Oleh: Wawa Najwa
PENYANYI Shiha Zikir tidak mudah melatah apabila ada yang mempersoal lagu ‘Kalam,’nyanyiannya mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38), baru-baru ini.
Ditanya tentang cemuhan segelintir warganet yang melabelkan ‘Kalam’ sebagai sebuah lagu sendu, Shiha bagaimanapun tenang memberikan responsnya.
Katanya, dari dulu sampai sekarang, prinsipnya sama sahaja iaitu mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Malah beliau juga tidak mudah goyah dengan komen negatif netizen.
“Jika benar sambutannya sendu, tak mungkin lagu bergenre etnik ini akan dipilih sebagai 30 buah karya di peringkat separuh akhir kerana untuk berada di SFMM (Semi Final Muzik Muzik), ia perlukan undian yang cukup daripada peminat.
“Saya memang nak sangat lagu-lagu berentak tradisional macam ini layak ke peringkat tertinggi seperti AJL. Sekarang ni bila layak ke AJL, rasa gembira dan bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat saya kerana ia sebuah lagu tradisional fusion,” katanya tentang ‘Kalam’ yang merupakan nukilannya sendiri bersama komposer Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves.
Sebagai pelantun lagu tersebut, Shiha akui sejak peringkat separuh akhir lagi beliau berasa sebak dan terharu kerana ramai peminat sedar kewujudan lagu ‘Kalam’ dan mengundinya hingga ke tahap ini.
Menurutnya lagi, setiap kali menghasilkan karya baharu, beliau meletakkan AJL sebagai penanda aras dalam memastikan kesemua lagu-lagu yang dihasilkan berkualiti selain memenuhi cita rasa pendengar.
Terdahulu, terdapat beberapa pihak mempertikaikan kemasukan Shiha ke peringkat akhir AJL38 yang disifatkan terlalu kerap sejak AJL35.
“Kali pertama sewaktu AJL35, saya masuk sebab menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu ‘7 Nasihat.’
“Pada edisi AJL36 barulah buat julung kalinya saya lepas ke pentas akhir dengan lagu nyanyian sendiri iaitu ‘AEWO’ bersama Noki.
“Tahun lepas adalah kali kedua saya menyertai AJL menerusi lagu ‘Irama.’ Itupun saya cuma menang kategori Persembahan Terbaik, bukannya menang keseluruhan,” ulasnya memberi pencerahan.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.