Oleh Wawa Najwa
Siapa sangka gelaran Juara MasterChef Selebriti Malaysia 2012 yang diraih oleh penyanyi Datuk Fazley Yaakob, 45, membawa tuah kepadanya kerana tidak semua pemenang mampu bertahan sehingga hari ini.
Buktinya mulai 2024, Fazley akan bekerjasama dan menjadi wajah untuk 16 produk antarabangsa serta tempatan. Semuanya bermula daripada satu produk, kemudian bertambah dari masa ke semasa dan beliau menganggap tahun depan adalah tahun yang membawa rezeki kepadanya dan anak-anak.
“Tahun depan merupakan tahun yang membawa rezeki kepada saya dan anak-anak kerana memegang 16 jenama berbeza dan bukan bertemakan makanan saja.
“Alhamdulillah, setakat ini jenama-jenama yang saya bekerjasama, mereka yang melamar saya. Belum pernah lagi saya melontar nama saya untuk kerjasama, rezeki itu datang. Mungkin berkat doa ibu dan isteri.
“Sebagaimana jodoh itu rahsia Allah, rezeki pun kita kena berusaha. Saya yakin apabila kita berusaha untuk mencari rezeki yang halal, perjalanan hidup kita sudah ditentukan dan apabila saya dilamar atau bekerjasama, saya sudah buat yang wajib.
“Saya duta kepada contact lens (kanta sentuh), menjadi duta hospital, duta penjagaan kulit dari luar negara dan saya akan ada pisau jenama sendiri yang akan dilancarkan seluruh negara termasuk periuk dan kuali sendiri,” kata Fazley penuh kesyukuran dengan pencapaiannya.
Jelas Fazley, ada di antara jenama yang tidak memaparkan wajahnya tetapi beliau adalah orang di belakang tabir yang menghasilkan resipi-resipi untuk diperkenalkan kepada umum.
Bertanggungjawab untuk pelbagai jenama, Fazley tidak menganggap persetujuannya menjadi duta terhadap jenama yang tersenarai itu sebab tamak tetapi beliau ada alasan tersendiri.
Beliau yang mempunyai latar belakang dalam bidang korporat, seni dan perkhidmatan itu juga berpengalaman sebagai juruaudit. Disebabkan pengalaman itulah, Fazley akan audit terlebih dahulu jenama yang bakal beliau bekerjasama.
“Apabila saya menjadi duta untuk jenama-jenama yang kononnya sensitif dan orang akan persoalkan, saya tak goyah sebab saya sudah buat kajian. Lain-lain jenama yang saya bekerjasama adalah Tony Roma’s, The Manhattan Fish Market, Refine Cat Food di mana saya menjadi duta untuk mencipta makanan kucing. Saya juga menjadi duta untuk klinik binatang dan kucing saya menjadi duta klinik.
“Saya juga bersama dengan Agricore Cap Pokok iaitu salah satu tepung yang lama di Malaysia, saya bersama Unilever Food Solutions dan saya juga menjadi duta untuk He Medical Clinic, klinik lelaki untuk rambut, muka dan kesihatan lelaki.
“Sebelum meterai perjanjian, pertama saya akan buat kajian dulu terhadap produk tersebut. Saya bertanya dengan syarikat dan tengok kontrak serta saya pastikan jenama yang bertempat di Malaysia itu benar-benar milik orang Malaysia dan memberi rezeki dan sumber rezeki kepada ramai pekerja dari Malaysia.
“Bagi saya apabila menjadi duta untuk jenama hebat ini adalah tanggungjawab saya untuk mengajar dan mendidik, bukan hanya masyarakat tapi dunia hiburan sebagai seorang artis, penyanyi, pelakon, pengacara. Ramai rakan-rakan artis yang mula berniaga bertanya, bagaimana cara untuk mengorak langkah dalam bidang makanan dan perkhidmatan,” jelasnya.
Meskipun salah satu jenama minuman yang beliau bekerjasama itu mendapat perhatian ramai supaya diboikot, Fazley tidak akan menarik diri kerana kontrak telah ditandatangani.
“Saya masih terikat dengan dan tidak ada ura-ura akan dihentikan kerana kempen masih lagi berlangsung. Tugas saya sebagai cef yang mencipta dan mempopularkan
makanan tempatan yang halal dan tradisional dibawah jenama kopi tersebut supaya dapat dinikmati dalam gaya lebih baru.
“Impian saya untuk menaiktarafkan makanan Malaysia antaranya makanan kampung yang orang tak pernah kenal kepada satu jenama yang bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, Suka Sucre Bistro milik Fazley beroperasi di Cheras kemudian beralih ke Hartamas dan menjadi jenama kecil iaitu Minang Tapau ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
Kini Suka Sucre kembali beroperasi dan lokasi pilihannya ialah di tengah-tengah segi tiga emas iaitu di Hotel Maya Kuala Lumpur.
“Apabila Suka Sucre Kuala Lumpur sudah mula beroperasi di hotel bertaraf lima bintang sudah tentu menu dan setting kita tukar sikit.
“Bila ada peningkatan dari segi jenama dan penempatan serta klien yang datang, saya rasa ini adalah kejayaan untuk jenama yang saya dah bina hampir 10 tahun.
“Itu yang kita bawa kembali kenangan menu dari Cheras dan menu baharu. Suka Sucre Bistro kini dikenali sebagai Suka Sucre Kuala Lumpur daripada sebuah restoran yang berasas baking yang dibuat di rumah di Bukit Damansara dan kita hanya hantar makanan ke Shah Alam, Ampang, Negeri Sembilan akhirnya ada satu petak kecil di sebuah restoran di Shah Alam.
“Petak kecil itu kemudian menjadi sebuah restoran di Cheras dan kini menjadi sebuah restoran di dalam hotel, pada saya satu kebanggaan untuk saya dan anak-anak, alhamdulillah,” kongsi Fazley tentang perjuangannya membina nama dalam bidang perniagaan.
Bakal muncul single baharu
Kesibukannya dalam bidang perniagaan tidak menghalang Fazley yang popular dengan lagu ‘Asmara Ini’ untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni.
“Saya masih lagi membuat pengacaraan dan menyanyi. Sejak saya sertai ‘Gegar Vaganza 8’ pada tahun 2021, tawaran menyanyi tidak putus. Ada saja undangan kerana dunia nyanyian tak dapat lari dari kehidupan saya.
“Walaupun sibuk dengan pelbagai tanggungjawab yang diamanahkan single baharu saya akan dilancarkan tidak lama lagi. Single ciptaan saya bersama komposer muda dari Singapura. Saya percaya bahawa Malaysia, Singapura dan Indonesia dibawah satu rumpun, jadi tak salah untuk kita berkerjasama, ” kata Fazley Yaakob.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.