkuh bapanya, Pak Malau (Allahyarham Seniman Shariff Medan) yang terlalu mempercayai Awang Sulong yang jahat dan berhati busuk (Allahyarham Seniman Datuk Mahmud June) akhirnya Damak (Allahyarham Seniman Nordin Ahmad) menolak hasrat Pak Malau untuk menjodohkannya dengan Sri Mersing.

ROSNANI bersama kakaknya Dania dan anaknya Zaimi dan rakan-rakannya.
ROSNANI…di awal kemunculannya sebagai pelakon.

Walaupun telah membintangi lebih 40 filem sepanjang enam dekad dalam bidang lakonan realitinya watak beliau sebagai Sri Mersing dalam filem berkenaan tetap segar dalam ingatan para peminat filem Melayu.

Betapa tidak sebagai anak beliau tidak mampu menolak arahan bapanya, Pak Malau agar menurut jodoh yang ditentukan.

ROSNANI bersama P. Ramlee dalam filem ‘Miskin’
BABAK dalam filem ‘Miskin’

Tetapi apabila kebenaran terserlah Damak menolak walaupun ayah si gadis mahu menjodohkan mereka.

Begitulah hebatnya filem arahan Allahyarham Salleh Ghani yang diterbitkan pada tahun 1960 yang telah berjaya membuatkan Sri Mersing dan Rosnani ‘bagaikan irama dan lagu’ yang tidak boleh dipisahkan.

ROSNANI dan P.Ramlee dalam satu babak filem “Miskin” terbitan tahun 1952. Beliau sering digandingkan dengan P. Ramlee di awal pembabitannya dalam bidang lakonan.
ROSNANI bersama P. Ramlee dalam satu babak filem “Miskin.”

Rosnani Jamil atau nama sebenarnya Rosnani Ludin dilahirkan pada 20 Januari 1936 di Kampung Sungai Geringiang, Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Beliau dan keluarganya melarikan diri ke Singapura ketika Perang Dunia kedua.

Rosnani mula menceburi bidang lakonan apabila pengarah Tan Sri L. Krishnan menawarkan beliau muncul dalam filem “Lupa Daratan”(1952).

FILEM “Sri Mersing” meninggalkan kesan mendalam di hati para peminat filem Melayu oada era 1950-an.
TURUT berlakon dalam filem ‘Anak-ku Sazali’

Tawaran itu bagaikan bulan jatuh ke riba buat Rosnani yang ketika itu bekerja sebagai pelayan dan penari joget di Kelab Happy World. Turut berlakon dalam filem itu Allahyarham Seniman Omar Rojik, Allahyarham Datuk Jamil Sulong dan Allahyarham Mak Enon.

Sejak filem itu, Rosnani terus ditawarkan berlakon antaranya dalam filem “Sedarah”(1952) arahan S. Ramanathan, “Miskin” arahan K.M Basker berlakon bersama P.Ramlee, “Ayer Mata” (1953) diarahkan K.M Basker, “Hang Jebat”(1961) arahan Hussein Haniff dan “Lubalang Daik”(1962) diarahkan oleh Jamil Sulong.

ROSNANI dan Zaiton dalam satu babak filem “Anakku Sazali.”
ROSNANI mengabadikan kenangan bersama P.Ramlee, Rahmah Rahmat dan aktor Hong Kong.

Walaupun sibuk berlakon satu demi satu filem namun beliau bukanlah seorang yang berpuashati dengan apa yang didapati kerana pada waktu yang sama bersama rakan baiknya penyanyi veteran Nona Asiah, Rosnani belajar bahasa Inggeris.

Ketika filem Melayu tidak laku dan Studio Jalan Ampas ditutup Rosnani sekeluarga berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1967. Beliau meneruskan kerjayanya berlakon filem terbitan Merdeka Studio dan meminjamkan suaranya untuk drama terbitan Jepun dan Hong Kong yang disiarkan di RTM.

KEJELITAAN Rosnani begitu menyerlah
TIGA seniwati Studio Jalan Ampas … Saloma, Normadiah dan Rosnani.

Di waktu ramai pelakon yang menjadi pemandu dan tukang gunting rambut, Rosnani tidak pernah putus asa.

Sebaliknya dengan izin dan kepercayaan suami, beliau meninggalkan anak-anak dibawah jagaan Jamil Sulong lalu melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London selama dua tahun pada tahun 1970.

ROSNANI balik ke Pekan Baru, Indonesia pada tahun 1954 setelah meninggalkannya pada tahun 1942.
DENGAN kecantikan semulajadi dan bakatnya tidak hairanlah Rosnani sering diberi peranan utama dalam filem lakonannya.

Bagi Rosnani, walaupun tidak berpendidikan tinggi dan kurang fasih berbahasa Inggeris namun itu bukanlah penghalang untuknya menuntut ilmu.

Beliau yang pada mulanya belajar mengenai solekan akhirnya bertukar bidang pengajian setelah terjumpa Hafsham.

ROSNANI bersama rakan artis
AWAL pernikahan bersama suami tercinta

Pertemuan yang tidak diduga itu telah membawa Rosnani ke sebuah kolej perfileman. Di kolej itulah selama dua tahun tanpa jemu Rosnani menuntut ilmu dalam bidang perfileman sehingga akhirnya berjaya memiliki kejayaan.

“Saya tidak pernah impikan semua itu tetapi sentiasa berpesan pada diri, ilmu itu penting untuk berjaya sebagai anak seni,” kata Rosnani Jamil yang merupakan seniwati pertama berjaya memiliki kejayaan dalam bidang filem di pusat pengajian tinggi di luar negara.

ROSNANI dengan gaya menarik.

Pada 1985, beliau menubuhkan syarikat RJ Filem dan menerbitkan serta mengarah filem “Mawar Merah.” Filem pertama arahannya yang dilakonkan Raja Ema dan Mustaffa Noor telah mendapat sambutan ramai.

Melalui filem itu, pada Festival Filem Malaysia ke-7 (1987), Mustaffa Noor telah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Raja Ema dianugerahkan sebagai Bintang Harapan.

ROSNANI bersama Jamil Sulong dan anak-anak mereka.

Mengenali Rosnani yang tidak pernah mengenal erti lelah, pada tahun 2016 buat kali terakhir beliau telah mengarah filem “Mawar Putih” yang ditayangkan pada 18 Ogos 2016.

“Mawar Putih” bukan sekadar naskah penghargaan untuk arwah suami tercinta, Allahyarham Jamil Sulong yang telah meninggal dunia pada 25 September 2014 pada usia 88 tahun malah ia adalah karya penutup sepanjang kariernya sebagai pengarah.

ROSNANI turut berlakon dalam filem “Jasmin” yang dibintangi Noraini Jane.
ROSNANI ketika dinobatkan sebagai Pelakon Wajita Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1984 kerana lakonannya dalam filem “Jasmin.”

Filem genre cinta dengan pelakon utama Reen Rahim dan pelakon Indonesia, Triestan Aprilian terbitan Manja Citra dengan kos penerbitan sebanyak RM1 juta dikatakan adalah antara karya terbaik beliau sejak memulakan kerjayanya sebagai pengarah 30 tahun lalu.

Sepanjang penglibatannya sebagai pengarah, Rosnani telah mengarah filem “Mawar Merah,” “Antara Dua Hati”(1989), “Memori”(1992), “Amelia”(1996) dan “Bicara Hati”(2004).

ROSNANI bersama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
ROSNANI dan Jamil Sulong mengabadikab kenangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ROSNANI bersama suami tercinta, Jamil Sulong.

Mengenali Rosnani, seniwati yang berjiwa besar, beliau telah menghasilkan buku kisah hidupnya berjudul “Dari Sungai Geringging ke Kota London” sebagai inspirasi kepada kaum wanita agar belajar hidup berdikari.

Rosnani yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1984 kerana lakonannya dalam filem “Jasmin”, menganggap karya itu sebagai diari kehidupan dan penamat kisah hayatnya dan berharap ia menjadi motivasi kepada insan seni lain dan bukan untuk meraih populariti.

KELUARGA bahagia Rosnani
PENULIS Syed Wafa bersama Rosnani Jamil.
Previous articlePes Sup Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Ayam Masak Halia !
Next articleNourul kembali menyuntik motivasi, ubah mentaliti dalam program Firetalk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here