Oleh Nafsiah Jani
Kemunculan semula penyanyi Ruhil Amani, 48, dipersada seni menimbulkan banyak spekulasi mengenai rumah tangganya. Kerana kebanyakan artis-artis wanita yang membuat comeback selalunya menghadapi masalah rumah tangga.
Namun ketika bertemunya, seboleh mungkin Ruhil cuba menyembunyikan statusnya. Namun disebabkan asakan bertalu-talu wartawan membuatkan Ruhil akhirnya pada 27 september lalu melalui hantaran facebook miliknya mengakui sudah bercerai sejak 4 tahun lalu dengan suaminya, Jamil Wilson pemuzik berasal dari Australia sejak Mei 2019.
Ruhil penyanyi era 1990-an yang popular dengan lagu Kawan itu memberitahu, dia mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai keretakan rumah tangganya selama ini bagi menjaga kesihatan mental dua anak mereka yang ketika itu bakal menjalani peperiksaan.
“Bukan saya tak nak cerita tapi banyak perkara yang perlu saya fikirkan termasuk perasaan anak- anak ketika itu. Itu sebabnya saya berahsia mengenainya sehingga hari ini.
“Bila anak dah besar dan mereka faham barulah saya berani untuk berkongsi cerita. Ini perlu bagi mengelakkan salah faham di kemudian hari. Punca penceraian tidak perlu saya nyatakan di sini. Biarlah orang terdekat seperti keluarga dan teman rapat saja yang tahu mengenainya.
“Lagipun perkara ini sudah lama berlalu dan sudah takdir setakat itu saja jodoh saya. Saya dan anak-anak reda dengan percaturan Allah. Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan semua, saya dan anak-anak dapat menyesuaikan diri, meneruskan kehidupan dan bahagia sekarang ini,” kata Ruhil lagi.
Ditanya mengenai kemunculan semulanya yang selama ini menyepikan diri selepas berkahwin, jelas Ruhil, sebenarnya dia tidak pernah menyepikan diri dari bidang seni.
“Lepas kahwin saya masih lagi aktif menerima undangan menyanyi dan buat persembahan. Cuma cerita mengenainya tidaklah keluar dimana-mana media cetak ataupun media elektronik. Sehingga saya mendapat anak, terpaksalah saya mengurangkan aktiviti seni untuk menjaga anak kami.
“Mana boleh saya tinggalkan bidang seni kerana inilah bidang yang saya sukai sejak kecil lagi. Saya kembali bukan nak berlawan atau bersaing dengan sesiapa…tapi saya harap agar kehadiran saya dapat diterima semua orang termasuk peminat saya.”
Ruhil mendirikan rumah tangga dengan Jamil pada tahun 2003 dan dikurniakan Ruhil Ariana Wilson, 19 dan Raayan Alexander Wilson, 12 tahun.
12 lagu single Ruhil sudah disiapkan
Walaupun menghadapi kemelut rumah tanggga, namun Ruhil tidak mahu terlalu memikirkannya. Dalam diam, Ruhil meneruskan minatnya dan terhasillah 12 lagu baru nyanyian Ruhil.
“Sudah lama lagu ini disiapkan dan saya akan keluarkan satu persatu sebagai single. Saya tak ada masalah ketika rakaman kerana saya sudah bersedia sepenuhnya daripada segi mental dan fizikal bagi menghasilkan album tersebut.
“Bagi mantapkan diri, setiap hari selepas menghantar anak ke sekolah saya akan terus ke gym di Kajang untuk membuat latihan. Sudah setahun lebih saya berulang- alik ke gym dari hari Isnin hingga Jumaat setiap hari. Bagi memastikan saya mempunyai stamina yang mantap, saya akan luangkan masa selama tiga jam untuk membuat senaman di gym.
“Saya tidak ada masalah dari segi vokal kerana saya sudah membuat persediaan awal. Saya sentiasa menjaga pemakanan dan membuat latihan vokal setiap hari,” kata Ruhil yang akan tampil dengan genre yang sama seperti album terdahulunya.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.