Oleh Nafsiah Jani

MELIHAT pada usia dan wajahnya mungkin ramai yang mengatakan penyanyi Datuk Zainalabidin, 64, membuat pembedahan plastik bagi memastikan kulit mukanya terus tegang seperti mana yang dilakukan sesetengah orang.

Namun ketika ditanyakan soalan berkenaan, dengan pantas Zainalabidin menafikannya.

“Ramai yang kata saya buat muka, sedangkan saya tak berani mengubah keadaan muka… hukumnya haram. Bila ramai sangat bertanya, saya kata pakai susuk…senang cerita. Lepas itu mereka tak tanya lagi.

“Sebenarnya nak kulit muka tegang tak perlu nak injek atau cucuk-cucuk. Jaga makan, jaga kesihatan dan jaga tidur. Bukan itu saja kalau seseorang itu berhenti ambil gula…gula ni jahat. Bila berhenti ambil gula dalam masa 10 hari wajah mereka akan terbentuk semula.

Bersama Datin Angelina Asmawi

“Benda yang paling penting jaga solat. Jangan sesekali tinggalkan solat kerana wudhu itu membantu,’’ katanya lagi.

Zainalabidin menambah, “Bunyi macam kelakar tapi hari ini saya nak kongsi rahsia dari keturunan saya. Dulu ibu bapa saya bila basuh kereta, mereka gunakan air saja…mereka tak guna sabun.

“Itu sebabnya kereta ibu bapa walaupun kereta itu hancur kerana dah lama, namun warna catnya tidak luntur dan berkilat kerana tidak terkena sebarang bahan kimia.

“Itu sebabnya mak saya pesan kalau nak mandi atau basuh rambut…jangan gunakan sabun atau syampu setiap hari. Kedua-duanya digunakan tiga kali seminggu kerana takut bahan kimia dalam sabun dan syampu membuatkan kulit cepat kering dan berkedut.

“Bila tidak bersabun, masa mandi itu laplah badan dengan sebersih-bersihnya. Saya mandi sekejap dan cepat dengan meratakan air ke seluruh anggota badan. Nampaknya terbukti apa yang emak saya pesan. Kulit saya tak kering dan berkedut hingga orang kata saya buat `muka’.”

Menurut Zainalabidin, selain solat, pengambilan makanan juga perlu dijaga.

“Jaga makan…bila dah hilang lapar berhenti…jangan nak tambah…tambah lagi nasi walaupun sedap. Bila banyak sangat makanan disumbat, akhirnya menjadikan lemak dan mendatangkan kemudaratan pada tubuh badan

“Saya tak makan mee, kurangkan garam dalam masakan dan hanya makan sayur, ikan dan ayam…daging pula sesekali. Kuih -muih pun saya tak makan dan syukur Alhamdulillah kesihatan saya okey.

“Saya selalu berdoa dan mintak pada Allah agar dikurniakan kesihatan yang baik…agar saya boleh solat, sujud, rukuk dengan keadaan yang tidak menyusahkan. Itu yang paling penting. Rezeki jangan risau…kerana Allah dah susun cantik setiap rezeki kita. Yang penting jaga akidah.,” kata bapa kepada empat orang anak ini.

Senaman sihat cara Zainalabidin

Lain orang lain cara senaman yang mereka amalkan untuk menjaga kesihatan dan stamina diri. Begitu juga dengan Datuk Zainalabidin yang cukup mementingkan senaman bagi tubuh badan yang sihat dan bertenaga,

“Sekarang berat saya antara 68kg dan kalau malas senaman ia boleh mencecah 80 ke 90kg seperti mana berat saya 10 ke 15 tahun yang lalu.

“Selalunya selepas subuh, wirid, saya akan tidur semula. Lepas solat Dhuha dan sarapan, barulah saya mula buat senaman.

“Dalam rumah saya ada gym dan selalunya seminggu tiga kali saya buat senaman dalam rumah saja. Selalunya saya tidak berlari, saya hanya angkat berat ikut kemampuan badan saya antara 10 hingga 15 kg. Manakala brisk walk diatas treadmill, saya akan lakukan selama 30 minit setiap hari,” ujar Zainalabidin lagi yang kini cukup bahagia dengan isterinya, Datin Angelina Asmawi.


Konsert Tiba Masa Zainalabidin

Bagi peminat yang merindui lagu Hijau dendangan Datuk Zainal Abidin jangan lepaskan peluang menyaksikan ‘Konsert Tiba Masa Zainalabidin’ yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya jam 8.30 malam pada 30 September ini.

Konsert anjuran BSync Live ini yang berdurasi selama dua jam tanpa henti ini bakal diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapen.
Selain single terbarunya, Tiba Masa, konsert tersebut juga bagi meraikan empat dekad legasi Zainal Abidin dalam industri muzik tanah air.

“Saya tengok pasaran konsert terbuka luas sekarang ini dan ianya bukan sekadar hiburan tapi work of arts. Untuk konsert itu nanti saya kena mempersembahkan kerja seni dengan penuh adab dan kebaikan,” kata penyanyi yang bergenre muzik dunia, kerohanian, kemanusiaan dan alam sekitar ini.

Selain persembahan solonya, Zainal yang juga popular dengan lagu Ikhlas Tapi Jauh dan Orak Orek juga akan membuat persembahan istimewa bersama kumpulan Headwind.

“Kali terakhir Headwind bersama saya adalah lima tahun lalu dalam salah satu konsert saya. Kini kami bergabung lagi bagi menjayakan konsert terbaru saya. Sudah pasti kami akan mendendangkan lagu-lagu seperti Suraya, Pelangi, Segalanya Mungkin, dan Hanya Di Radio bagi mengimbau kembali nostalgia penonton.

Untuk menonton konsert ‘Tiba Masa Zainalabidin’ tiket-tiket berharga dari RM169 untuk tempat duduk Aras 2 sehingga RM865 untuk tempat duduk kategori Emas boleh dibeli di www.ticket2u.com.my

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Lady Bosz (@ladyboszblog)

Previous articleDatuk Khaty nyaris kena kanser usus?
Next articleLima Nasyid Terkenal Di Konsert 5 Rukun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here