Oleh Wawa Najwa

KESIBUKAN menguruskan perniagaan menyebabkan pelakon Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura, 40, sudah enam tahun tidak berlakon drama.

Fazura yang diperkenalkan dalam dunia lakonan menerusi filem Bicara Hati pada 2004, mengakui bila lama tidak muncul di kaca televisyen atau layar filem, ramai yang bertanya bilakah beliau akan berlakon lagi.

“Memang Faz dah enam tahun tak berlakon drama dan setiap hari peminat tanya, bila nak berlakon lagi? Memang tawaran itu banyak tapi Faz memilih kerana tak nak berlakon watak yang sama saja, tak habis-habis berebut laki.

Fazura sibuk sebagai usahawan.

“Kalau boleh Faz nak buat sesuatu yang mengetengahkan women’s empowerment. Sekarang ini zaman 2023 bukan zaman kita nak up penyondol atau up perempuan nak berebut lelaki saja. Some women can live without man. Kita diberi kekuatan itu.

“Disebabkan naskhah yang diberikan kepada Faz kali ini menarik dan mencabar, Faz tidak menolak pelawaan kak Erma Fatima untuk berlakon dalam drama terbitannya.

“Kiranya, ini adalah naskhah untuk come back sebab nak memenuhi permintaan daripada peminat yang sudah lama tak tengok Faz di kaca TV. Drama itu arahan Along Kamaludin dan akan ditayangkan Ramadan tahun depan untuk slot Akasia,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran kopi diet Trully Cafe keluaran Trully Dolly, baru-baru ini.

Fazura bersama keluarga tercinta.

Menurut Fazura, disebabkan lama tidak berlakon, perasaan gementar untuk beraksi di depan kamera memang ada. Drama untuk slot Akasia terakhir lakonan Fazura adalah Kisah Cinta dan lakonannya yang terakhir sebelum menumpukan perhatian pada bisnes adalah Hero Seorang Cinderella bersama Fattah Amin, enam tahun lalu.

“Sebab lama tak berlakon, berdebar-debar juga nak berlakon untuk naskhah kak Erma ini. Memanglah Faz ada berlakon untuk kempen tudung tapi berlakon drama berbeza dan banyak tekanan kerana seluruh Malaysia akan menonton aksi kita.

“Mungkin mula-mula penonton akan marah Faz kerana pilih karakter itu tapi sabar dulu tunggu sampai beberapa episod dulu baru anda tahu kenapa Faz pilih untuk berlakon drama itu.

“Alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan sewaktu di set. Menariknya drama ini barisan pelakonnya semua kawan Faz. Kita ada Ery Putra, Cik Puan Sarimah, Nabila Huda, semua yang dah lama Faz idam untuk berlakon bersama mereka dan naskhahnya sangat best.

“Insya-Allah mudah-mudahan, doakan Lelaki Itu dapat menambat hati semua orang dan mesej yang disampaikan dapat diterima,” katanya yang bakal muncul dengan tiga projek baru awal tahun depan.

Tegas Fazura, sebab utama beliau menerima tawaran drama Lelaki Itu kerana naskhahnya berbeza yang mengetengahkan tentang wanita dan pemerkasaan.

“Faz selalu tengok kat TikTok dan ada yang DM (direct message) Faz tentang masalah mereka dengan suami, kena pukul dan tak dapat nafkah. Kalau boleh Faz nak naikkan semangat wanita-wanita.

“Mungkin Faz nak educate wanita di luar sana, kita kena bermaruah. Faz tak tahu bagaimana isteri-isteri ini merasa kerana pengalaman kita berbeza dan kita tak ada dalam kedudukan mereka.

“Kalau suami buat hal, paling penting kita tak boleh salahkan wanita saja, kalau suami kita pun melayan, kita kena salahkan suami kita juga. Para wanita di luar sana kalau menghadapi masalah ini, janganlah lantang sangat bersuara buka aib suami dan diri sendiri.

“You must be dignified dan bermaruah. Bagi saya, kalau suami kita melayan, tak kan kita nak pi serang perempuan tu saja. Kita kena salahkan suami kita juga. Kita sendiri perlu ada sifat bermaruah. Janganlah orang kata, lantang sangat bersuara kerana lama-lama nanti kita akan jatuhkan maruah kita sendiri,” ujarnya memberi pandangan.

Fazura yang baru saja muncul dengan singla baru berjudul Jika Cinta Allah, kolaborasinya dengan Ahmad Dani bakal menyanyikan lagu tersebut di Konsert Opick dan Sakti, pada 11 November ini di Zepp Kuala Lumpur.

“Untuk konsert itu Faz nyanyi secara solo lagu Jika Cinta Allah. Lagu itu sangat mencabar, masya-Allah.
Sekarang Faz ambil kelas vokal juga sebab sudah lama tak menyanyi, jadi kena asah balik kebolehan nyanyi supaya persembahan Faz nanti sempurna,” katanya terus terang.

Previous articleThe Gadys kembali dengan Gagal Cinta
Next articleSebaknya… kerana dengki impian Siput Sarawak jadi pengarah dihalang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here