Oleh Nafsiah Jani
Kejayaan pasukan bola sepak, Harimau Malaya melakar nama di persada dunia bola sepak selepas berjaya menewaskan Bangladesh sekaligus layak ke Piala Asia selepas 42 tahun, membuatkan pihak 4ward Pictures Sdn. Bhd. tertarik untuk menerbitkan kisah kejayaan mereka ke layar perak dengan tajuk Harimau Malaya : The Untold Journey (HMTUJ).
Filem ini bakal diangkat daripada perspektif yang belum pernah dikupas dalam mana-mana penghasilan karya membabitkan pasukan bola sepak. HMTUJ diinspirasikan daripada kisah di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.
“Filem ini akan dikembangkan bukan sekadar tentang pemain bola sepak tetapi kami mengambil naratif berbeza terutama mengangkat kisah tiga orang peminat tegar yang digelar Ultras yang disenarai hitam menghadiri perlawanan bola sepak selama setahun.
“Selain itu, filem ini akan memaparkan dunia sebenar arena bola sepak, ‘sepak terajang atau ‘perjalanan panjang’ tentang individu-individu di belakang tabir, di sekeliling yang banyak membantu skuad kebangsaan tetapi tidak pernah ‘didendangkan’,” ujar Penerbit Eksekutif 4ward Pictures Sdn. Bhd.,Nashrul Nasir.
Filem ini akan mendapat sentuhan magis sutradara terkenal, Datuk Afdlin Shauki yang juga merupakan penulis skrip HMTUJ bersama-sama Haris M. Nor, Norsyiella Annuar dan Shabromo.
Afdlin berkata, empat perkara bakal ditonjolkan dan paparkan dalam HMTUJ iaitu pengurusan, perspektif Ultras, jurulatih Kim Pan-Gon, perspektif pemain yang akan digabung menjadi sebuah filem.
“Cerita ini berkisar tentang pihak-pihak terbabit membantu skuad negara berubah dari ranking 180 jadi 138 di dunia. Melalui perubahan yang mereka lalui telah mengangkat diri mereka ke satu tahap di mana semua orang baru nak sokong.
“Ini adalah cerita bagaimana pengurusan mengolahkan perubahan dalam bola sepak ini. Dengan siapa mereka lawan. Mereka mahu pastikan perubahan yang dibuat perlu dilakukan, biar orang cakap mereka ‘pembunuh’ bola sepak.
“Mereka buat bodoh dan jalan saja. Buat atau mati dan kalau tak menjadi… habislah. Alhamdulillah sentuhan Kim Pan-Gon menjadi. Aspek politik dan kemanusiaan lebih penting berbanding permainan bola sepak sebenar. Tapi bola sepak tetap menjadi latar belakangnya,” katanya.
Untuk elakkan daripada klise, Afdlin akui ceritanya kena lari dari bola dengan menunjukkan konflik-konflik berbeza berbanding konflik biasa cerita bola. Disebabkan itu, dia ambil masa untuk menonton banyak filem-filem tentang bola sebagai rujukan.
“Banyak cerita tentang bola yang saya sudah tonton begitu menarik sekali. Paling saya suka dan taksub sebuah drama bersiri komedi iaitu Ted Lasso. Jalan ceritanya sangat baik, ditulis dan digarap dengan begitu baik sekali. Walaupun ia sebuah drama komedi namun nilai-nilai kemanusiaan yang dipaparkan sungguh tinggi sekali,” katanya.
Afdlin memaklumkan idea filem itu tercetus dua bulan yang lalu dan kini pihaknya sudah melakukan penggambaran sejak Oktober lalu. Filem ini bakal ditayangkan pada April tahun depan.
“Kami kena cepat disebabkan beberapa perlawanan bakal berlangsung pada bulan itu. Filem ini diharap dapat menyemarakkan kembali semangat kesukanan terhadap bola sepak dan minat penonton untuk menyaksikan setiap perlawanan yang berlangsung. Setelah menonton nanti barulah anda akan memahami, definisi ‘Kejayaan memerlukan keberanian dan pengorbanan,” jelas Afdlin lagi.
Antara pelakon yang bakal membintangi filem tersebut ialah Syafiq Kyle, Aidil Aziz, Sophia Albarakbah, Tony Eusoff, Namron, Kevin Jay, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Meerqeen, Fazura, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.