Oleh Syed Wafa / Foto Ehsan Datuk Mohamed Juhari
PADA 10 September lalu, telah berlangsung majlis perkahwinan anak bongsu mantan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani atau lebih mesra dipanggil Abang Joe dan isteri, Datin Nor Hashimah Haron iaitu Fazwa Atiqa bersama pasangannya, Muhammad Fadhli Haji Mohd Sabri .
Majlis penuh gilang gemilang ini berlangsung di The Urban, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Di sebelah paginya telah berlangsung majlis akad nikah.
Pada majlis tersebut, Abang Joe telah menikahkan sendiri Muhammad Fadhil dengan anaknya, Fazwa Atiqa dengan mas kahwin RM1,000.00
Majlis indah ini mengundang pelakon terkenal, Vanida Imran sebagai pengacara majlis.
Ramai tetamu VIP serta rakan artis yang hadir pada majlis perkahwinan anak Abang Joe.
Antaranya Tan Sri Rais Yatim dan isteri, Puan Sri Masnah Rais, Datuk Seri Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani, Erma Fatima, Aaron Aziz, Ismahalil Hamzah dan ramai lagi.
Majlis pada petang itu sangat istimewa dengan kehadiran Artis No: 1 Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
“Abang Joe amat terharu walaupun Siti sibuk dan akan berangkat ke Korea pada malam nanti, namun tetap sudi datang menyerikan majlis perkahwinan anak Abang Joe.
“Abang Joe amat menghargai kesudian Siti dan suami hadir pada majlis ini. Ia benar-benar mencatat kenangan manis dalam diari keluarga kami,” kata Abang Joe.
Keluarga pengantin lelaki bergambar kenangan.Siti juga mendoakan semoga pasangan pengantin Fazwa Atiqa dan Muhammad Fadhli kekal bahagia hingga ke jannah.
Pada majlis yang meriah ini turut diadakan acara memotong kek dan saat yang ditunggu pasangan pengantin bersanding di pelamin nan indah. Pastinya keluarga serta tetamu tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan bersama dengan pasangan raja sehari.
Kami di Ladybosz mengucapkan selamat pengantin baru buat Fazwa Atiqa dan Muhammad Fadhil semoga kekal hingga ke anak cucu.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.