Oleh Nafsiah Jani

SETIAP penyakit ada ubatnya. Cuma hendak dan tidak saja kita mencarinya. Begitu juga dengan pengalaman penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim, 64, yang pernah melalui pengalaman ngeri menyimpan penyakit terlalu lama yang nyaris membahayakan nyawanya.

Namun Khadijah Ibrahim bertuah kerana ditemukan dengan Pakar Bedah Perunding, Usus dan Bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher yang membantu menyelamatkan `nyawanya’.

“Sebelum buat bariatrik ini dah lima tahun ibu sakit dan derita masalah keradangan dalam badan dan masalah penghadaman. Makan muntah…nak sujud ketika solat pun rasa nak muntah. Ibaratnya apa yang ibu buat semuanya tidak kena.

Bersama Dr. Mustafa Mohammed Taher pakar bedah bariatrik

“Perut ibu rasa tak sedap dan sampai satu tahap bila doktor Mus periksa katanya perut tersumbat dan katanya kalau ibu simpan lama-lama ia boleh jadi kanser usus.

“Bila doktor dah cakap macam itu, Ibu pun setuju buat bariatrik kerana Ibu pun dah lama sakit dan berat badan pun naik mendadak daripada 60 kg kepada 89kg. Selama ini berat Ibu antara 60 kg ke 65 kg sahaja,” kata Khadijah Ibrahim yang lebih senang membahasakan dirinya dengan panggilan Ibu.

Khadijah Ibrahim menambah, melalui pengalaman ini, Ibu selalu nasihatkan orang-orang diluar sana agar menjaga kesihatan mereka.

“Ibu bersyukur sangat-sangat kerana bertemu dengan Doktor Mus kerana jika dibiarkan Ibu nyaris kena kanser usus. Ibu juga selalu uar-uarkan pada rakan-rakan tentang doktor Mus kerana pada Ibu, doktor Mus adalah seorang doktor yang terbaik di Malaysia.

“Kita buat bariatrik bukan untuk kecantikan tapi apa yang kita buat lebih pada kesihatan. Siapa yang mampu buat…buatlah kerana ia membantu membaiki sistem kesihatan tubuh badan kita.”

Bagi menyelesaikan masalah penghadaman yang dihadapi, Doktor Mus telah memotong perut Datuk Khadijah Ibrahim sebanyak 70 persen.

“Walaupun dah potong perut, Ibu rasa macam biasa sahaja. Kesihatan lebih bagus, ibu jadi lebih cergas dan mudah nak makan apa sahaja berbanding sebelum ini. Ibu makan pun bukannya banyak…tapi kerap bila terasa lapar.

“Walaupun dah buat bariatrik, badan kita masih boleh naik dan turun dengan cepat. Sebagai manusia kenalah jaga kesihatan kita. Kalau rasa badan naik dan mula mengah bila berjalan, cubalah puasa dan buat senaman,’’ pesan Khadijah lagi.

Restoran Khadijah at 1819 di Singapura

Bertuah Datuk Khadijah Ibrahim kerana menjadi rakan kongsi sahabatnya Kapten Sharman dan Hamdan mengendalikan restoran Khadijah at 1819.

“Restoran ini memang dah lama ada di Singapura. Kalau nak cari, mudah saja sebab ia berhadapan dengan bangunan parlimen Singapura. Bila Ibu join mereka tambah nama Khadijah didepannya bergabung dengan nama lama restoran tersebut.

“Restoran ini memang popular dengan masakan western dan kini sebulan sekali kami ada buat hi-tea hidangan makanan melayu dan ala carte. Ibu selalu promosi makanan setiap negeri yang terdapat di Malaysia.

“Antara menu yang di jual ialah Laksa Nyonya dari Melaka, mee kari Selangor, laksa Penang, Ayam Kapitan, kerabu kacang botol telur masin dan daging mayonis dari Sabah,’’ kata Khadijah yang kini berulang-alik setiap minggu di mana 3 hari di Kuala Lumpur dan selebihnya di Singapura.

Jika tiada halangan tidak lama lagi, Datuk Khadijah Ibrahim bersama adiknya, Habibah dan bekas isteri Latiff Ibrahim akan membuka gerai di Bursa Saham Malaysia, Kuala Lumpur.

“Gerai kami nanti ada jual pelbagai jenis makanan Cina, pelbagai jenis mee, pencuci mulut seperti apple pie, beef pie dan chicken pie dan lauk-lauk Melayu,’’ujar penyanyi lagu Ku Pendam Sebuah Duka ini.

Produk kecantikan

Walaupun usianya sudah menjangkau 64 tahun namun masih terserlah kecantikan wajah Datuk Khadijah Ibrahim. Ibarat wajahnya tidak dimamah usia dan waktu yang berjalan seiringan.

Kata Datuk Khadijah, “Nak cantik, selain guna produk, hidup kita mesti sentiasa tenang. Hilangkan benda-benda yang menyemak kepala yang boleh membuatkan kita stres. Ambil kehidupan kita step by step…atasi masalah step by step juga. Akhirnya kita akan jadi lebih tenang.”

“Pada harga RM100, pembeli produk kecantikan Ibu Khaty For Every Young akan mendapat tiga set produk iaitu sabun basuh mula yang menggunakan biji labu serum dan foundation yang mengandungi SPF 50.

“Ibu bersyukur, walaupun baru namun produk ini mendapat sambutan hangat di Singapura. Ibu terpanggil nak buat produk ini kerana produk kawan Ibu, Datin Siti dari Sungai Petani ini berbentuk premium,’’ katanya yang menambah produk ini boleh bertahan sehingga sebulan.

Datuk Khaty Kekal relevan dalam industri

Tidak seperti penyanyi lama dan baru ada yang masih bertahan dan ada juga yang kecundang di tengah jalan. Disebabkan sikap Datuk Khadijah Ibrahim yang sejak kemunculannya hingga sekarang sentiasa merendah diri membuatkan namanya terus kekal relevan dalam industri hiburan tanahair.

Ditanya mengenai rahsianya, Datuk Khadijah Ibrahim menambah, untuk terus kekal, kita kena jadi artis yang berdisiplin.

“Selain disiplin, kita kena sentiasa humble dan selalu berpijak di bumi yang nyata. Peminat adalah kerjaya kita, tanpa mereka, kita tidak akan berada seperti di kedudukan sekarang ini

“Sebagai artis, mereka harus layani peminat dengan baik dan penuh sopan santun. Di atas pentas, layan mereka seperti tetamu yang datang ke rumah kita. Layan mereka dengan penuh kesabaran walaupun mereka banyak ragam dan karenah,’’ kata Datuk Khaty lagi.

Jangan harap nak hidup dengan dunia glamour sahaja kerana hidup ini tidak akan kekal lama. Ia datang dan hilang begitu sahaja dan harapnya ia tidak terjadi kepada kita.

“Ibu dengar ada sesetengah artis yang kenakan bayaran pada peminat bila diminta bergambar bersama, penuh dengan alasan…kejap lagilah dan macam-macam lagi. Sepanjang 45 tahun bergelar anak seni semua itu tidak ada dan Ibu belum pernah buat benda-benda macam ini.

Kini Datuk Khadijah Ibrahim sedang dalam perbincangan untuk mengadakan konsert. Konsert Tiga Sahabat ini bakal diadakan di Istana Budaya.

Previous articleResipi Sardin Asam Pedas Ratu Tumis Rasa Rosz Sungguh Enak!
Next articleDatuk Zainalabidin buat muka?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here