Oleh Nafsiah Jani
Melihat secara dekat wajah pelakon Salina Saibi tanpa secalit mekap, memang terserlah kecantikannya. Kulit wajahnya yang cantik dan bersih tanpa sebarang cela serta badannya yang langsing walaupun telah bergelar ibu kepada dua orang anak.
Walaupun kurang mendapat publisiti disebabkan tidak suka menonjolkan diri, namun bukan bererti Salina seorang pelakon yang sombong. Setelah mendekati dan mengenali orangnya, peminat pasti tertarik akan keramahannya.
Salina cukup bertuah berbanding rakan-rakan seangkatannya yang hanya mendapat watak sebagai emak-emak berbanding dirinya yang masih ditawarkan watak yang `mengancam’. Dalam meniti usia 40-an, semakin banyak juga tawaran menjadi model dan berlakon yang diterimanya.
“Tak sangka dah tua-tua ni semakin murah rezeki saya. Ramai pula yang panggil saya jadi model produk, reviu produk, restoran, salon, spa dan macam-macam lagi. Sebagai model produk saya menjadi sumber inspirasi wanita di luar sana yang berumur 40-an agar kekal jelita setiap masa.
“Mungkin ini juga rezeki saya yang sentiasa menjaga kecantikan diri sejak dulu lagi dan disebabkan itu badan saya masih macam anak dara,” kata isteri kepada Azmir Osman, 60.
Menurut Salina, bukan susah untuk kekal cantik yang penting harus menjaganya sejak muda. Jangan tunggu bila tua…kerana itu sudah terlambat.
“Saya bersyukur kerana lepas kahwin dan bersalin saya tetap dapat kekalkan tubuh badan seperti zaman remaja. Saya bukannya jenis yang suka amalkan diet tetapi saya cukup menjaga pemakanan saya.
“Saya amalkan pemakanan sihat dan seimbang bukan sebab nak kurus sebaliknya saya fikirkan kesihatan pada tua. Apa yang kita makan, itulah yang akan jadi penentu nasib kita di waktu tua nanti…sama ada sihat atau sakit disebabkan makanan atau produk yang kita ambil. Itu sebabnya saya sering amalkan senaman… senaman ringan lebih kurang 30 minit setiap hari.
“Saya makan nasi dua kali seminggu, itupun dalam kuantiti yang kecil dengan lebihkan sayur-sayuran. Saya juga elakkan daripada mengambil makanan bergoreng, berminyak, kurangkan garam dan gula dalam pemakanan. Bukan itu sahaja, saya juga tidak minum air gas atau yang berkarbonat,” katanya yang juga popular dengan watak ASP Salina dalam drama kepolisan, “Gerak Khas.”
Menurut Salina, dia juga bertuah kerana produk kecantikan yang dijualnya turut membantu dirinya kekal cantik dan langsing seperti sekarang.
“Saya jual produk kecantikan disebabkan itu saya perlu cantik dan langsing. Saya bertuah kerana korset yang saya jual iaitu Salina Beauty Corset membuatkan pinggang saya ramping seperti sekarang ini. Begitu juga dengan vitamin C dan manjakani yang saya keluarkan.
“Alhamdulillah dah lima tahun saya usahakan bisnes ini dan kini produk saya semakin dikenali ramai. Saya tidak pandai meniaga dan amat bersyukur kerana adik perempuan saya membantu mempromosikannya. Walaupun tak banyak tetapi hari-hari ada saja permintaan. Untuk berjaya, saya pastikan tiga bulan sekali saya akan turun padang berjumpa pembeli dan peminat saya.”
Bagi para peminat Salina jangan lepaskan peluang untuk bertemu dan bergambar dengan Salina yang akan berada di Ipoh, Perak pada Karnival Starvendors bermula 30 Disember sehingga 1 Januari depan.
Nafi ‘kaki demand’
Komitmen dan lakonannya yang mantap membuatkan Salina Saibi masih relevan dalam industri. Jadi tidak hairanlah lakonannya dalam filem “Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam” melayakkan beliau menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) pada tahun 2009.
Lebih 15 tahun membawakan watak sebagai polis membuatkan karakter ASP Salina ini sudah sebati dalam dirinya. Seperti pelakon lain, Salina juga mengharapkan tahun depan akan membawa sinar baru dalam hidupnya.
“Sebenarnya memang banyak tawaran berlakon yang saya dapat. Tetapi kebanyakannya saya tolak kerana kekangan masa, watak yang tidak sesuai dan jadual penggambaran yang terlalu lama di luar daerah.
“Sudah 24 tahun saya dalam industri dan kini saya agak memilih watak dan jalan cerita yang ditawarkan buat saya. Bukan berlagak tapi sebagai pelakon saya kena demand dan kena pilih yang terbaik. Semoga tahun 2024 saya akan ditawarkan watak yang bagus, mencabar dan lebih menyengat. Bisnes makin maju, saya sihat dan keluarga kami bahagia hingga ke akhir hayat,” kata Salina yang baru selesai menjalani penggambaran sitcom “Kelab Gosip” sebagai penjual jamu yang ‘hot.’
Bercakap mengenai keluarganya pula, kata Ibu kepada Farah Syakira, 14, dan Farah Aqeela, lapan tahun, jika tidak sibuk dengan dunia lakonan dia lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga.
“Bila tak berlakon, saya menemani anak-anak saya melakukan aktiviti sekolah mereka. Kini kedua-dua anak saya aktif dengan sukan di sekolah. Anak sulung saya sibuk dengan gimnastik, aerobik, dan renang. Itu belum lagi jadi wakil menari untuk sekolah, tugas sebagai pustakawan dan wakil macam-macam persatuan.
“Adiknya pun aktif dengan sukan renang dan gimnastik. Kiranya mereka ni aktif macam emak mereka waktu zaman sekolah dulu,” kata Salina yang pernah bergelar olahragawati sekolah kerana aktif dengan sukan netball, bola baling dan softball.
Menyentuh mengenai kerjaya pilihan anaknya, ujar Salina, dia tidak akan menghalang apa saja kerjaya pilihan anak-anaknya.
“Jika mereka nak jadi pelakon pun saya tak akan halang kerana sejak kecil lagi anak sulong saya tu dah terdedah dengan dunia modelling dan juga lakonan. Pesan saya, kalau nak jadi pelakon pun selesaikan dulu persekolahan dan sudah berjaya dalam pelajaran terpulang mereka nak jadi apa.
“Sebagai ibu saya tak akan paksa anak-anak saya. Sebaliknya saya sentiasa memberi galakan dan sokongan apa yang mereka minat. Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan anak-anak saya menjadi yang terbaik, berjaya di dunia dan di akhirat.”
Selain drama, Salina juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya “Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam,” “Jalan Kembali : Bohsia 2,” “Aku Bukan Tomboy” dan “Khurafat: Perjanjian Syaitan.”
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.