I heard recently that the average person scrolls the height of Big Ben in a day. Whilst waiting for a delayed train in Bath I spotted this line of hands on phones – all endlessly scrolling.
Photo by ROBIN WORRALL on Unsplash

Oleh Nury Kadir

Hal menjaga aib kadang-kadang sukar untuk dilakukan, sudah dicuba sedaya upaya menutupnya tapi tanpa sedar terlepas juga. Adakalanya sukar untuk mengawal diri daripada ambil tahu dan memberitahu. Kadang-kadang tertanya-tanya juga, adakah aku sudah terceritakan aib orang lain tanpa sedar?

Bagaimana suatu hari nanti Allah buka aib kita? Seandainya Allah bentangkan aib kita satu persatu nescaya hendak membuka mata melihat matahari pun tidak mampu…MALU. Lantaran terlalu banyaknya aib kita tapi Allah tutup semua itu agar tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali-Nya.

Namun hari ini, membuka aib itu bagaikan perkara biasa terutamanya pasangan suami isteri yang sudah bercerai. Media sosial jadi medan menghamburkan aib pasangan atas alasan untuk meluah perasaan terpendam sekian lama. Tidak tahulah apa tujuannya, adakah untuk meraih simpati atau memang suka berkongsi cerita bagi mendapatkan ‘rating’.

Kadang-kadang orang yang diceritakan aibnya di media sosial bukan kenalan rapat pun, malah baru pertama kali jumpa secara kebetulan. Lebih parah lagi apabila ada netizen yang mengenali si-fulan yang diceritakan memberikan komen. Habis cerita aib emak, ayah, datuk, nenek si-fulan diceritakan.

Media sosial menjadi tempat mengaibkan orang lain bukan dengan tujuan untuk melepaskan dendam atau benci tetapi suka-suka. Meskipun memang sudah terbukti orang itu salah tetapi mengaibkannya di media sosial bukan tindakan yang betul.

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pernah ditanya, bolehkah seorang pencuri itu dihukum dengan mengaibkannya di media sosial?. Beliau menjawab, kuasa menghukum pencuri terletak pada tangan pemerintah bukan kepada orang ramai. Tindakan mengaibkan dalam media sosial adalah tindakan yang tidak tepat. Sebaik-baik tindakan adalah berasaskan kepada neraca syariat.

Di dalam artikel lain yang dipetik dari (https://maktabahalbakri.com), beliau menjelaskan, larangan membuka aib ini juga tidak terhad sesama pasangan sahaja, malah terhadap ahli keluarga, rakan-rakan atau kenalan bahkan terhadap pihak media atau wartawan. Namun, terdapat pengecualian pada kes-kes tertentu melalui saluran-saluran yang berautoriti.

Adapun trend menyebarkan aib yang kian berjangkit di kalangan pengguna media sosial kini, maka ia merupakan salah satu bentuk sunnah sayyi’ah (ikutan yang buruk). Apatah lagi apabila kita melakukan perbuatan buruk tersebut, kemudian diikuti oleh orang lain, maka kita turut akan mendapat dosa mereka yang mengikuti kita.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda; Maksudnya, “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (Riwayat Muslim)

Perlakuan menyebarkan aib di platform yang salah ini (seperti Facebook, Instagram dan Twitter) dikira sebagai kesalahan membuka aib yang tidak dibenarkan. Malahan ia dilihat sebagai suatu bentuk agenda untuk menjatuhkan air muka dan maruah seseorang. Sedangkan perbuatan ini jelas adalah penganiayaan terhadap saudara Muslim yang lain.

Rasulullah SAW telah berpesan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar r.a. bahawa Baginda SAW bersabda;
Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari)

Betapa malangnya apabila adanya orang lain yang melihat perkongsian penyebaran aib itu kemudiannya cuba untuk mencari-cari dan menyelongkar aib orang tersebut. Mereka yang menyebarkan aib tersebut seakan telah membuka ruang untuk orang lain turut sama melakukan perkara yang ditegah oleh Nabi SAW.

Sedangkan telah datangnya hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya, “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Riwayat al-Tirmizi)- dipetik dari https://maktabahalbakri.com

Photo Envato/paegagz

Aib Yang Boleh Diceritakan

Meskipun menjadi orang yang dizalimi, tidak bermakna anda boleh sewenang-wenangnya menyebarkan aib. Tindakan tersebut tetap salah dan diharamkan kecuali tujuan aib itu diceritakan kepada pihak tertentu yang mempunyai kuasa untuk mendapatkan keadilan yang dibenarkan oleh syarak.

Sebelum diulas lebih lanjut mengenai keadaan yang membolehkan aib diceritakan, perhatikan dahulu kisah Hindun Ummu Mu’awiyyah semasa zaman Rasulullah SAW. Dari kisah Hindun itu kita akan faham makna aib yang boleh diceritakan.
Aisyah RA meriwayat sepotong hadis, kata beliau: Maksudnya: “Hindun Ummu Mu’awiyyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik.”(Riwayat Bukhari)

Hadis tersebut dibincangkan di dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai contoh peyelesaian kezaliman. Antara lain perbincangan itu menyebut bahawa perbuatan menceritakan aib pasangan bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman adalah harus.

Pengajaran daripada kisah Hindun, menekankan pentingnya bagi suami isteri untuk menghindari kecenderungan untuk terbuka dengan masalah rumah tangga, terutamanya yang melibatkan media sosial untuk menjejaskan imej pasangan. Pendekatan Hindun yang mencari nasihat daripada Rasulullah SAW merupakan tindakan yang terbaik dalam mencari jalan penyelesaian kerana Baginda memiliki keperibadian yang sangat terpuji, dapat dipercayai dan menjaga maruah orang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya mencari nasihat daripada sumber yang dipercayai dan berintegriti dalam menyelesaikan konflik rumah tangga.

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang

  1. Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.
  2. Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.
  3. Meminta fatwa daripada mufti.
  4. Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.
  5. Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Namun haram membuka aibnya berserta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.
  6. Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram. (https://muftiwp.gov.my)

Di dalam tulisan Dr Zulkifli al Bakri mengenai aib, ada disebutkan bahawa membuka aib bagi tujuan pengajaran dan iktibar, sebagaimana kisah Abu Lahab di dalam al-Quran, Qarun dan sebagainya, maka ia dibenarkan. Namun, jika sekiranya membuka aib tersebut untuk memburukkan atau menjatuhkan seseorang yang dibenci, maka hukumnya berdosa dan dilarang.

Sebaliknya, jika ingin menjadikan kisah seseorang buat tatapan umum, maka sebolehnya elakkan untuk menyebut nama individu tersebut bagi menjaga aibnya. Dengan cara itu, ia dapat mengelakkan permusuhan dan fitnah sesama manusia.

Di sini dipetik sedikit dari buku Syarah Hadith 40 Imam Nawawi, gesaan atau tuntutan menutup keburukan (aib) saudara seislam serta amaran agar tidak mencari-cari keburukan atau kesalahan orang lain.

Telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada hadis Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW telah bersabda; Maksudnya: “Barangsiapa menutupi keburukan sudara Muslimnya, Allah akan menutupi keburukannya pada hari kiamat dan barangsiapa membuka keburukan saudara Muslimnya, Allah akan membuka keburukannya sehingga dimalukan di dalam rumahnya sendiri lantaran keburukannya itu.”

Mencari-cari keburukan kaum Muslimin adalah salah satu dari tanda-tanda munafik. Ia merupakan dalil bahawa iman belum lagi mantap di dalam hatinya di mana kerjanya hanyalah untuk melubangi dan mengintai akan keburukan manusia lain kemudian menghebahkannya ke seluruh dunia.

Telah diriwayatkan oleh at-Tirmidzi daripada Abdullah bin Umar r.a katanya, Rasulullah SAW telah menaiki mimbar dan telah berseru dengan suara yang tinggi; Maksudnya: “Wahai kaum yang telah masuk Islam melalui lidahnya (dengan mengucapkan syahadah), namun belum meresap iman ke dalam hatinya; janganlah kamu semua menyakiti manusia, janganlah kamu memalukan mereka dan jangan pula mencari-cari keburukan mereka kerana sesungguhnya barangsiapa mencari-cari keburukan saudara seislamnya, Allah akan mencari-cari keburukannya (sedangkan Allah Maha Mengetahui akannya) dan barangsiapa yang mana Allah mencari-cari keburukannya; Allah akan memalukannya hatta di dalam rumahnya sendiri.”

Diakhiri artikel ini dengan sepotong hadis semoga ia menjadi ingatan kepada kita semua. Media sosial bukan tempat meluah rasa, apa lagi untuk mengadu masalah atau bercerita perasaan tidak puashati.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda; Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan golongan penipu. Pendusta menjadi orang terpercaya, manakala orang yang jujur pula didustai. Pengkhianat diberikan amanah manakala orang yang amanah pula dikhianati dan Ruwaibidhah pula dibenarkan untuk bercakap.” Para sahabat bertanya, “Siapakah Ruwaibidhah itu.” Nabi menjawab: “Individu yang lemah lagi bodoh tetapi bercakap urusan umum.” (Riwayat Ibnu Majah)

 

Previous articleRuhil bangkit setelah bercerai
Next articleMalam Gala Amal Runway Fesyen Warisan Malaysia 4 November ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here